Wednesday, June 20, 2018

Najib pulang ke ibu negara selepas bercuti di Langkawi

WARTAWAN SINAR HARIAN
20 JUN 2018

Seorang penumpang berswafoto dengan Najib sebelum menaiki pesawat.

ALOR SETAR - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor pulang ke Kuala Lumpur petang tadi, selepas bercuti selama beberapa hari di Langkawi.

Ketua Polis Kedah, Datuk Zainal Abidin Kasim mengesahkan perkara itu selepas beberapa gambar salah seorang penumpang pesawat penerbangan berswafoto dengan Najib tular.

Menurutnya, Najib menaiki pesawat dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi pada 3.30 petang tadi dan tiba di ibu negara sekitar 4.30 petang.

“Saya turut berada dalam pesawat sama, mengiringi beliau dari Langkawi ke Kuala Lumpur. Tiada cubaan Najib dan keluarga mahu melarikan diri ke luar negara seperti dakwaan sesetengah pihak, saya harap spekulasi seperti ini dihentikan segera,” katanya.

Zainal Abidin berkata, polis telah menjalankan tugas mereka sebaiknya dan orang ramai juga diminta memainkan peranan lebih positif untuk kesejahteraan semua pihak.

“Mohon rakyat hentikan spekulasi dan beri kerjasama kepada polis yang menjalankan tugas mereka dengan penuh dedikasi,” katanya.

Sumber rapat dengan Najib sebelum ini mengesahkan percutian Najib di Langkawi adalah untuk meluangkan masa bersama keluarga, bermain golf dan bertemu dengan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah serta pemimpin BN Kedah.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-