Showing posts with label Manifesto Pakatan Harapan (PH). Show all posts
Showing posts with label Manifesto Pakatan Harapan (PH). Show all posts

Friday, January 10, 2020

2 kali Dr M langgar manifesto PH, kata pemimpin PKR

Adam Abu Bakar
-January 10, 2020

Bekas timbalan presiden PKR, Syed Husin Ali.

PETALING JAYA: Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sekali lagi membuat keputusan memalukan apabila secara terang-terangan melanggar janji manifesto Pakatan Harapan (PH) dengan membuat keputusan memangku jawatan menteri pendidikan.

Bekas timbalan presiden PKR, Syed Husin Ali berkata sehingga kini masih tidak ada kenyataan jelas dari Pejabat Perdana Menteri berhubung tempoh Mahathir akan memangku jawatan itu selepas penyandangnya, Maszlee Malik meletakkan jawatan.

“Dahulu dia sudah ambil jawatan menteri pendidikan, kemudian dia tarik diri sebab melanggar manifesto dan ditentang orang parti serta orang awam. Jadi, apa yang dibuatnya hari ini adalah dia melanggar sekali lagi apa yang sudah dilanggar sebelum ini.

“Ini tindakan memalukan kerana kita tidak tahu berapa lama dia hendak jadi pemangku, boleh jadi seminggu dan boleh jadi setahun. Apakah akhirnya orang akan katakan Mahathir pecat Maszlee supaya dia boleh ambil balik jawatan itu,” katanya kepada FMT.

Janji 12 dalam manifesto PH adalah menghadkan tempoh perkhidmatan perdana menteri dan menstruktur semula Jabatan Perdana Menteri.

Dinyatakan, tempoh jawatan perdana menteri akan dihadkan kepada 2 penggal sahaja bahkan perdana menteri juga tidak akan memegang jawatan menteri lain, terutamanya jawatan menteri kewangan.

Hari ini, Pejabat Perdana Menteri berkata, Kabinet setuju melantik Mahathir sebagai pemangku menteri pendidikan sehingga menteri pendidikan baru dilantik.
Keputusan dibuat dalam mesyuarat Kabinet pada 8 Jan. Pelantikan Mahathir berkuat kuasa 3 Jan bagi menggantikan Maszlee yang meletak jawatan pada tarikh sama.

Syed Husin berkata, menerusi kenyataan Pejabat Perdana Menteri hari ini, beliau akhirnya memahami kenyataan Maszlee sewaktu meletakkan jawatan tempoh hari, yang menyatakan beliau memulangkan semula jawatannya kepada perdana menteri.

“Sebab itu saya nyatakan, Mahathir adalah Mahathir dan dia selalu buat apa yang dia suka,” katanya.

Mahathir pada mulanya menamakan dirinya untuk portfolio pendidikan selepas kemenangan PH pada pilihan raya umum ke-14, 2 tahun lalu.

Beliau bagaimanapun terpaksa melepaskan jawatan itu keesokan harinya berikutan kritikan sebilangan pemimpin PH yang merujuk kepada janji pakatan politik tersebut bahawa perdana menteri tidak dibolehkan memegang jawatan dalam kementerian lain.

Beliau kemudiannya menamakan Maszlee untuk jawatan tersebut.

Ini merupakan kali ke-2 Mahathir memimpin portfolio pendidikan. Beliau memegang jawatan itu selama 4 tahun dari 1974 hingga 1978 di bawah pentadbiran bekas perdana menteri ke-3, Abdul Razak Hussein.

Tuesday, February 19, 2019

Perlekeh manifesto: Pemimpin DAP desak Dr M berundur

FMT Reporters
-February 19, 2019 2:14 PM

Ahli Jawatankuasa DAP Johor, Boo Cheng Hau. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA:  Pemimpin DAP Johor, Dr Boo Cheng Hau, hari ini mendesak Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan kerana memperlekeh manifesto Pakatan Harapan (PH) pilihan raya umum ke-14.

