Showing posts with label Rosmah Mansor. Show all posts
Showing posts with label Rosmah Mansor. Show all posts

Friday, August 11, 2023

Firma barang kemas, Rosmah saling kemuka permohonan di mahkamah

malaysiakini.com
Hidir Reduan Abdul Rashid
Diterbitkan: Aug 11, 2023
Global Royalty Trading SAL memfailkan penghakiman ringkas terhadap Rosmah Mansor dalam saman berjumlah RM67.46 juta.

Bagaimanapun, isteri bekas perdana menteri Najib Razak itu juga memfailkan permohonan agar firma barang kemas dari Lubnan itu mendepositkan AS$1 juta kepada mahkamah sebagai jaminan kos.

Peguam Rosmah, Rajivan Nambiar mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa kedua-dua permohonan itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam.

Penghakiman ringkas - seperti yang dikemukakan oleh plaintif Global Royalty Trading - ialah penghakiman yang dibuat tanpa perkara itu didengar pada perbicaraan penuh.

Perintah untuk jaminan kos melindungi pihak-pihak seperti Rosmah selaku defenden daripada risiko bahawa mereka akan menang dalam perbicaraan dan dianugerahkan kos mereka, tetapi kemudian tidak dapat melaksanakan perintah kos terhadap pihak yang kalah, sama ada dalam bidang kuasa mahkamah atau di luar negara.

[Berita penuh menyusul]

Thursday, June 22, 2023

Mahkamah tolak rayuan Rosmah cabar kes rasuah solar

malaysiakini.com
Hidir Reduan Abdul Rashid
Diterbitkan: Jun 22, 2023 9:39 AM
Mahkamah Rayuan menolak permohonan Rosmah Mansor untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan cabaran undang-undang untuk membatalkan kes rasuah terhadapnya yang dikaitkan dengan projek tenaga hibrid solar bernilai RM1.25 bilion.

Panel tiga hakim yang bersidang, dipengerusikan oleh Hakim Hanipah Farikullah sebulat suara menolak permohonan supaya isteri kepada bekas perdana menteri yang dipenjarakan Najib Razak meneruskan semakan kehakimannya yang mencabar kesahihan pelantikan ketua pendakwa raya kes solar, mendiang Gopal Sri Ram.

Prosiding hari ini ditetapkan buat panel hakim - yang turut diketuai oleh Hakim Che Mohd Ruzima Ghazali dan See Mee Chun - untuk menyampaikan keputusannya berhubung rayuan Rosmah terhadap keputusan Mahkamah Tinggi (bidang kuasa sivil) Kuala Lumpur pada 30 Ogos tahun lepas.

Pada 1 Sept tahun lepas, Mahkamah Tinggi (bidang kuasa jenayah) Kuala Lumpur mensabitkan Rosmah bersalah dalam kes rasuah dan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta.
Mendiang Gopal Sri Ram.
Bagaimanapun, dia memperoleh penangguhan pelaksanaan terhadap hukuman itu, dan rayuan jenayahnya yang berasingan terhadap keputusan bersalah berkenaan ditetapkan untuk dibicarakan di hadapan Mahkamah Rayuan pada 11 Julai (perbicaraan pada mulanya ditetapkan untuk pendengaran pada bulan Jun sebelum tarikh itu dikosongkan).

Mahkamah Rayuan juga memerintahkan Rosmah membayar kos RM10,000 kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) dan kerajaan, kedua-dua responden dalam rayuan itu.

Semasa prosiding dalam talian pagi ini, See membacakan keputusan bagi pihak panel hakim, memutuskan semakan kehakiman Rosmah difailkan di luar masa di Mahkamah Tinggi.

"Tiada merit dalam rayuan ini," kata See.

Berdasarkan undang-undang, semakan kehakiman mesti difailkan dalam tempoh tiga bulan selepas pemohon mengetahui tentang keputusan pihak berkuasa yang dipertikaikan (yang cuba dicabarnya di mahkamah).

Pasukan peguam Rosmah antara lain terdiri daripada peguam Akberdin Abdul Kader dan Jagjit Singh.

Peguam kanan persekutuan Shamsul Bolhassan dan Liew Horng Bin hadir untuk AGC dan kerajaan.

Rosmah tidak hadir semasa prosiding mahkamah sivil hari ini.

[Baca berita asal]

Saturday, June 10, 2023

'Saya tak masuk campur permohonan pengampunan Najib' - Rosmah

hmetro,com.my
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid
khairil.ashraf@hmetro.com.my
ROSMAH temui media ketika hadir ke pada Perhimpunan Agung Umno 2023. FOTO Hazreen Mohamad
Kuala Lumpur: Datin Seri Rosmah Mansor hari ini menyatakan beliau tidak terbabit dalam proses permohonan pengampunan diraja terhadap suaminya, Datuk Seri Najib Razak yang kini sedang menjalani hukuman penjara selama 12 tahun.

Bagaimanapun, beliau berasa terharu dengan sokongan yang diberikan oleh ahli dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2023 untuk membawa keluar suaminya secepat mungkin.

"Itu saya tak masuk campur (permohonan pengampunan diraja terhadap Najib). Semalam adalah satu manifestasi di pihak mereka apabila mereka kata kita ingin Datuk Seri Najib mendapat keadilan.

"Saya ingin ucapkan ribuan terima kasih kepada mereka yang memperjuangkan keadilan di negara ini bukan saja untuk Datuk Seri Najib tetapi semua orang di dalam negara ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri PAU 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.

Pada April lalu, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno sebulat suara bersetuju memohon menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi untuk mempertimbangkan pengampunan penuh kepada Najib.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, MKT akan mempersembahkan warkah rayuan kepada Seri Paduka Baginda berserta memorandum ditandatangani seluruh kepimpinan daripada 191 bahagian termasuk Wanita, Pemuda dan Puteri Umno.

Dalam pada itu, Rosmah turut berasa sedih setiap kali hadir ke PAU disebabkan suaminya tidak turut serta bersama-sama dengan mereka.

Beliau berkata, Najib selalu bercerita padanya mengenai apa lagi usaha yang mahu diketengahkan olehnya bagi membela nasib rakyat.

"Saya rasa sedih kerana dia tidak dapat bersama-sama dengan kita. Kadang-kadang saya juga membayangkan ketika dia menjadi Presiden, bagaimana dia duduk di atas (pentas) memikirkan apa lagi nak cakap kepada ahli Umno dan apa lagi sepatutnya dibuat untuk orang Melayu dan negara.

"Saya nak beritahu dia selalu fikirkan rakyat dan negara. Kadang-kadang saya masuk dalam kereta dengan dia dan dia tanya (kepada saya) apa yang rakyat dan negara tak cukup," katanya.

Disiarkan pada:
Jun 10, 2023 @ 2:16pm

Harap Najib dibawa keluar ‘secepat mungkin’, kata Rosmah

freemalaysiatoday.com
 - 10 Jun 2023

Presiden Umno Zahid Hamidi berkata parti itu akan memberi keadilan kepada Najib Razak.

KUALA LUMPUR: Rosmah Mansor berharap ikrar yang dibuat seluruh ahli Umno di Dewan Merdeka semalam supaya suaminya Najib Razak dibebaskan secepat mungkin tidak hanya berdegar-degar ketika Perhimpunan Agung Umno (PAU) sahaja.

“Berharap supaya suami saya dibawa keluar secepat mungkin,” katanya ketika ditanya mengenai tekad parti untuk terus memperjuangkan pembebasan Najib yang popular dengan jolokan “Bossku”.

Laungan “Bebas Bossku” dan “Hidup Bossku” bergema di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada PAU 2023.

Ia selepas Presiden Umno Zahid Hamidi berkata parti itu akan tetap memperjuangkan nasib Najib dan memberi keadilan kepada bekas perdana menteri itu.

“Kita mahukan keadilan untuk Najib. Kita mahu keadilan diberikan kepada beliau sebagai seorang manusia,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar presiden semalam.

Rosmah menambah, beliau terharu dengan sokongan yang ditunjukkan oleh keluarga besar Umno terhadap Najib, walaupun mengakui tidak terlibat dalam proses pengampunan suaminya.

Sebaliknya, beliau berkata Najib sering bercakap dengan anak mereka Nooryana Najwa atau mesra dipanggil Gina sepanjang pertemuan mereka termasuk di mahkamah dan penjara.

“(Proses pengampunan) Itu saya tak masuk campur. Bila kami berjumpa, dia banyak bercakap mengenainya dengan Gina, saya hanya memerhati saja.”

