Saturday, July 14, 2018

'Kenyataan saya disalah tafsir'

MUHAMMAD ZAKWAN NAZARALY
14 JULAI 2018

Dr Mujahid Yusof Rawa

PUTRAJAYA - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa menyifatkan penularan video ucapannya yang memperkatakan tentang menjaga agama lain disalah tafsir.

Menurutnya, apa yang disebut sebagai menjaga agama lain itu menjurus kepada kebebasan penganut agama tersebut untuk beramal dengan kepercayaan mereka di negara ini seperti yang termaktub dalam syariat Islam dan perlembagaan.

Dakwanya, penularan video tersebut dilihat sebagai satu usaha untuk memandang rendah kepada pentadbiran agama kerajaan Pakatan Harapan.

“Hasrat ucapan saya selama satu jam itu adalah untuk mengaitkan isu sebagai agensi agama Islam, kita juga perlu berfikir kerana berurusan secara tidak langsung dalam isu melibatkan bukan Islam kerana kita adalah negara yang majmuk.

“Tetapi mereka yang menyebarkan video tersebut hanya ambil satu minit percakapan saya dan terus tafsirkan saya kata sebagai menjaga akidah agama lain seperti jaga rumah ibadah dan akidah mereka supaya dapat berkembang. Itu tidak benar,” katanya dalam satu rakaman video yang dipetik dalam laman Facebooknya sebentar tadi.

Sebelum ini, tular di laman sosial rakaman ucapan beliau kepada warga agensi Jabatan Perdana Menteri yang berkaitan dengan agama Islam.

Dalam rakaman video tersebut, Mujahid memperkatakan mengenai Hifzuddin yang kemudiannya disalah tafsir oleh pihak tertentu mengatakan ia turut mencakupi untuk menjaga agama lain dalam konteks lebih besar di negara ini.

Katanya lagi, penularan video tersebut sebagai salah satu promosi murahan pihak tidak bertanggungjawab untuk menggambarkan seolah-olah beliau adalah seorang liberal.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-