Boo, yang juga ahli jawatankuasa DAP negeri berkata, dakwaan Dr Mahathir bahawa manifesto itu hanya “panduan dan bukan kitab” menunjukkan beliau tidak berkeyakinan terhadap diri dan manifesto itu sendiri.

“Tindakan beberapa pemimpin PH mendakwa perubahan kerajaan tidak mungkin berlaku tanpa kepimpinan Dr Mahathir hanya mencerminkan kemerosotan diri mereka,” katanya.

Malah, katanya, mereka yang melontar pandangan sedemikian sudah mengaku ketidakcekapan diri dan juga harus meletak jawatan.

Boo turut menyelar tindakan PPBM menerima bekas ahli Parlimen Umno dan menggesa pimpinan PH mengambil pendirian bersama membantah amalan sedemikian.

“Malaysia memerlukan persaingan sihat dalam sistem 2 parti untuk memastikan pembaharuan institusi dilaksanakan secara berkesan,” katanya.

Sebaliknya, katanya, negara akan “ke belakang” jika wakil rakyat digalakkan untuk melompat parti.

Friday, September 14, 2018

Tun M: Janji Dalam Manifesto Timbulkan Masalah, Kalau Laksana Akan Rugi

SUARA TV
Suara Tanpa Sempadan
Shuhaniza Said


PETALING JAYA – Sebahagian daripada janji dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akan dikaji semula, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ujar beliau, ini kerana kebanyakan daripada janji tersebut menimbulkan masalah dan sekiranya dilaksanakan, kerajaan akan menanggung kerugian yang amat besar.

“Kita juga beri perhatian tentang masalah yang dihadapi kerajaan sekarang atas apa yang telah dilakukan oleh kerajaan yang lepas.

“Kita dapati ada banyak masalah dan kita berpendapat bahawa sebahagian daripada janji kita dalam manifesto timbulkan banyak masalah.

“Kalau kita laksana, mungkin kita alami kerugian yang amat besar. Sebab itu kita perlu kajian.. kita (akan) beritahu kepada kerajaan PH untuk mengkaji semula janji-janji yang dibuat semasa kita percaya kita akan kalah, tapi sekarang ni kita menang,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di Menara Yayasan Selangor di sini, petang tadi.

Sebelum PRU14, PH yang dianggotai PKR, DAP, PPBM dan Amanah melancarkan manifesto yang menjanjikan 10 perkara, terutama meringankan beban rakyat dalam masa 100 hari pertama pentadbiran, sekiranya berjaya membentuk kerajaan.

Antaranya termasuklah menghapuskan GST dan mengurang kos sara hidup dengan pelbagai inisiatif peduli rakyat; menstabilkan harga minyak dan memperkenalkan semula subsidi petrol secara bersasar; menyamaratakan gaji minimum seluruh negara; penangguhan pembayaran semula PTPTN dan memperkenalkan KWSP untuk suri rumah.

Selain itu, manifesto yang bertemakan “membina negara memenuhi harapan” itu turut menggariskan 60 janji untuk dilaksanakan dalam tempoh 5 tahun dan 5 iltizam.

Bagaimanapun, melepasi 100 hari pertama pentadbiran PH, hanya satu janji yang sudah ditunaikan iaitu penghapusan cukai GST. Kerajaan PH bermula 1 September melaksanakan cukai baru, cukai SST yang berkadar 16% bagi menggantikan cukai GST. 

-SuaraTv

Thursday, August 16, 2018

Janji 100 hari: Gimik PRU semata-mata – Hadi Awang

By Muhammad Azizul Osman
- 16 Ogos 2018

Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hadir pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 24 JULAI 2018.

KUALA LUMPUR – Pas hari ini mengkritik prestasi kerajaan Pakatan Harapan (PH) menjelang 100 hari pentadbiran Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, janji yang dibuat oleh PH pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) lalu hanya gimik politik semata-mata.