Rosmah berkata, walaupun sudah dua kali Najib tidak bersama dalam PAU, beliau mengakui masih terbayang suaminya berucap di atas pentas keramat itu selaku presiden parti.

“Saya sedih kerana beliau tidak dapat bersama dengan kita, kadang-kadang saya juga membayangkan ketika beliau menjadi presiden bagaimana dia duduk di atas tu, nak cakap apa lagi dia patut buat kepada ahli Umno dan orang Melayu,” katanya.

Friday, March 3, 2023

Kemenangan keluarga kami, kata Rosmah selepas Najib bebas

freemalaysiatoday.com

Rosmah Mansor berkata keputusan berkenaan memulihkan semangat bekas pemimpin Umno itu yang menjalani hukuman penjara 12 tahun kerana menyeleweng dana SRC International.

Rosmah Mansor hadir memberikan sokongan kepada suaminya Najib Razak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR: Keputusan Mahkamah Tinggi membebaskan Najib Razak daripada tuduhan menyalahgunakan kuasa dan menyebabkan pindaan pada laporan akhir audit 1MDB disifatkan kemenangan buat keluarganya.

Isteri bekas perdana menteri Rosmah Mansor berkata, keputusan berkenaan juga memulihkan semangat bekas pemimpin Umno itu yang menjalani hukuman penjara 12 tahun kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd.

“Syukur Alhamdulilah sebab kes hari ini adalah kemenangan kepada bukan sahaja suami saya tapi juga kepada keluarga kami.

“Sudah tentu, keputusan ini memulihkan semangat dan yang kami nanti bukan sahaja untuk Datuk (Najib) tapi untuk keluarga kami,” katanya kepada media di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Rosmah memaklumkan, bekas Ahli Parlimen Pekan itu menyatakan rasa syukur atas keputusan hari ini dan berharap keadaan lebih baik berpihak kepadanya.

Terdahulu Mahkamah Tinggi membebaskan Najib daripada tuduhan berkenaan dan bekas CEO 1MDB Arul Kanda Kandasamy yang didakwa bersubahat juga dibebaskan.

Hakim Zaini Mazlan mendapati pendakwa raya gagal membuktikan bahawa ada kes prima facie terhadap Najib, bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Friday, September 16, 2022

'Rosmah sangat rindu suara, gelak tawa Najib'

malaysiakini,com

Diterbitkan: Sep 16, 2022 8:58 AM
Anak perempuan bekas perdana menteri, Nooryana Najwa membuat catatan di media sosial, cuba merakam kepiluan yang perlu dilalui ibunya Rosmah Mansor atas pemenjaraan Najib Razak.

"Daddy tidak ada di sisi kami, tidak di rumah lagi kini.

"Saya cuba menemani Mummy sebanyak mungkin, mengubati rindunya dengan kekosongan di rumah...adakalanya waktu tidur juga supaya katil di sebelah Mummy tidak rasa kosong sangat.

"Sempat mengambil gambar ini waktu Subuh tadi.
"Mummy seorang isteri yang sangat merindui suara, gelak tawa, keceriaan, suaminya di sisi," katanya pada hantaran di Instagram.

Dia berkongsi gambar ibunya memakai telekung.

"Seorang ibu yang kini memikul tanggungjawab ketua rumah kami buat sementara waktu, dan pada masa sama juga memperjuangkan keadilan buat dirinya.

"Seorang nenda yang sentiasa cuba memikirkan bagaimana menjawab soalan cucunya apabila ditanya "di mana atuk?"
"Seorang yang memahami perjuangan dan laungan Bossku, sentiasa berada di sisinya sepanjang masa ini, waktu suka dan dukanya," kata Nooryana lagi.

Baru-baru ini, Nizar - anak lelaki Najib dari perkahwinan pertamanya - melihat nasib yang menimpa bapanya sama seperti pejuang kebebasan Nelson Mandela yang melalui pemenjaraan selama 27 tahun demi berjuang melawan perkauman Aparteid, penyiksaan dan pembunuhan.

Najib baru saja menjalani hukuman penjara selama 12 tahun bermula 23 Ogos lalu.

Ini berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Najib kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Monday, September 12, 2022

Sultan Selangor tarik balik darjah kebesaran Najib, Rosmah

malaysiakini.com
Diterbitkan: Sep 12, 2022 5:02 PM
Sultan Selangor Sharafuddin Idris Shah telah menarik balik darjah kebesaran negeri yang dianugerahkan kepada Najib Razak dan isterinya Rosmah Mansor.

Pembatalan itu berkuat kuasa hari ini, selepas pasangan itu disabitkan kesalahan di mahkamah.

Kenyataan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Haris Kasim menyebut penyingkiran darjah kebesaran itu selaras dengan hak prerogatif sultan untuk berbuat demikian di bawah undang-undang tubuh negeri dan statut mengenai gelaran.

Sultan Selangor sebelum ini telah menggantung gelaran untuk Najib dan Rosmah pada 2019, sementara menunggu keputusan kes mahkamah mereka.
"Beliau (Najib) telah didakwa di Mahkamah Tinggi di atas beberapa pertuduhan yang melibatkan kes salah guna kuasa, pecah amanah dan penggubahan wang haram ke atas dana SRC International Sdn Bhd.

“Pada 23 Ogos 2022, Mahkamah Persekutuan telah mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap beliau yang telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini.

"Maka dengan ini, atas sabitan dan hukuman yang telah dijatuhkan terhadap beliau, Keahlian beliau sebagai penyandang Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (SPMS) Kelas Pertama yang membawa gelaran Dato’ Seri dan Darjah Kebesaran Dato’ Paduka Mahkota Selangor (DPMS) Kelas Kedua yang membawa gelaran Dato’ adalah ditarik balik dan dibatalkan berkuat kuasa pada 12 September 2022," kata Haris melalui kenyataan Selangor Royal Office.
Sementara itu, Rosmah dianugerahkan SPMS Kelas Pertama yang membawa gelaran Datin Paduka Seri pada tahun 2005.

“Beliau (Rosmah) telah didakwa di Mahkamah atas tiga pertuduhan yang melibatkan kesalahan meminta dan menerima rasuah.

“Pada 1 September 2022, Mahkamah Tinggi telah mensabitkan dan menjatuhkan hukuman terhadap beliau atas semua pertuduhan yang dihadapkan kepadanya.

"Maka dengan ini, atas sabitan dan hukuman yang telah dijatuhkan terhadap beliau, Keahlian beliau sebagai penyandang Darjah Seri Paduka Mahkota Selangor (SPMS) Kelas Pertama yang membawa gelaran Datin Paduka Seri adalah ditarik balik dan dibatalkan berkuat kuasa pada 12 September 2022," kata kenyataan itu lagi.
Pasangan itu juga telah dilucutkan gelaran mereka di Negeri Sembilan pada 2018.

Bagaimanapun, pasangan itu masih mempunyai banyak gelaran Datuk Seri dari negeri lain.

Najib mempunyai lapan darjah kebesaran dari Pahang, Perak, Melaka, Kedah, Pulau Pinang, Perlis, Sabah dan Sarawak. Rosmah mempunyai gelaran dari Pahang, Melaka, Kedah, Sabah dan Sarawak, yang membawa gelaran Datuk Seri atau yang setaraf dengannya.

Selain Najib dan Rosmah, Sultan Sharafuddin turut membatalkan gelaran daripada bekas ketua setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Mohd Arif Ab Rahman.
Arif (gambar, atas) dianugerahkan anugerah Sultan Sharafuddin Idris Shah (DSIS) pada 2005 yang membawa gelaran Datuk.

Selain Najib dan Rosmah, Sultan Sharafuddin turut membatalkan gelaran daripada bekas ketua setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Mohd Arif Ab Rahman.

Arif dianugerahkan anugerah Sultan Sharafuddin Idris Shah (DSIS) pada 2005 yang membawa gelaran Datuk.

Semakan ke atas direktori penerima anugerah kerajaan menunjukkan Arif tidak mempunyai darjah kebesaran lain yang membawa gelaran.

"Beliau (Arif) telah disabitkan dan dijatuhi hukuman di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan rasuah. Pada 23 Januari 2021, Mahkamah Tinggi telah mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap beliau yang telah diputuskan oleh Mahkamah Sesyen sebelum ini.

"Maka dengan ini, atas sabitan dan hukuman yang telah dijatuhkan terhadap beliau, Keahlian beliau sebagai penyandang Darjah Kebesaran Dato’ – Sultan Sharafuddin Idris Shah (DSIS) Kelas Kedua yang membawa gelaran Dato’, Darjah Kebesaran Setia – Sultan Sharafuddin Idris Shah (SIS) Kelas Ketiga dan Darjah Kebesaran Ahli Mahkota Selangor (AMS) Kelas Keempat adalah ditarik balik dan dibatalkan berkuat kuasa pada 12 September 2022," maklum kenyataan itu lagi.

