Nik Abduh berkata tiada kenyataan yang zahir dan tindakan yang nyata oleh pemimpin utama Umno yang menunjukkan ia mahu mengalahkan PAS.
PETALING JAYA: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz hari ini melihat Umno telah hilang nafsu untuk mengalahkan PAS.
Beliau berkata, tiada kenyataan yang zahir dan tindakan yang nyata oleh pemimpin utama parti itu yang menunjukkan perkara sedemikian (mengalahkan PAS).
“Ertinya Umno bukan lagi ancaman yang utama kepada PAS hari ini. Malah, beberapa petunjuk baru menunjukkan Umno sedang berusaha memperbaiki hubungannya dengan PAS. PAS amat mengalukannya,” katanya menerusi kenyataan di Facebook miliknya semalam.
Sebelum ini, Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan dilaporkan berkata Pakatan Harapan (PH) perlu dikalahkan dalam pilihan raya kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis pada 4 Ogos ini kerana ia masih gagal menunaikan janji pilihan rayanya, terutama yang terkandung dalam janji 100 hari.
Tiga calon bakal bertanding dalam PRK Sungai Kandis pada 4 Ogos ini membabitkan pertembungan antara calon Barisan Nasional (BN), Datuk Lokman Noor Adam dan calon PKR, Mohd Zawawi Ahmad Mughni serta calon Bebas, K Murthy.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Bachok itu turut berkata ada pihak yang berhujah menghentam parti itu dengan menyatakan PAS berusaha menghidupkan Umno dan ia bersandiwara.
Nik Abduh berkata, parti Islam itu menghidupkan Umno dengan memberi kesedaran kepadanya dengan Islam kerana Umno adalah abang PAS yang telah lama lupa diri akibat terlalu lama di anjung kuasa.
“Kesedaran Umno adalah kekuatan kepada PAS untuk memastikan Islam lebih berdaulat di bumi ini. Islam memerlukan umatnya sendiri untuk bangkit mempertahankan agamanya.
“Jika anda bertanya, tidakkah sudah jelas difahami bahawa PAS mendorong ahlinya mengundi Umno? Saya jawab, Ya, di PRK Sungai Kandis. Itulah yang saya fahami,” katanya.
Beliau berkata, arahan daripada parti Islam itu adalah menolak kerajaan PH dan sikap serta pendirian parti Islam itu terhadap PH adalah serupa, sama ada sebelum atau selepas pilihan raya.
“Bagi PAS, PH bukanlah pilihan terbaik untuk menggantikan BN. Ancaman terhadap kedaulatan agama Islam, keadaan ekonomi dan sektor lain yang tidak stabil selepas PRU14 semakin membuktikan benarnya pendirian PAS,” tegasnya.
Menurutnya, kegagalan awal kerajaan PH untuk mengotakan janji awal manifestonya, selain beberapa kenyataan pemimpin utamanya yang berbelit-belia bagi menjustifikasikan kegagalan mereka mengatakan janji manifesto itu.
“Kegagalan mengawal prestasi ekonomi negara yang semakin perlahan, selain tindakan dan kenyataan demi kenyataan oleh para pemimpinnya yang mengelirukan dan boleh menggugat kerukunan perlembagaan dan agama Islam adalah menjadi hujah untuk rakyat menolak kerajaan PH hari ini,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.