Friday, June 22, 2018

Rakyat pilih Pas pada PRU15 nanti

SITI FATIHAH AWANG
22 JUN 2018

Nik Zawawi membacakan doa penutup sesi ceramah, hari ini.

KOTA BHARU – "Tidak mustahil rakyat akan memilih Pas pada PRU15 nanti untuk menerajui kerajaan Malaysia kerana Pas terbukti boleh mengotakan segala janji dalam manifesto,” kata Setiausaha Majlis Syura Ulamak Pas, Datuk Dr Nik Zawawi Nik Salleh.

Menurutnya, rakyat kini mula memperkatakan bahawa mereka perlu memilih Islam kerana ia berteraskan kepada dosa dan pahala, dan apabila berjanji, ia mesti dilaksanakan.

“Bila kita janji, tapi kita tak buat, maka berdosalah. Pakatan Harapan, bila dia janji, tapi dia tak buat, dia tidak beriman dengan dosa dan pahala bila bab politik. Sebab itu dia bercakap merapu meraban begitu.

“Pas kita konsisten, bila kita sebut dalam tempoh 10 hari kita memerintah, kita akan buat, kalau kita tidak buat, kita berdosa. Orang lain tidak berdosa sebab dia tidak ada asas dosa pahala. Sebab kita bukan janji politik, tapi janji dengan manusia dan ALLAH yang membabitkan dosa dan pahala,” katanya kepada Sinar Harian di sini, hari ini.

Beliau ditemui selepas menyampaikan ceramah sesi kedua di Medan Ilmu, di sini.

Terdahulu, Nik Zawawi dalam ceramahnya menyebut yang tidak mustahil Pas akan menjadi kerajaan pemerintah PRU akan datang dengan mengambil contoh apa yang berlaku kepada Umno pada PRU14 yang jatuh kepada Pakatan Harapan.

Menurutnya, perkara tersebut dinyatakan dengan bukti jelas yang mana satu perjumpaan dengan pengundi Pakatan Harapan telah dibuat melibatkan beliau di Selangor baru-baru ini.

Beliau memberitahu, pertemuan tersebut adalah berkisarkan luahan rasa kekesalan penyokong terhadap sokongan mereka kepada pakatan yang dilihat tidak mengotakan janji-janji PRU lalu.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-