Semakan ke atas direktori penerima anugerah kerajaan menunjukkan Arif tidak mempunyai darjah kebesaran lain yang membawa gelaran.

Friday, September 2, 2022

Kes rasuah projek solar hibrid: Rosmah fail rayuan

malaysiakini.com
Hidir Reduan Abdul Rashid
Diterbitkan: Sep 2, 2022 6:28 PM
Rosmah Mansor hari ini memfailkan rayuan kepada Mahkamah Rayuan bagi mengketepikan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi yang mendapatinya bersalah di atas tiga tuduhan rasuah membabitkan projek solar hibrid bagi sekolah luar bandar bernilai RM1.25 bilion.

Peguamnya, Meor Hafiz Salehan, dari firma guaman Akberdin & Co, mengesahkan bahawa isteri bekas perdana menteri yang sedang dipenjarakan, Najib Razak itu telah memfailkan notis rayuannya petang ini.

Ketika dihubungi, peguam itu menambah bahawa dia juga telah memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan supaya hakim perbicaraan Mohamed Zaini Mazlan menarik diri daripada mendengar dan membuat keputusan dalam kes solar tersebut.

Rosmah merayu keputusan semalam atas tiga pertuduhan rasuah yang dikaitkan dengan projek untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Semalam, Zaini yang melakukan penilaian maksimum terhadap kes itu, mendapati Rosmah gagal untuk menyangkal anggapan rasuah mengikut Seksyen 50 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Dalam penghakimannya, hakim itu berkata pembelaan Rosmah adalah penafian kosong semata-mata yang dibuat tanpa bukti yang boleh dipercayai dan tidak berasas bagi menimbulkan keraguan yang munasabah.

Rosmah didakwa meminta rasuah wang tunai RM187.5 juta dan menerima suapan RM6.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di sekolah luar bandar di Sarawak, daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd iaitu Saidi Abang Samsudin.

Rasuah itu diterima melalui bekas pegawai khas suaminya, Rizal Mansor sebagai ganjaran membantu Jepak mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Zaini kemudian menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta kepada Rosmah serta tambahan 30 tahun penjara lagi jika dia gagal membayar denda itu.

Bagaimanapun, dia membenarkan penangguhan pelaksanaan pelaksanaan hukuman itu, sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.

Hakim perbicaraan itu juga menolak permohonan Rosmah agar dia digugurkan daripada mengadili perbicaraan kes rasuah projek tenaga solar hibrid tersebut atas alasan yang dikaitkan dengan dakwaan kebocoran penghakiman mahkamah.

Mahkamah buat keputusan betul, kata anak Rosmah

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
-September 2, 2022 2:29 PM
Azrene Ahmad berkata dia akan terus mendoakan ibunya. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Anak perempuan Rosmah Mansor berkata Mahkamah Tinggi membuat keputusan betul dalam mensabitkan ibunya atas tuduhan rasuah berhubung projek tenaga solar sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion.

Azrene Ahmad, anak kandung Rosmah daripada perkahwinan terdahulu yang sebelum ini dilaporkan mempunyai hubungan “dingin” dengan ibunya berkata, keputusan mahkamah perlu dihormati.

“Biarlah perkara itu habis sehingga ke Mahkamah Persekutuan jika perlu. Kita perlu mempercayai fakta dan keupayaan badan kehakiman kita untuk mencapai penghakimannya tanpa halangan dan tanpa rasa takut.

“Sebagai seorang anak, ia sentiasa mudah untuk berfikir hanya secara subjektif. Ia sentiasa sukar untuk menjadi objektif dalam pemikiran dan tindakan kita, memandangkan keadaan sosio-teologi yang telah kita terima sejak lahir.

“Walaupun banyak ‘white noise’ (kebisingan) subjektif oleh masyarakat kita, budaya dan penerapan agamanya, saya tetap objektif. Betul adalah betul, salah adalah salah – terutama apabila ia berkaitan dengan pemimpin (termasuk pasangan); walaupun mereka adalah keluarga,” katanya di Instagram.

Azrene yang berkahwin dengan cef selebriti Fazley Yaakob berkata, beliau menerima pelbagai teguran sejak empat tahun lalu, sejak kejatuhan kerajaan Barisan Nasional.

Beliau menegaskan akan terus memperjuangkan kepentingan negara kerana ia adalah tanggungjawabnya sebagai manusia dan rakyat Malaysia, walaupun kapasitinya terhad.

“Sebagai seorang anak, saya hanya boleh terus mendoakan mereka (ibu bapa) dan mengharapkan yang terbaik walaupun saya menjangkakan yang paling teruk,” katanya.

Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati Rosmah bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan rasuah berhubung projek tenaga solar sekolah Sarawak.

Hakim Mahkamah Tinggi Zaini Mazlan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta terhadap isteri bekas perdana menteri Najib Razak itu.

Hukuman itu ditangguhkan sementara menunggu rayuan Rosmah di Mahkamah Rayuan.

Terima kasih rakyat Malaysia

malaysiakini.com
Bekas pemimpin Bersih 2.0
Diterbitkan: Sep 2, 2022 12:37 PM
ULASAN l Tanggal 23 Ogos 2022 dan 1 September 2022 akan tercatat dalam sejarah Malaysia untuk selamanya.

Sejarah ini terhasil dengan perjuangan kolektif rakyat Malaysia yang bangkit pada 29 dan 30 Ogos 2015 menentang salah guna kuasa dan rasuah yang dipimpin dua orang individu, iaitu bekas Perdana Menteri Najib Razak dan isterinya Rosmah Mansor.

Dalam tempoh masa seminggu yang lalu, dua orang ini dihukum denda dan penjara dan kerana mencuri duit negara.

Kita tidak akan melihat hasil ini sekiranya rakyat Malaysia tidak bersatu padu dalam perjuangan menentang rasuah secara besar-besaran bermula tahun 2015.
Perjuangan ini adalah perjuangan rakyat Malaysia yang telah turun ke jalan raya untuk tanahair tercinta. Kami tidak dapat menyenaraikan kesemua lebih 500,000 rakyat, tapi kami percaya anda tahu siapa anda walaupun tujuh tahun telah berlalu.

Pengorbanaan dan jasa anda akan sentiasa dikenang. Malah, kami juga tidak akan melupai seluruh rakyat Malaysia yang telah memberikan sumbangan berterusan kepada Bersih 2.0.

Meskipun berdepan dengan ugutan dan pelbagai bentuk intimidasi untuk menghalang rakyat daripada turun ke jalan raya pada 29 dan 30 Ogos 2015, namun rakyat Malaysia memberanikan diri dan tetap turun membanjiri kota Kuala Lumpur untuk menuntut:

Kerajaan yang telus

Hak untuk membantah

Memperkukuhkan demokrasi berparlimen

Menyelamatkan ekonomi

Peletakan jawatan Najib sebagai perdana menteri


Disebabkan keputusan Najib dan timbalannya Zahid Hamidi untuk cuba menutup agenda rasuah, rakyat Malaysia sekali lagi telah turun ke jalan raya pada tahun berikutnya, iaitu 19 November 2016.
Pada malam sebelum himpunan Bersih 5, pejabat Bersih 2.0 diserbu dan dua orang ditahan. Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah, ditahan tanpa bicara selama 10 hari di bawah Akta SOSMA, manakala Mandeep Singh, pengerusi sekretariat, ditahan selama 3 hari.

Perjuangan jalan raya rakyat Malaysia membuahkan hasil pada tarikh keramat 9 Mei 2018, apabila hampir 12.3 juta rakyat telah mengambil tanggungjawab untuk turun mengundi demi menyelamatkan negara kita daripada jatuh ke tangan pencuri dan perasuah.

Kepentingan keluar mengundi dilihat sekali lagi hari ini dan jangan sesekali kita lupai.

Dengan itu, kami sekali lagi mengambil peluang ini pada tarikh bersejarah ini untuk mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada seluruh rakyat Malaysia atas segala sokongan, pengorbanan dan dedikasi anda dalam menuntut keadilan dan memperjuangkan masa depan tanah air yang bebas dari pengaruh pencuri dan perasuah.

Terima kasih dan tahniah Malaysia!