“Kempen 10 Janji 100 hari dalam Manifesto Pakatan Harapan adalah gimik PRU semata-mata. Termasuk juga janji yang tidak boleh ditunaikan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas Hadi, semua janji yang ditawarkan oleh Dr Mahahtir ternyata tidak boleh ditunaikan biarpun tempoh 100 hari akan berakhir Sabtu ini.

Malah katanya, ia di luar jangkauan kerajaan PH dengan alasan tidak boleh dilaksanakan kerana situasi ekonomi negara tidak mengizinkan.

“Yang nyata tidak boleh ditunaikan janji itu dan di luar kemampuan masa seperti turunkan harga minyak serta merta, tangani inflasi serta merta.

“Menukar GST kepada SST tidak lebih kepada mencubit dengan tangan kanan, kemudian tukar dengan tangan kiri. Semuanya menindas rakyat,” katanya.

Awal hari ini, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Prestasi kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika ini dilihat berada pada tahap antara 27 hingga 30 peratus sahaja.

Kata Tuan Ibrahim, kegagalan itu sekali gus melayakkan mereka menerima gred D disebabkan tidak dapat menunaikan 10 janji dalam tempoh 100 hari seperti yang termaktub dalam manifesto PRU-14.

 -MalaysiaGazette

Wednesday, June 13, 2018

Janji PH kepada peminjam PTPTN bakal datangkan masalah, kata bekas MB Johor

Mohamad Fadli | June 13, 2018

Khaled Nordin berkata manifesto PH hanyalah populis dan tidak akan berjaya dilakukan, dan yakin rakyat akan mendapati tuduhan terhadap Umno tidak benar.

Khaled Nordin berkata manifesto PH termasuk janji kepada peminjam PTPTN tidak akan berjaya dipenuhi.

KUALA LUMPUR: Manifesto Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya lalu untuk membenarkan penangguhan bayaran balik pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) ke atas peminjam bergaji kurang RM4,000 bakal mendatangkan masalah, kata Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Khaled, bekas menteri besar Johor yang pernah mengetuai Kementerian Pengajian Tinggi, berkata pembayaran balik pinjaman PTPTN itu menampung pinjaman kepada pelajar baru.

“Barisan Nasional (BN) terlalu baik, kita bagi pinjaman kepada pelajar bukan sahaja nak bayar yuran, tetapi untuk sara hidup mereka sekali.

“Jika kita lihat amalan di luar negara, kalau mereka nak sara hidup ketika belajar, mereka bekerja sebab nak tampung kos sara hidup mereka,” katanya kepada FMT ketika ditemui baru-baru ini.

Menteri Pendidikan Maszlee Malik baru-baru ini berkata peminjam PTPTN perlu bayar pinjaman seperti biasa, ketika mengumumkan PH terpaksa menangguhkan janji membenarkan mereka menangguhkan pembayaran disebabkan masalah hutang negara.

Khaled berkata jika PH mahu meneruskan penangguhan bayaran PTPTN itu, pelajar baru akan menjadi mangsa.

Khaled menganggap manifesto PH sebagai populis dan tidak akan berjaya dilakukan.

“Begitu juga bila PH kata nak hapus cukai barangan dan perkhidmatan (GST). Semua manifesto tak boleh laksana sebab tidak cukup dana.

“Dulu dia kata barang naik kerana GST. Bila dah (dikurangkan) 0%, harga barang tetap sama. Harga pakaian mungkin turun tetapi makanan tidak,” katanya.

Khaled yakin Umno akan kembali dalam masa 5 tahun akan datang dengan lebih berwibawa dan menjamin tidak akan lakukan fitnah.

Menurutnya, rakyat akan mendapati sebahagian daripada tuduhan dibuat pembangkang adalah fitnah dan dusta.

“Umno akan tegur mengenai tindakan yang salah oleh kerajaan dan mengubah struktur, pendekatan Umno, dari segi cara bekerja dan hubungan dengan rakyat dalam masa 5 tahun.

“Ini dapat bawa kekuatan sokongan dan dapat lahirkan rasa rapat orang Melayu dengan Umno,” katanya.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-