Sunday, July 22, 2018

Azmin terus berteka-teki dalam pemilihan getir pimpinan PKR

Minderjeet Kaur | July 22, 2018
Semua mata tertumpu kepada Anwar Ibrahim, Azmin Ali dan Rafizi Ramli dalam pertandingan yang mungkin menentukan sosok perdana menteri Malaysia selepas ini.
Anwar Ibrahim, Azmin Ali dan Rafizi Ramli kini menjadi tumpuan perhatian ramai.

PETALING JAYA: Kurang 2 minggu berbaki sebelum penamaan calon untuk pemilihan PKR ditutup dan semua mata kini tertumpu kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Rafizi Ramli dalam persaingan yang mungkin menentukan siapakah perdana menteri Malaysia selepas ini.

Ketua umum PKR, Anwar, yang dianggap perdana menteri menunggu Pakatan Harapan (PH) telah mengumumkan keputusan beliau bertanding merebut kerusi presiden parti itu secara rasmi.

Bagaimanapun, timbalan presiden PKR, Azmin Ali kini menjadi tumpuan semua pihak. “Semua mata tertunggu-tunggu isyarat daripada Azmin (mengenai jawatan yang akan ditandinginya),” kata seorang pemimpin parti.

Wujud spekulasi tentang kemungkinan beliau bertanding merebut kerusi presiden parti, sekali gus mencabar mentornya sendiri, Anwar.

Azmin “sangat berahsia, tetapi beliau rapat dengan Anwar, jadi mungkin dia tak akan bertanding jawatan nombor satu,” kata pemimpin parti yang enggan dikenali itu.

Seorang lagi pemimpin parti, yang juga merupakan seorang Ahli Parlimen, menyifatkan pemilihan kali ini “sebagai ibu segala pemilihan bagi PKR” kerana siapa juga yang menjadi presiden parti, besar kemungkinan akan menjadi perdana menteri Malaysia selepas ini.

Pemilihan PKR diadakan 3 tahun sekali. Penamaan calon akan ditutup pada penghujung bulan ini, sementara proses pengundian dijadualkan pada pertengahan Ogos. Ahli PKR layak bertanding semua kerusi, manakala beberapa orang naib presidennya dilantik.

Pada 18 Julai lepas, Azmin berkata beliau sedang menimbangkan sama ada mahu mempertahankan kerusi timbalan presiden atau bertanding jawatan tertinggi. “Saya akan buat keputusan sedikit masa lagi,” Azmin memberitahu pemberita di Parlimen baru-baru ini.

Sekiranya Azmin memutuskan mahu mempertahankan kerusi timbalan, beliau mungkin berhadapan cabaran daripada naib presiden Rafizi Ramli, yang dipercayai berminat menjadi orang No 2 Anwar.

Azmin, yang merupakan menteri hal-ehwal ekonomi dikatakan mempunyai peluang 60%, sementara Rafizi, yang mengetuai Invoke Malaysia, 40%, kata sumber dalaman parti.

“Semuanya bergantung kepada siapakah yang lebih berjaya mempengaruhi ahli. Tetapi kelebihan ada pada Azmin kerana beliau kini menteri,” katanya.

FMT masih menunggu respons daripada Rafizi.

Azmin dipilih semula sebagai Ahli Parlimen Gombak dalam pilihan raya umum Mei lepas. Rafizi tidak mempertahankan kerusi beliau di Pandan kerana disabitkan kesalahan membocorkan maklumat berkaitan National Feedlot Corporation pada Mac 2012. Beliau kini merayu terhadap sabitan tersebut.

Awal bulan ini, Anwar mengumumkan akan bertanding kerusi presiden PKR – keputusan yang dilihat bertujuan menguatkan langkahnya untuk berada dalam kerajaan baru PH.

Untuk mencapai tujuan itu beliau perlu dipilih sebagai seorang Ahli Parlimen terlebih dahulu, tetapi sehingga kini tiada maklumat lanjut didedahkan.

Sebelum pilihan raya umum lepas, PH bersetuju menerima Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri untuk tempoh 2 tahun, sementara Anwar, yang pada ketika itu masih dipenjarakan, sebagai perdana menteri menunggu yang akan menggantikan beliau selepas tamat tempoh itu.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-