Tulisan ini adalah daripada Maria Chin Abdullah, mantan Pengerusi Bersih 2.0, Dato Dr Toh Kin Woon dan Jay Jay Denis mantan ahli jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0 dan Mandeep Singh, pengurus sekretariat Bersih 2.0.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Rosmah disabit bersalah: 4 perkara utama dalam keputusan hakim

malaysiakini.com
Diterbitkan: Sep 2, 2022 9:58 AM
Semalam, hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohamed Zaini Mazlan menjatuhkan hukuman bersalah terhadap Rosmah Mansor ke atas ketiga-tiga pertuduhan rasuah kes projek tenaga solar di sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion.

Dia didapati bersalah atas satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada bekas pengarah urusan Jepak Holdings Saidi Abang Samsudin, menerusi bekas pegawai khasnya Rizal Mansor.

Untuk itu, Rosmah dihukum penjara 10 tahun dan denda RM970 juta (lebih lima kali nilai suapan yang diminta dan diterima). Jika dia gagal melunaskannya, dia perlu menjalani hukuman penjara 30 tahun lagi.

Susulan keputusan semalam, mahkamah mengeluarkan alasan umum (broad grounds) bagi keputusan Mohamed Zaini. Berikut adalah ringkasan isu-isu utama yang dibangkitkan hakim.

Karakter tercemar

Tiga saksi pendakwaan menjadi saksi utama dalam perbicaraan ini. Individu pertama adalah Rizal Mansor yang merupakan pembantu Rosmah Mansor ketika hal ini berlaku.

Rizal didapati meminta suapan bagi pihak Rosmah daripada dua lagi saksi utama - Saidi Abang Samsudin dan Rayyan Radzwill Abdullah.

Saidi adalah pengasas Jepak Holdings. Dia dan Rayyan adalah rakan niaga walaupun Rayyan tiada kepentingan dalam Jepak Holdings.
Rizal Mansor
Mohamed Zaini menyatakan Rizal dan Saidi adalah "karakter tercemar". Ini kerana Saidi memulakan rasuah sementara Rizal secara terbuka mengaku menerima rasuah daripada Saidi.

"Rizal dan Saidi sebagai karakter tercemar tidak bermakna bukti mereka perlu ditolak sepenuhnya.

"Karakter yang buruk masih mampu menyatakan kebenaran, namun apa yang penting adalah takat kebenaran (yang dinyatakan)," katanya.

Rosmah 'kuasai' Najib

Antara bukti yang dikemukakan pendakwaan adalah rakaman audio yang menunjukkan Rosmah yang sedang marah berkata "can I advise you something?" kepada Najib.

Hakim berkata dalam keterangan Rosmah, dia tidak pernah "menyatakan dengan tegas" bahawa suara dalam rakaman itu bukan miliknya dan Najib.

Sebaliknya Rosmah cuba untuk menyifatkan perbualan itu sebagai perbincangan biasa antara suami isteri.

"Namun ia bukan perbualan biasa antara pasangan kerana ia berkatan hal ehwal kerajaan.

"Jelas daripada rakaman audio itu bahaw tertuduh memberi arahan kepada Najib dalam hal ehwal kerajaan.
"Nadanya bersifat memerintah dan bertentangan dengan hujahnya bahawa dia akur dengan larangan Najib agar tidak masuk campur dalam hal ehwal kerajaan.

"Saya katakan ini dengan rasa hormat yang tinggi, tetapi jelas bahawa tertuduh kuasai (dominates) Najib. Dia (Rosmah) ada kawalan terhadapnya (Najib).

"Dia tiada sebab untuk masuk campur dalam tugas Najib atau hal ehwal kerajaan, tetapi dia lakukannya," kata hakim.

11 catatan minit yang ditulis Najib

Pendakwaan mencadangkan suami Rosmah, iaitu Najib Razak, ketika itu sebagai perdana menteri, menulis 11 catatan minit di surat oleh Jepak yang akhirnya digunakan untuk mendapatkan projek tenaga solar.

Misalnya, pada 2015, Najib menulis "Bersetuju dilaksanakan sistem baru ini dan batalkan sistem lama" pada cadangan projek oleh Jepak Holdings.

Saidi menggunakan taktik ini beberapa kali lagi agar menteri pendidikan ketika itu, Mahdzir Khalid memberi lampu hijau kepada cadangan Jepak Holdings bagi projek itu.

Walaupun Najib bukan individu utama dalam perbicaraan ini, isu yang timbul adalah jika dia mendapat manfaat daripada "sumbangan politik" oleh Saidi dan Rayaan ketika pertemuan pertama mereka dengan Rosmah pada 2016.
Rosmah bersama Abang Saidi
Menurut hakim, situasi seputar bagaimana wang ditawarkan, diberi dan diterima bertentangan dengan apa yang disifatkan sebagai sumbangan politik.

"Pertamanya, hakikat bahawa jumlah yang dijanjikan merupakan peratusan daripada nilai projek bermakna pembayaran adalah untuk manfaat tertuduh. Sumbangan biasanya melibatkan jumlah yang sudah ditetapkan

"Kedua, perihal kerahsiaan berhubung bagaimana bayaran dibuat. Dua pembayaran dibuat secara tunai dalam jumlah yang besar dan diberikan kepada tertuduh sendiri di kediamannya.

"Najib, selaku presiden Umno (ketika itu), tidak pernah ada ketika dua kali wang diberikan, dan itu sangat aneh jika mengambil kira ia adalah sumbangan untuk parti," katanya.

Perihal butler

Bantahan utama yang dibangkitkan pembelaan adalah pendakwaan sepatutnya memanggil butler Rosmah untuk mengesahkan keterangan saksi-saksi lain.

Mahkamah diberitahu dua bag yang berisi wang tunai RM5 juta untuk Rosmah diserahkan kepada butler selepas dihantar oleh Rizal di Seri Perdana - kediaman rasmi perdana menteri - pada 20 Disember 2016.

Baca: Kronologi kes rasuah Rosmah

Rizal dalam keterangannya juga memberitahu dia mengarahkan butler membawa dua beg galas berisi wang RM1.5 juta ke bilik Rosmah di kediamannya di Kuala Lumpur pada 7 September 2017.

Bagi kedua-dua peristiwa ini, hakim berkata keterangan butler tidak perlu diambil memandangkan keterangan saksi lain sudah memadai.

"Akhirnya, bukan butler yang melakukannya," kata hakim.

Pendengaran ditangguh kerana Covid-19

Walaupun perbicaraan bermula pada 5 Februari 2020 dan selesai pada 23 Februari 2022, perbicaraan hanya mengambil masa keseluruhan 42 hari.

Hakim berkata perbicaraan akan selesai lebih cepat jika bukan kerana perintah kawalan pergerakan dan penangguhan ekoran peguam dan saksi dijangkiti Covid-19.

"Mujurlah, akhirnya semua orang dalam keadaan sihat," katanya.

Thursday, September 1, 2022

"Lebih baik bunuh saya" - Rosmah

bharian.com.my
Oleh Faris Fuad
faris.fuad@bh.com.my
 - September 1, 2022 
Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, meninggalkan pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur selepas diputuskan bersalah dalam kes projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion. - Foto NSTP/ASWADI ALIAS

KUALA LUMPUR: Datin Seri Rosmah Mansor, ketika membuat kenyataan dari kandang tertuduh di Mahkamah Tinggi, hari ini menyuarakan kesedihan dan kekecewaannya dengan apa yang berlaku.

Dalam nada sebak, beliau berkata, mahkamah adalah tempat untuk mendapatkan keadilan dan beliau sentiasa mengingatkan pasukan peguamnya supaya sentiasa bercakap benar.

"Ini cara saya dibesarkan. Saya tidak mahu bercakap lebih. Saya menghormati keputusan mahkamah dan saya ingin meninggalkan mahkamah ini dengan memori yang baik terhadap sistem keadilan.

"Saya pernah menjadi wanita pertama negara," katanya.

Terdahulu, Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan memutuskan Rosmah bersalah terhadap tiga pertuduhan rasuah membabitkan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion di sekolah luar bandar di Sarawak.

Rosmah berkata, beliau tidak mahu menyebut mengenai sumbangannya, namun menegaskan banyak memulakan program untuk kanak-kanak di negara ini.

Katanya, beliau berasa bangga atas sumbangannya bagi memajukan kanak-kanak di negara ini.

"Saya tak pernah terfikir untuk membazir wang. Saya bertanggungjawab ke atas BAKTI (Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri) dan kami mempunyai RM45 juta, tidak pernah saya sentuh satu sen pun," katanya.

Rosmah berkata, beliau juga tidak pernah mengenali sesiapa dalam Jepak Holdings, syarikat yang dianugerahkan kontrak dalam projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion di sekolah luar bandar di Sarawak.

