Sunday, August 26, 2018

Kerjasama Umno-PAS masih awal, PRK Seri Setia ujian, kata penganalisis

Bernama | August 26, 2018
Penganalisis kurang yakin terhadap kerjasama politik Umno dan PAS kerana ia bersifat ad hoc dan berlaku hanya ketika menghadapi PRK.

Kedua-dua parti akan menghadapi laluan sukar meyakinkan pengundi, terutamanya orang Melayu di Selangor supaya menyokong kerjasama itu. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Mereka pernah bermusuhan, namun selepas pilihan raya umum ke-14 perubahan landskap politik memaksa kedua-dua Umno dan PAS bekerjasama demi “survival” politik masing-masing.

Semenjak ditumbangkan daripada kekuasaan 9 Mei lepas, Umno membuat penawaran kepada PAS dengan harapan kedua-dua parti Melayu-Islam itu dapat mencari titik pertemuan bagi memperkuatkan asas politik mereka.

Justeru Umno mengetepikaan antagonisme atau sikap penentangannya terhadap PAS dan menjalin kerjasama dengan parti Islam itu ketika pilihanraya kecil (PRK) Sungai Kandis awal bulan ini.

PAS memberi tindak balas dengan merestui calon Umno bagi kerusi itu. Ini merupakan permulaan sederhana terhadap hubungan kekeluargaan yang baru dan masih belum teruji.

Ia kini melangkah setapak lagi dengan Umno memberi laluan kepada PAS untuk bertanding PRK kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia pada 8 Sept depan.

Sementara keputusan untuk bekerjasama diambil kepimpinan tertinggi kedua-dua parti, namun masih belum dapat dilihat sama ada anggota setia serta penyokong kedua-dua parti dan akar umbi yakin terhadap kerjasama bagi kepentingan bersama dan membentuk pakatan pembangkang yang kuat.

Bagaimanapun penganalisis politik berasa kurang yakin terhadap kerjasama politik Umno dan PAS kerana kerjasama itu bersifat ad hoc dan berlaku hanya ketika menghadapi PRK.

Penganalisis juga melihat kedua-dua parti akan menghadapi laluan sukar meyakinkan pengundi, terutamanya orang Melayu di Selangor supaya menyokong kerjasama itu.

Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain dari Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia berkata, Umno dan PAS perlu meyakinkan anggota parti dan pengundi bahawa kerjasama politik yang dijalinkan ketika PRK Sungai Kandis pada 4 Ogos lepas mempunyai kebaikan bersama.

“Tidak dinafikan kerjasama Umno dan PAS di Seri Setia lebih teratur berbanding PRK Sungai Kandis, namun pemahaman dan penghargaan penyokong mereka terhadap kerjasama ini sangat penting bagi menghasilkan undi,” katanya kepada Bernama.

PRK Seri Setia diadakan berikutan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan itu Prof Dr Shaharuddin Badaruddin pada 2 Ogos akibat kanser usus.

PRK itu diadakan serentak dengan PRK DUN Balakong berikutan kematian penyandang Adun Eddie Ng Tien Chee pada 20 Julai dalam satu kemalangan jalan raya.

PRK Seri Setia, satu daripada 3 PRK di Selangor sejak pilihan raya umum lepas, merupakan pertembungan satu lawan satu antara calon Pakatan Harapn (PH) Halimey Abu Bakar, bekas anggota Majlis Dewan Bandaraya Petaling Jaya dengan calon PAS Dr Halimah Ali bekas exco kerajaan Selangor dan bekas Adun Selat Klang.

Mohd Izani percaya masih terlalu awal untuk menilai keberkesanan kerjasama politik antara Umno dan PAS di Seri Setia, tetapi kedua-dua pihak telah mengeksploit isu bersama yang menyangkut soal kepentingan Melayu dan agama Islam.

Seorang penganalisis politik dari Fakulti Sains Sosial Universiti Sains Malaysia Prof Dr Sivamurugan Pandian turut bersependapat dengan Mohd Izani bahawa kerjasama itu masih di peringkat awal.

Beliau percaya PRK Seri Setia merupakan medan ujian bagi menilai sokongan akar umbi terhadap kerjasama kedua-dua pihak yang mungkin merintis jalan bagi bentuk kesepakatan lain pada masa depan.

“Dalam kerjasama ini kita lihat pemimpin peringkat tertinggi dalam Umno dan PAS turun ke bawah dan berkongsi pentas dalam membantu kempen calon PAS dan kita dapat juga lihat pemimpin tertinggi kedua-dua pihak kelihatan mengetepikan perbezaan sesama mereka.

“Kita mahu melihat sama ada anggota PAS keluar dalam jumlah yang besar untuk mengundi atau anggota Umno mengundi calon PAS,” katanya.

Dr Sivamurugan berkata PRK ini juga merupakan medan ujian bagi kedua-dua parti melihat sama ada terdapat undi protes dalam kalangan parti komponen Barisan Nasional (BN), iaitu MCA dan MIC yang boleh mendatangkan bencana kepada gabungan politik itu.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-