Tuesday, July 17, 2018

Anggota Umno digesa sertai PAS

Lum Chee Hong | Diterbitkan 17 Jul 2018, 4:23 petang


Anggota Umno yang masih ikhlas dalam perjuangan demi memartabatkan bangsa dan agama perlu membuat keputusan segera untuk menyertai PAS.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Mokhtar Senik, berkata Umno sebenarnya sudah tiada apa-apa lagi dan telah hilang kuasa dan wang, selain kehilangan arah tuju asal perjuangannya sebelum ini.

“Ahli Umno yang masih ikhlas dalam perjuangan demi memartabatkan bangsa dan agama patut membuat keputusan segera untuk bersama PAS.

“Jika anda cari dan perjuangkan itu ialah Islam, maka parti Islam inilah medan anda. Jika anda cari ketuanan bangsa Melayu, maka PAS partinya.

“Tidak ada parti Melayu yang paling dominan selepas kekalahan Umno selain PAS. Lagipun, apa yang boleh anda harapkan kepada HARAPAN yang didominasi oleh DAP untuk kelangsungan Islam dan Melayu,” katanya dalam satu kenyataan kepada Malaysiakini.

Umno bukan parti keramat

Justeru itu, Mokhtar menyeru ahli dan pengundi Umno bahawa tiada sebab lagi untuk berada dalam parti itu kerana ia bukan parti keramat seperti yang dilaungkan pada setiap kali Perhimpunan Agung Umno.

“Mereka ikhlas membela maruah bangsa, namun nawaitu itu semakin pudar dan terpesong seiring dengan pertukaran perdana menteri. Ini dapat dilihat sebahagian pimpinan dan wakil rakyat Umno melompat ke HARAPAN,” katanya.

Beliau juga mendakwa penghijrahan sokongan ahli Umno kepada PAS antara perkara yang paling ditakuti oleh HARAPAN memandangkan campuran undi mampu menjadi mimpi ngeri kepada mereka.

Pada September 2017 lalu, Malaysiakini melaporkan dakwaan bekas Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa bahawa PAS memang berniat untuk bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), namun gagal dilaksanakan apabila mendapat tentangan sebahagian pemimpin kanan parti itu.

Beliau mendakwa turut tidak bersetuju dengan cadangan itu ialah beberapa bekas pemimpin kanan parti berkenaan, termasuk veteran parti dan bekas wartawan yang kini menjadi anggota badan penasihat PAS.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-