"Tiada siapa nampak saya ambil wang tetapi kalau begitu kesimpulannya, saya serahkan kepada Allah.

"Saya tidak tahu pun jumlah kos projek itu sebanyak itu. Saya hanya bercakap benar dan tiada yang lain, kecuali perkara yang benar," katanya.

Rosmah berkata, beliau tidak pernah terfikir untuk menipu mana-mana persatuan yang dipimpinnya.

"Jadi, apabila saya didakwa di mahkamah, saya terkejut. Saya juga tidak pernah mempengaruhi suami (Datuk Seri Najib Razak). Setiap kali saya buka mulut, dia (Najib) akan kata awak isteri saya, jangan masuk campur," katanya sambil mahkamah supaya berbelas ihsan kepadanya dalam menjatuhkan hukuman.

"Ini boleh berlaku kepada saya, ia juga boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, kepada isteri anda, anak anda atau cucu.

"Saya adalah mangsa...anda mahu kami sengsara, kami semenangnya sengsara. Tolong lihat saya sebagai seorang wanita dan tolong untuk lebih berperikemanusiaan," katanya.

Sementara itu, peguam bela Rosmah, Datuk Jagjit Singh, mengemukakan rayuan supaya anak guam dikenakan hukuman ringan.

Beliau meminta hakim menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda minimum kepada Rosmah.

"Rosmah mempunyai perwatakan yang tidak tercela dan berbakti kepada negara sebagai isteri kepada Perdana Menteri, terutama dalam membantu anak-anak kecil yang tidak diberi pendidikan.

"Selain itu, program Pusat Anak Permata Negara (PERMATA) dibangunkan Rosmah bagi membantu kanak-kanak kurang bernasib baik dan ia sesuatu yang tidak pernah dilakukan oleh isteri mana-mana Perdana Menteri di negara ini.

"Rosmah juga mempunyai masalah kesihatan yang perlu dipertimbangkan mahkamah dan orang lain yang terbabit dengan projek itu semuanya bebas sementara hanya beliau didakwa di mahkamah. Bagaimanapun, Datin Seri Rosmah tetap memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa," katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram, menggesa mahkamah mengambil kira tahap serius kesalahan berkenaan.

Katanya, Rosmah berhadapan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali jumlah suapan diterima bagi setiap pertuduhan.

"Sebarang keputusan harus membuat mereka yang ingin mengambil rasuah, tidak berbuat demikian. Jika hanya penjara sehari, ia akan memberi isyarat salah kepada rakyat.

"Maksimum atau hampir maksimum hukuman perlu diberikan. Korupsi adalah kesalahan serius," katanya.

Sejurus mendengar kenyataan itu, Rosmah berkata: "Lebih baik bunuh saya."

Mahkamah Tinggi kemudiannya memerintahkan Rosmah dipenjara 10 tahun bagi setiap tuduhan, yang berjalan secara serentak dan didenda RM970 juta.

Bagaimanapun, Mohamed Zaini membenarkan pelaksanaan hukuman itu ditangguhkan hingga Rosmah mengemukakan rayuan.

Jika beliau gagal membayar denda berkenaan, Rosmah perlu menjalani hukuman penjara tambahan 30 tahun.

Rosmah campuri urusan kerajaan ketika Najib jadi PM, kata hakim

freemalaysiatoday.com
V Anbalagan
-September 1, 2022 9:45 PM
Hakim Zaini Mazlan berkata rakaman audio dikatakan perbualan antara Rosmah Mansor dan Najib Razak berkaitan 1MDB jelas menunjukkan dia memberi arahan kepada bekas perdana menteri itu berhubung hal ehwal kerajaan.

KUALA LUMPUR: Rosmah Mansor mencampuri hal ehwal kerajaan ketika suaminya Najib Razak menjadi perdana menteri antara 2009 hingga 2018, kata Mahkamah Tinggi.

Hakim Zaini Mazlan berkata, ini berdasarkan rakaman audio dikatakan perbualan antara Rosmah dan Najib mengenai isu berkaitan 1MDB, dan turut disokong keterangan saksi pendakwaan.

“Jelas daripada rakaman itu, tertuduh memberi arahan kepada Najib mengenai hal ehwal kerajaan,” katanya dalam penghakiman sepanjang 116 muka surat ketika mendapati Rosmah bersalah atas tiga tuduhan rasuah berkaitan projek tenaga solar sekolah di luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion.

Katanya, nada Rosmah adalah memerintah, dan bertentangan dengan dakwaannya bahawa dia mematuhi arahan Najib supaya tidak mencampuri hal ehwal kerajaan.

“Saya menyatakan perkara ini dengan penuh hormat, namun jelas tertuduh mendominasi Najib. Dia mempunyai kawalan terhadapnya. Dia tidak patut mencampuri tugas atau hal ehwal Najib, tetapi berbuat demikian,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, Rosmah cuba menggambarkan perbualan itu sebagai borak biasa antara suami isteri.

Zaini berkata, bekas pembantu Rosmah, Rizal Mansor bercakap benar apabila memberi keterangan bahawa tertuduh dilihat sebagai garang dan mampu mempengaruhi keputusan berkaitan perkhidmatan awam.

Katanya, ini kerana Rizal telah berkhidmat lama dengan Rosmah seterusnya mampu melihat sendiri sikap itu.

Zaini berkata, beliau juga tiada sebab untuk curiga dengan keterangan bekas menteri pendidikan Mahdzir Khalid dan bekas ketua setiausaha Kementerian Pendidikan Madinah Mohamed yang mengesahkan suara dalam rakaman itu sebagai milik Najib serta Rosmah.

Ketika soal balas oleh pendakwa ad-hoc Gopal Sri Ram, Rosmah menolak isi kandungan rakaman itu sebagai “merepek”.

Pendakwaan mengemukakan rakaman itu bagi menyokong dakwaannya bahawa Rosmah cukup berpengaruh kerana garang, walaupun tidak memegang sebarang jawatan rasmi.

Ia juga bagi menunjukkan Rosmah mendesak pegawai kanan Kementerian Pendidikan supaya memberikan projek itu kepada Jepak Holdings Sdn Bhd.

Rosmah didapati bersalah meminta RM187.5 juta daripada Saidi menerusi Rizal, sebagai dorongan untuk membantu syarikat itu mendapatkan projek bernilai RM1.25 bilion berkenaan.

Dia menerima rasuah RM5 juta daripada Saidi menerusi Rizal di Seri Perdana di Putrajaya pada 20 Disember 2016, dan RM1.5 juta lagi daripada Saidi di Jalan Langgak Duta pada 7 September 2017.

Zaini memerintahkan Rosmah dipenjara 10 tahun bagi setiap satu tuduhan terhadapnya, dengan kesemua hukuman itu berjalan serentak.

Kes Rosmah: Maszlee syukur pendedahan 2018 akhirnya terbukti

ismaweb.net
Athirah Huda Zalhe
Harap lebih ramai perasuah, kleptokrat terima hukuman setimpal

BANGI, 4 Safar 1444H, Khamis – Bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik meluahkan rasa syukur kerana pendedahannya terhadap isu penyelewengan projek solar di Sarawak akhirnya terbukti hari ini.

Ini selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati Datin Seri Rosmah Mansor bersalah meminta rasuah RM187.5 juta dan menerima suapan RM6.5 juta membabitkan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan berkata, pembelaan tidak berjaya menimbulkan keraguan terhadap semua tiga tuduhan.

Rosmah yang juga isteri kepada Datuk Seri Najib Razak – bekas Perdana Menteri yang sedang dipenjarakan – didakwa meminta dan menerima suapan daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holding iaitu Saidi Abang Samsudin.

Rasuah itu diterima melalui bekas pegawai khas suaminya Datuk Seri Najib Razak, iaitu Datuk Rizal Mansor sebagai ganjaran kerana membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Maszlee berkata, isu penyelewengan itu telah didedahkan dan dibawakan beliau kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta polis ketika berada di Kementerian Pendidikan (KPM) pada 2018.

“Alhamdulillah, kebenaran akhirnya tertegak, keadilan akhirnya terlaksana.

“Kezaliman mengambil hak anak-anak Malaysia di Sarawak yang bergelut dengan kepayahan demi menimba ilmu ini terbalas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahli Parlimen Simpang Renggam itu turut berharap lebih ramai pelaku rasuah dan kleptokrat akan menerima hukuman setimpal dengan jenayah yang dilakukan mereka.

