Sunday, June 10, 2018

Ku Li tak setuju buka UMNO pada bukan Melayu

ainulillia 10/06/2018

Sentimen akar umbi kuat UMNO eksklusif untuk Melayu

KUALA LUMPUR, 25 Ramadan 1439H, Ahad – Pemimpin veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah tidak bersetuju dengan cadangan untuk membuka parti itu kepada orang bukan Melayu.

Beliau yang dikenali sebagai Ku Li berkata, sentimen di peringkat akar umbi sangat kuat agar UMNO menjadi sebuah parti eksklusif Melayu.

“Kamu boleh menambah satu atau dua orang bukan Melayu seperti yang dilakukan oleh sesetengah parti dan menjadikannya sebagai parti berbilang kaum, tetapi wajahnya masih tidak berbilang kaum.

“Saya boleh mengatakan bahawa saya seorang yang ‘multiracial’ kerana saya pernah mempunyai isteri bukan Melayu, tetapi saya tidak ‘multiracial’ dalam erti kata itu,” katanya seperti dilapor portal tempatan.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di pejabatnya di Kuala Lumpur hari ini.

Mengulas lanjut, Tengku Razaleigh berkata, dari sudut pandang sejarah UMNO memang dilahirkan sebagai parti Melayu.

“Ia dilahirkan seperti itu. UMNO dibentuk oleh perhimpunan Kongres Melayu pada tahun 1946 kerana ancaman terhadap kedaulatan negara,” katanya.

Malah, beliau berkata, cadangan bekas presiden parti itu, Datuk Onn Jaafar agar UMNO membuka keahlian kepada orang bukan Melayu turut ditolak dan diminta meninggalkan parti itu.

Terdahulu, Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin mencadangkan supaya UMNO, mempertimbangkan untuk membuka keahliannya kepada semua rakyat Malaysia.

Ia dibuat berikutan kekalahan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum 9 Mei lalu.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-