Sunday, July 22, 2018

PAS tak tanding PRK Sg Kandis bagi mudahkan HARAPAN ditewaskan


Pilihan raya kecil (PRK) Sungai Kandis yang menyaksikan ketiadaan calon PAS adalah kerana parti itu tidak mahu memecahkan undi bagi memudahkan pihak lain yang bertanding menewaskan Pakatan Harapan (HARAPAN).

Ketua penerangannya, Nasrudin Hassan berkata demikian melalui kenyataan di Facebook hari ini. Kenyataan itu turut disertai slogan 'Asal Bukan Pakatan Harapan - ABAH'.
"HARAPAN mesti dikalahkan dalam PRK Sungai Kandis. Ia menjadi satu isyarat kepada kerajaan HARAPAN bahawa rakyat tidak mahu terus dipermainkan dengan kegagalan HARAPAN menunaikan janji pilihan raya," katanya.

Nasruddin memetik antara "kegagalan" itu ialah menghapuskan tol, menurunkan harga minyak, dan menghapuskan hutang peneroka Felda.

Menyifatkan kerajaan HARAPAN sebagai perkauman, Nasrudin menambah bahawa kerajaan baru itu juga "terlalu" membuka jalan kepada pihak tertentu mempersendakan Islam.

"Suara-suara yang mengundang keresahan umat Islam makin marak bebas dan tidak diambil tindakan yang wajar oleh pihak kerajaan HARAPAN.

"Seperti gesaan agar sekolah tahfiz ditutup, terlalu memberi muka kepada LGBT, pemikiran antihadis, posisi penting dalam sektor kehakiman dan undang-undang tidak diberikan kepada orang Islam, pemikiran liberal, terdapat individu yang didakwa menyokong gerakan pengganas jadi pemimpin kerajaan, dominasi DAP yang sangat skeptikal terhadap perjuangan Islam dalam HARAPAN dan sebagainya," katanya.

Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 13 Julai lalu mendedahkan pihaknya mahu berbincang dengan PAS untuk meletakkan hanya seorang calon pembangkang dalam PRK berkenaan.

Kerjasama itu, Kata Zahid, merupakan strategi pihak pembangkang dalam usaha memastikan pertembungan satu lawan satu.

Mengulas lanjut, Nasrudin menyeru pengundi menolak HARAPAN dalam PRK Sungai Kandis kerana terdapat "1001 sebab" untuk menewaskan gabungan itu.

"Kekalahan HARAPAN dalam PRK Sungai Kandis adalah untuk menyentak lamunan mereka yang masih asyik dengan kuasa yang dimiliki agar tunaikan janji pilihan raya dan tidak lagi membohongi rakyat.

"Pilihan di tangan anda. Rakyat adalah hakim," katanya.

PRK Sungai Kandis yang dikosongkan selepas penyandangnya Allahyarham Mat Shuhaimi Shafie meninggal dunia akan diadakan pada 4 Ogos ini.

PRK berkenaan akan menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon PKR Zawawi Mughni, calon BN Datuk Lokman Adam dan calon Bebas K Murthy.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-