“Semoga ada sinar buat Malaysia yang lebih bersih. Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Pembelaan Rosmah penafian kosong semata-mata: Hakim

bharian.com.my
Oleh Ahmad Johari Mohd Ali
ajohari@bh.com.my
 - September 1, 2022 @ 4:43pm

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohamed Zaini Mazlan

KUALA LUMPUR: Pembelaan Datin Seri Rosmah Mansor dalam kes rasuah membabitkan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak adalah penafian kosong semata-mata.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan dalam penghakimannya berkata secara ringkasnya pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap ketiga-tuduhan yang dikenakan terhadap Rosmah.

"Mahkamah hendaklah, pada akhir perbicaraan mempertimbangkan semua keterangan yang dikemukakan dan memutuskan sama ada pendakwaan membuktikan kesnya melampaui keraguan munasabah.

"Selepas menjalankan penilaian maksimum semua keterangan oleh tertuduh dan pihak pendakwaan pada akhir perbicaraan, mahkamah mendapati tertuduh gagal untuk menyangkal anggapan rasuah mengikut Seksyen 50 (1) Akta SPRM.

"Pembelaan tertuduh adalah penafian kosong semata-mata yang dibuat tanpa bukti yang boleh dipercayai dan tidak berasas untuk menimbulkan keraguan yang munasabah.

"Tertuduh dengan itu didapati bersalah terhadap semua tuduhan mengikut Seksyen 16 (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Mahkamah benarkan penangguhan sementara tunggu rayuan

malaysiakini.com
Hidir Reduan Abdul Rashid
Diterbitkan: Sep 1, 2022 4:20 PM

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman 10 tahun penjara terhadap Rosmah Mansor dan denda RM970 juta selepas didapati bersalah atas tiga tuduhan rasuah membabitkan projek tenaga solar di sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah ke atas kes pendakwaan.

Jika gagal membayar denda tersebut, Rosmah perlu menjalani hukuman penjara tambahan 30 tahun.

Zaini bagaimanapun membenarkan permohonan Rosmah untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.

Rosmah yang hadir dengan memakai baju kurung berselendang kuning kelihatan menangis teresak-esak ketika berucap di mahkamah, sejurus sabitan dibaca di hadapannya.

Mengikut pertuduhan pertama, Rosmah, 71, didakwa meminta suapan untuk dirinya sendiri sebanyak RM187.5 juta, yang dibuat melalui bekas pegawai khasnya Rizal Mansor, iaitu 15 peratus nilai kontrak daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn. Bhd, Saidi Abang Samsudin.

Wang berkenaan sebagai balasan bagi membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan serta Operasi Genset/Diesel bagi 369 Sekolah Luar Bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menerima rasuah berjumlah RM1.5 juta daripada Saidi sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan projek itu di No 11, Jalan Langgak Duta, Taman Duta , pada 7 September 2017.

Rosmah didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Sabit kesalahan, ia memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.

Bagi pertuduhan ketiga, Rosmah didakwa menerima suapan RM5 juta daripada Saidi menerusi Rizal kerana membantu Jepak Holdings mendapatkan projek serupa di tempat yang sama di Jalan Langgak Duta.

LANGSUNG | Rosmah dihukum penjara 10 tahun, denda RM970 juta

malaysiakini.com
Hidir Reduan Abdul Rashid
Diterbitkan: Sep 1, 2022 9:07 AM

Seluruh perhatian bertumpu kepada Rosmah Mansor hari ini, sama ada dia akan menyusuli suaminya, Najib Razak dengan didapati bersalah atau dibebaskan daripada kes rasuah berhubung projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Namun, dalam langkah saat-saat akhir, Rosmah dua hari lalu memfailkan permohonan agar hakim perbicaraan, Mohamed Zaini Mazlan menarik diri daripada mendengar kes ini.

Hari ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dijangka akan mengendalikan permohonan itu terlebih dahulu sebelum memutuskan untuk menyampaikan keputusan tiga pertuduhan rasuah terhadapnya.

Malaysiakini akan memberikan laporan langsung prosiding hari ini.

4.16 petang: Rosmah Mansor dilihat beredar dari Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Penjara 10 tahun, denda RM970 juta terhadap Rosmah

4.09 petang: Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta terhadap Rosmah Mansor, sebagai ganti kepada hukuman penjara 30 tahun lagi.

Hukuman itu selepas dia disabit bersalah atas ketiga-tiga tuduhan dalam kes rasuah projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion.

Namun, hakim Mohamed Zaini Mazlan membenarkan permohonan peguam agar hukuman ditangguhkan sementara menunggu rayuan di peringkat Mahkamah Rayuan.

Zaini juga membenarkan ikat jamin RM2 juta yang ditetapkan sebelum ini dikekalkan.

3.43 petang: Selepas mendengar hujahan lisan berhubung hukuman, hakim Mohamed Zaini Mazlan menangguhkan sebentar prosiding untuk membolehkannya memutuskan hukuman yang akan dijatuhkan terhadap Rosmah Mansor.

Rosmah: Lebih baik bunuh saja saya

3.27 petang: Di kandang tertuduh, Rosmah didengar berkata "lebih baik bunuh saja saya".

Dia berkata demikian ketika mendengar pendakwaan memohon hukuman penjara yang panjang dan denda yang besar dijatuhkan terhadapnya.

Pendakwaan mohon hukuman maksimum

3.26 petang: Timbalan Pendakwa Raya Gopal Sri Ram memohon mahkamah memberi hukuman maksimum, atau hampir maksimum, terhadap Rosmah.

Sri Ram yang merupakan bekas hakim Mahkamah Persekutuan berkata, setiap tiga pertuduhan terhadap Rosmah membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda lima kali nilai rasuah.

Dia berkata, hukuman maksimum bagi menghantar mesej kepada semua pihak yang mungkin berisiko melakukan kesalahan sama, bahawa rasuah adalah sesuatu yang memudaratkan dan perlu dibanteras.

Sri Ram juga memohon mahkamah menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM970 juta terhadap Rosmah.

Katanya lagi, jika Rosmah gagal membayar denda itu, hukuman penjara terhadapnya perlu ditambah 30 tahun lagi.

Peguam mohon hukuman penjara sehari untuk Rosmah

3.24 petang: Peguam Jagjit Singh memohon hukuman ringan terhadap Rosmah Mansor, antaranya dengan membangkitkan sumbangan anak guamnya itu kepada masyarakat serta kerana ini merupakan kesalahan pertamanya.

Dia kemudian mencadangkan tempoh penjara sehari selain hukuman ringan lain yang boleh dijatuhkan kepada Rosmah.

Rosmah: Saya mangsa dalam kes ini

3.20 petang: Rosmah Mansor mendakwa dia adalah mangsa dalam kes projek solar hibrid dan pihak yang benar-benar bersalah masih lagi bebas pada masa ini.

Dia juga berharap mahkamah dapat memberi belas ihsan kepadanya sebagai seorang manusia.

"Apa yang berlaku kepada saya boleh berlaku kepada anda, anak anda, cucu anda kemudian. Saya mangsa dalam semua ini.

"Anda telah lakukannya kepada suami saya dan anda mahu keluarga saya menderita.

"Tolong ambil kira saya yang menggantikan peranan ketua keluarga," katanya dengan teresak-esak.

Suaminya, Najib Razak kini menjalani hukuman penjara 12 tahun bagi kes rasuah SRC International berjumlah RM42 juta.

'Saya tak ambil satu sen pun'

3.17 petang: Rosmah Mansor dalam tangisannya berkata dia tidak pernah mengambil walau satu sen daripada projek projek solar hibrid.

Begitu juga dengan jutaan dana untuk Permata dan Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti), katanya lagi.
Rosmah menangis

3.14 petang: Rosmah gagal menahan air mata ketika bercakap di mahkamah hari ini

Dia berkata amat sedih dengan keputusan hari ini tetapi menghormati keputusan yang telah dibuat mahkamah itu.

Katanya lagi, dia sentiasa memberitahu peguamnya untuk hanya bercakap benar, seperti mana dia mengajar perkara yang sama kepada anak-anaknya.

'Rosmah tubuhkan Permata'

3.08 petang: Peguam Jagjit Singh berkata Rosmah Mansor telah melakukan apa yang tidak pernah dibuat oleh mana-mana isteri perdana menteri sebelum ini, iaitu menubuhkan program Pusat Anak Permata Negara (Permata).

Di berkata program itu adalah buah fikiran Rosmah dan diiktiraf di dalam dan luar negara atas peranannya dalam mendidik kanak-kanak.

