Wednesday, June 20, 2018

'Ketiadaan dua saksi utama lambatkan siasatan SRC, 1MDB'

Norman Goh


Ketiadaan dua saksi utama - Low Taek Jho dan Nik Faisal Ariff Kamil - akan melambatkan siasatan terhadap SRC International dan 1MDB, kata sumber.

Sumber yang rapat dengan siasatan kes itu berkata, Nik Faisal yang merupakan bekas pengarah SRC International adalah saksi penting bagi siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap syarikat itu, manakala ahli perniagaan Jho Low saksi penting untuk siasatan 1MDB.

"Secara asasnya, siasatan terhadap SRC International sudah hampir selesai. Tetapi Nik Faisal masih bebas, ia akan sedikit melambatkan.

"Ketiadaan dua saksi penting ini (material witness) akan melambatkan pengumpulan bukti. Siasatan diadakan mengikut peringkat," katanya kepada Malaysiakini.

Nik Faisal dipercayai berada di Indonesia manakala Jho Low dipercayai bersembunyi di Macau.

Pada 7 Jun lalu, SPRM mengeluarkan waran tangkap terhadap Nik Faisal dan Jho Low bagi menggesa mereka tampil untuk membantu siasatan.

Sumber itu turut berkata seorang lagi bekas pengarah SRC, Datuk Suboh Mohd Yasin (gambar) - yang menyerahkan diri kepada pihak berkuasa - amat penting untuk mengukuhkan kes.
"Ia merupakan langkah ke hadapan yang baik buat kami untuk melengkapkan (siasatan). Dia sangat berguna kepada siasatan.

"Dapatan terbesar yang kami ada pada masa ini hanyalah 70 peratus daripada keseluruhan kes. Salah laku yang sebenar jauh lebih besar daripada jangkaan awal kami," katanya lagi.

Katanya, Peguam Negara Tommy Thomas dipercayai sedang meneliti kertas siasatan pertama berkaitan kes itu.

Katanya lagi, laporan perkembangan juga akan dibentangkan kepada Jawatankuasa Siasatan 1MDB Jumaat ini.

Pada Mei lalu, SPRM memanggil bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan terhadap SRC International.

Bekas subsidiari 1MDB itu didakwa memindahkan sejumlah RM42 juta - melalui beberapa perantara - kepada akaun peribadi Najib antara Disember 2014 hingga Februari 2015.

Peguam negara ketika itu Tan Sri Apandi Ali bagaimanapun membersihkan Najib daripada sebarang kesalahan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-