Friday, July 20, 2018

'Saya bukan ahli LTTE'

Siti Sofia Md Nasir
siti.sofia@nstp.com.my
RAMASAMY semasa sidang media di Komtar, Georgetown, hari ini. FOTO Shahnaz Fazlie Shahrizal

TIMBALAN Ketua Menteri II Pulau Pinang Dr P Ramasamy, hari ini menafikan dakwaan pembabitannya menyokong kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) dari Sri Lanka.

Ramasamy berkata, dakwaan itu bermula apabila beliau dilantik sebagai ahli perunding dalam proses perdamaian antara kerajaan Sri Lanka dan kumpulan LTTE pada 2003.

“Ketika itu saya adalah pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi dalam bidang Ekonomi Politik dan Pengurusan Antarabangsa.

“Jadi, saya dipilih bersama beberapa wakil lain untuk menjadi perunding dalam proses perdamaian mereka. Tugas kami hanyalah untuk membawa perkara berkenaan ke meja rundingan dan mengelakkan peperangan.

“Saya bukan ahli atau penyokong LTTE,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) di Georgetown, hari ini.

Ramasamy yang menjadi pensyarah di UKM selama 26 tahun berkata, bagaimanapun rundingan itu menemui jalan buntu dan beliau tidak mempunyai sebarang kaitan dengan proses perdamaian di Sri Lanka pada 2006.

Katanya, selain menjadi perunding antara kerajaan Sri Lanka dan LTTE, beliau juga pernah dipilih menjadi orang tengah antara kerajaan Indonesia dengan Gerakan Acheh Merdeka (GAM), sehingga diberi penghormatan oleh Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla.

“Saya juga kenal ramai pemimpin GAM, namun adakah itu menjadikan saya seorang pengganas? Tidak, kerana saya sentiasa berpegang pada prinsip bahawa konflik senjata tidak akan mencapai apa-apa.

“LTTE juga sudah tidak wujud lagi sejak 2009, jadi adakah saya masih seorang pengganas?,” katanya.

Ditanya mengenai hubungan beliau dengan pemimpin LTTE, iaitu Vaiko atau V Gopalasamy, Ramasamy berkata, Vaiko adalah sahabat lamanya dan beliau adalah ahli politik terkemuka di selatan India, dan bukannya ahli LTTE seperti yang didakwa beberapa pihak.

Malah, katanya, gambar yang memaparkan beliau 'menyembah' senapang Kalashinov atau AK-7 seperti yang tular di media sosial adalah upacara memperingati mangsa yang terbunuh di Sri Lanka.

“Gambar itu diambil sekitar 2004 dan 2005. Saya bukan menyembah senjata, tetapi ia satu upacara memorial memperingati mangsa perang.

“Saya minta kepada mereka yang tuduh saya itu, fikirlah sikit. Anda boleh buat 1,000 laporan polis pun, tetapi biarlah polis siasat perkara ini,” katanya.

Dalam sidang media berkenaan, Ramasamy turut mengakui pihak polis sudah merakamkan keterangannya pada Selasa lalu.

Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun mengesahkan menerima sebanyak 53 laporan polis dari seluruh negara berhubung dakwaan mengaitkan Ahli Dewan Undangan (ADUN) Perai itu dengan kumpulan LTTE.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Julai 2018 @ 5:26 PM

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-