Peguam: Rosmah berjasa kepada negara, terutama kanak-kanak

3.03 petang: Peguam Jagjit Singh dalam hujahannya untuk hukuman yang ringan, berkata Rosmah Mansor telah memberikan banyak sumbangan kepada negara dan rakyat, terutama kanak-kanak.

Jagjit berkata pendakwaan telah bergantung kepada keterangan bekas pembantunya Rizal Mansor, yang didakwanya sebagai seorang yang mengaku dirinya korup dan menjadi saksi pendakwaan untuk menyelamatkan dirinya.

Mahkamah dapati Rosmah bersalah

2.56 petang: Hakim Mohamed Zaini Mazlan mendapati Rosmah Mansor bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan kes rasuah projek hibrid solar berjumlah RM1.25 bilion.

Zaini berkata tertuduh gagal membangkitkan keraguan munasabah terhadap hujah pendakwaan, dan pembelaannya hanyalah penafian dan tidak diiringi dengan bukti berwibawa.

Mahkamah kini menunggu pasukan peguam Rosmah untuk berhujah bagi mitigasi untuk hukuman yang ringan.

Mahkamah dijangka beri keputusan

2.53 petang: Hakim perbicaraan Mohamed Zaini Mazlan dijangka membacakan keputusan berhubung kes rasuah projek hibrid solar berjumlah RM1.25 bilion terhadap Rosmah.Peguam sekali lagi minta tangguh keputusan kes Rosmah

Hujan atau panas

2.45 petang: Hujan yang turun tidak menghalang penyokong Rosmah Mansor untuk menunggu di luar Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

Sementara kebanyakan pengamal media mencari tempat berteduh, mereka kekal duduk di atas hamparan tikar bagi menunggu prosiding hari ini tamat.
2.44 petang: Peguam Rosmah Mansor memohon penangguhan keputusan kes rasuah terhadapnya.

Jagjit Singh dalam penghujahan lisannya berkata, penangguhan itu sementara mereka membuat rayuan di Mahkamah Persekutuan berhubung penolakan permohonan mereka untuk menggugurkan Mohamed Zaini Mazlan selaku hakim yang mengendalikan kes ini.

Mahkamah tolak permohonan Rosmah

2.43 petang: Hakim Mohamed Zaini Mazlan menolak permohonan Rosmah untuk menggugurkannya daripada mendengar kes ini.

Zaini membangkitkan bahawa dua dokumen yang didakwa bocor bukanlah draf penghakiman untuk disediakan atas arahannya.

Dia berkata, dokumen itu sebaliknya penulisan penyelidikan oleh unit penyelidikan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan ia tidak mempengaruhi keputusannya dalam apa jua cara.

"Saya tak baca pandangan mereka (unit penyelidikan). Saya buat penyelidikan sendiri berdasarkan penghujahan pihak terlibat.

"Saya sentiasa buat kerja saya sendiri (dan) telah menulis lebih 200 penghakiman," kata Zaini lagi.

Prosiding bersambung

2.39 petang: Hakim Mohamed Zaini Mazlan masuk ke mahkamah dan prosiding bersambung.

Zaini dijangka akan memberikan keputusan berhubung permohonan Rosmah Mansor agar dia tidak mendengar kes rasuah projek hibrid solar ke atasnya.

Rosmah kembali ke mahkamah

2.15 petang: Rosmah Mansor masuk ke mahkamah untuk menunggu prosiding bersambung.

Turut dilihat adalah ketua pasukan pendakwaan Gopal Sri Ram dan pasukan pembelaan diketuai Jagjit Singh dan Akberdin Abdul Kader.

2.05 petang: Penyokong Rosmah Mansor dilihat di luar perkarangan mahkamah, menunggu prosiding bersambung.

Keputusan permohonan hakim tarik diri selepas rehat tengah hari

12.50 tengah hari: Mahkamah berhenti untuk rehat makan tengah hari dan dijangka akan memberikan keputusan berhubung permohonan pembelaan agar hakim perbicaraan, Mohamed Zaini Mazlan tarik diri selepas prosiding kembali bersambung.

'Tak kira sejahat mana, masih ada kebaikan dalam dirinya'

12.42 tengah hari: Peguam Jagjit Singh berkata walau sejahat mana pun seseorang itu, masih ada sedikit kebaikan dalam dirinya.

Dia berkata demikian sebagai respons kepada hujah pendakwaan bahawa sumber bagi dokumen didakwa bocor berkaitan kes Rosmah, iaitu blog Malaysia Today yang dikendalikan Raja Petra Kamarudin, tidak boleh dipercayai.

"Berkenaan penulis bajingan (atau rogue, seperti hujah pendakwaan), apa saja seorang individu itu, walau sejahat mana pun dia, masih ada sedikit kebaikan dalam dirinya.

"Itulah yang diajar agama kepada kita," katanya.

"Dia mungkin seorang penulis ‘jahat’ (seperti yang dikatakan pendakwaan), tetapi adakah dokumen-dokumen ini palsu?" soalnya lagi.
Raja Petra Kamarudin

DPP: Penulisan unit penyelidikan tak jejaskan kebebasan kehakiman

12.35 tengah hari: Timbalan Pendakwa Raya Gopal Sri Ram berkata penulisan pendapat oleh unit penyelidikan mahkamah tidak menjejaskan kewibawaan kehakiman dalam membuat keputusan.

Dia yang merupakan bekas hakim Mahkamah Persekutuan berkata, penulisan seumpama itu sudah menjadi amalan sekian lama di negara Komanwel hanya untuk membantu hakim ketika menyelidik kes.

Sri Ram berkata akhirnya penulisan itu adalah pendangan anggota unit yang menulisnya dan keputusan sebenar kes masih bergantung kepada hakim.

Terdahulu hari ini, dia berkata dokumen bocor tersebut bukan penghakiman, sebaliknya kertas penyelidikan yang ditulis unit penyelidikan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Dokumen bocor: Blog Raja Petra bukan sumber boleh dipercayai - DPP

12.31 tengah hari: Timbalan Pendakwa Raya Gopal Sri Ram dalam hujah lisannya berkata Malaysia Today, iaitu blog di mana dua dokumen yang didakwa sebagai penghakiman kes Rosmah Mansor dimuat naik - bukanlah sumber berwibawa.

"Dalam penghujahan saya, penulis artikel (di blog itu) adalah seorang pelarian daripada keadilan yang bersembunyi di United Kingdom.

"Kedua, dia adalah wartawan 'jahat' (rogue). Pandangannya berubah berdasarkan berapa banyak dia dibayar," katanya.
Gopal Sri Ram
12.22 tengah hari: Peguam Jagjit Singh selesai memberikan penghujahan lisan bagi permohonan pengguguran hakim Mohamed Mazlan Zaini.

Peguam: Dokumen bocor adalah draf penghakiman disediakan pihak ketiga

11.58 pagi: Peguam Jagjit Singh berkata dokumen yang didakwa bocor tersebut adalah draf penghakiman yang disediakan oleh pihak ketiga untuk hakim Mohamed Zaini Mazlan.

Dia berkata demikian ketika Zaini bertanya apakah dokumen itu sebenarnya, yang menjadi asas kepada permohonan pembelaan agar dia digugurkan daripada mendengar kes tersebut.

Anak Najib tiba di mahkamah

11.39 pagi: Anak Rosmah Mansor, Nooryana Najwa Najib dilihat masuk ke mahkamah dan duduk di galeri awam.

Sementara itu, peguam Jagjit Singh meneruskan hujahan lisannya bagi permohonan agar hakim Mohamed Zaini Mazlan menarik diri daripada mendengar kes itu.

'Dokumen bocor' disiarkan di projektor

11.23 pagi: Peguam Jagjit Singh merujuk salinan dokumen didakwa bocor berkaitan kes rasuah Rosmah Mansor, yang disiarkan di mahkamah menerusi projektor.

Dia berhujah bahawa ada risiko berat sebelah melibatkan hakim Mohamed Zaini Mazlan memandangkan dokumen itu menyatakan ia disediakan untuk pertimbangan hakim.

Dokumen itu didakwa bukan penghakiman bertulis sebenar untuk kes Rosmah, tetapi salinan penyelidikan dan penulisan pendapat yang disediakan unit penyelidikan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

'Pendakwaan tak tegaskan dokumen didakwa bocor adalah palsu'

11.13 pagi: Peguam Jagjit Singh berkata tiada penegasan daripada pihak pendakwaan bahawa dokumen didakwa bocor yang berkaitan dengan kes rasuah Rosmah Mansor adalah dokumen palsu.

Dia berkata hakim perlu mampu menyampaikan keputusan tanpa pengaruh tidak sepatutnya, secara langsung mahupun tidak langsung daripada mana-mana sumber lain.

Peguam: Hakim perlu bebas dari pengaruh luar

11 pagi: Peguam Jagjit Singh berkata hakim yang mengendalikan perbicaraan perlu mampu melaksanakan tanggungjawabnya secara saksama dan bebas daripada pengaruh luar.

Katanya, kebebasan kehakiman memastikan seorang hakim dapat menilai bukti, mengguna pakai undang-undang dan menentukan keputusan kes tanpa mengira mana-mana pihak, demi menegakkan keadilan.

"Saya ada keyakin penuh terhadap Yang Arif (Mohamed Zaini Mazlan) tidak akan dipengeruhi oleh perkara ini, tetapi (risiko berat sebelah) masih wujud, dan itulah tujuan permohonan (pengguguran hakim)," katanya.
Jagjit Singh

Peguam: Awan gelap kembali selubungi badan kehakiman

10.50 pagi: Peguam Jagjit Singh berkata awan gelap telah melitupi badan kehakiman sejak 23 Ogos lalu.

Katanya, ia serupa dengan apa yang berlaku pada 1988, merujuk kepada penyingkiran Salleh Abbas sebagai ketua hakim negara.

Sejarah mengenang peristiwa itu sebagai krisis kehakiman negara.

Jagjit mendakwa awan gelap kembali melitupi badan kehakiman pada 23 Ogos lalu, dipercayai merujuk kepada keputusan Mahkamah Persekutuan menolak rayuan suami Rosmah, Najib Razak untuk mengetepikan sabitan dan hukuman terhadap kes rasuah SRC International berjumlah RM42 juta.

Dia merujuk dakwaan kebocoran penghakiman berkaitan kes Najib sebelum Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman terhadapnya.

Peguam: Hanya perlu buktikan ada bahaya berat sebelah

10.43 pagi: Peguam Jagjit Singh dalam hujahan lisannya berkata, undang-undang tidak memerlukan pemohon untuk memberikan bukti meyakinkan untuk membuktikan aspek berat sebelah pada hakim.

Dia berkata, mereka hanya perlu menunjukkan apa yang boleh dan menyerahkan kepada mahkamah jika ada bahaya berlakunya berat sebelah.

Peguam: Permohonan pengguguran hakim bukan cakap dengar.

10.40 pagi: Peguam Jagjit Singh menafikan hujah pendakwaan bahawa permohonan agar hakim Mohamed Zaini Mazlan digugurkan daripada mendengar kes itu adalah berdasarkan bukti cakap dengar.

Katanya, ini kerana mahkamah sebelum ini membuat laporan polis berhubung dakwaan kebocoran draf penghakiman dan ketua polis daerah Sentul dilaporkan telah mengesahkan bahawa perkara itu disiasat mengikut Kanun Keseksaan dan Akta Rahsia Rasmi.

Prosiding bersambung

10.32 pagi: Pendengaran permohonan agar hakim perbicaraan, Mohamed Zaini Mazlan digugurkan disambung semula.

Ia ditangguhkan sebentar bagi membolehkan peguam menyediakan hujah balas terhadap balasan yang difailkan oleh pendakwaan agar permohonan itu ditolak.

Mahkamah sedia dengar permohonan gugur hakim

9.42 pagi: Hakim Mohamed Zaini Mazlan berkata mahkamah hari ini sedia mendengar permohonan agar dia tidak mendengar kes itu.

Zaini juga membayangkan dia tidak cenderung untuk menangguhkan keputusan kes itu yang dijadual hari ini.

Katanya, dia sendiri menghabiskan kebanyakan masa ketika cuti Hari Merdeka semalam untuk membaca permohonan yang difailkan pembelaan.

Dia mengambil maklum yang peguam telah memfailkan perakuan segera agar permohonan pengguguran hakim didengar secepat mungkin, justeru dia menetapkan yang permohonan itu didengar hari ini.

"Apa-apa pun, anda telah failkan perakuan segera. Anda sepatutnya sedia. Anda kata ada keperluan untuk failkan balasan. Saya sudah baca (keseluruhan permohonan pengguguran hakim dan dokumen berkaitan," katanya.

Katanya, permohonan pengguguran itu bersandarkan pada dakwaan berkenaan sesuatu yang sepatutnya di dalam pengetahuannya dan didakwa ditulis oleh pihak ketiga.

Zaini bagaimanapun membenarkan prosiding ditangguh setengah jam bagi membolehkan peguam menyediakan hujah balas terhadap afidavit pihak pendakwaan.
Mohamed Zaini Mazlan

Pendakwaan bantah permohonan tangguh keputusan

9.33 pagi: DPP Gopal Sri Ram menyuarakan bantahan terhadap permohonan peguam agar keputusan kes rasuah Rosmah Mansor, yang dijadual diberikan hari ini, ditangguh.

Sri Ram menyifatkan permohonan agar hakim perbicaraan, Mohamed Zaini Mazlan menarik diri dibuat tanpa merit dan bersifat spekulasi.

Dia berkata kebocoran dokumen yang didakwa draf penghakiman sebelum ini sebenarnya bukanlah penghakiman, sebaliknya ia adalah penyelidikan dan penulisan pendapat yang disediakan oleh unit penyelidikan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Dia juga berkata pihak pendakwaan sedia untuk meneruskan pendengaran hari ini.
Gopal Sri Ram
9.28 pagi: Peguam Jagjit Singh memohon keputusan hari ini ditangguhkan bagi memberikan lebih masa kepada pasukan pembelaan memfailkan respons terhadap hujahan bertulis pihak pendakwaan.

Dia berkata salinan balasan pendakwaan terhadap permohonan pengguguran hakim hanya diserahkan kepada pihaknya hari ini.

Permohonan hakim tarik diri didengar

9.25 pagi: Mahkamah mula mendengar permohonan Rosmah Mansor agar hakim Mohamed Zaini Mazlan menarik diri daripada mendengar kes rasuah terhadapnya.

Peguam Jagjit Singh memulakan penghujahan lisan bagi permohonan itu.
Jagjit Singh

Prosiding bermula

9.23 pagi: Hakim Mohamed Zaini Mazlan masuk ke mahkamah dan perbicaraan bermula.Rosmah tiba di mahkamah

Rosmah tiba di mahkamah

8.57 pagi: Dia yang mengenakan baju kurung dan selendang kuning dilihat duduk di galeri awam untuk menunggu prosiding bermula.

Turut dilihat adalah ketua pasukan pembelaan, Akberdin Abdul Kader dan Jagjit Singh.

DPP tiba di mahkamah

8.30 pagi: Ketua pasukan pendakwaan, Gopal Sri Ram dilihat tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Pasukan pembelaan Rosmah juga dilihat sudah berada di mahkamah.

Mahkamah dijangka sampaikan keputusan

8 pagi: Zaini dijangka memberikan keputusan ke atas satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada bekas pengarah urusan Jepak Holdings Saidi Abang Samsudin, menerusi bekas pegawai khasnya Rizal Mansor.

Wang tersebut didakwa sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion daripada Kementerian Pendidikan (KPM) secara rundingan terus.

Pada mulanya keputusan dijadualkan dibuat pada 7 Julai namun ditangguh ke hari ini.

Pada 15 November 2018, Rosmah mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas satu pertuduhan meminta rasuah RM187.5 juta dan satu pertuduhan menerima rasuah RM1.5 juta.

Pada 10 April 2019, dia sekali lagi dibawa ke mahkamah atas satu pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5 juta.
Rizal Mansor
Dia pada mulanya didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur sebelum tiga pertuduhan itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi untuk dibicarakan secara bersama.

Pada 18 Februari tahun lalu, Mahkamah Tinggi mengarahkan Rosmah untuk membela diri selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Seramai 23 saksi telah dipanggil pendakwaan dengan Rizal dan bekas menteri pendidikan Mahdzir Khalid menjadi saksi utama.

Terdahulu, Rizal dalam keterangannya berkata dia membawa wang tunai RM5 juta dalam dua beg dan ke Seri Perdana - kediaman rasmi perdana menteri di Putrajaya.

Wang itu didakwa diberikan Saidi pada 2016.

Mahkamah juga diberitahu Mahdzir mengeluarkan arahan untuk meminda surat perjanjian kepada Jepak Holdings. Bahagian yang dipinda adalah Perkara 11 yang menyatakan kerajaan ada hak untuk membatalkan kontrak itu pada bila-bila masa.

Peguam Rosmah dalam hujahnya antara lain berkata saksi pendakwaan membuat konspirasi terhadap Rosmah.

Jika disabit bersalah, dia boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali nilai suapan.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-