Thursday, August 23, 2018

Pakar: Kemelesetan ekonomi bakal melanda jika perang dagang AS-China berterusan

Minderjeet Kaur | August 23, 2018

Hoo Ke Ping berkata kerajaan perlu berhenti menyalahkan kerajaan lepas dan mengambil langkah menghentikan kelembapan ekonomi yang sedang berlaku.

Hoo Ke Ping. (Gambar Youtube)

PETALING JAYA: Pakar ekonomi bebas memberi amaran bahawa negara bakal mengalami kemelesetan ekonomi yang akan berlanjutan ke penghujung tahun depan sekiranya perang dagang antara Amerika Syarikat (AS) dengan China berterusan.

Dr Hoo Ke Ping berkata, Malaysia sudah pun mengalami “kemelesetan teknikal”, iaitu apabila ekonomi menghadapi pertumbuhan negatif dalam 2 suku secara berturut-turut.

Oleh sebab itu katanya, ia boleh terus mengalami kemelesetan dengan mudah.

Kali terakhir Malaysia hadapi kemelesetan teknikal ialah pada 2008 kerana hampir semua sektor merekodkan kelembapan ekonomi pada waktu itu.

“Kali ini kita mengalami kemelesetan teknikal kerana pertumbuhan negatif,” katanya kepada FMT.

Baru-baru ini Bank Negara Malaysia menurunkan unjuran pertumbuhan ekonomi bagi 2018 kpada 5% berbanding unjuran awal sebanyak 5.5 ke 6% kerana pertumbuhan lebih perlahan.

Hoo berkata, Singapura menghadapi kemelesetan teknikal tahun lepas setelah mengalami pertumbuhan negatif untuk satu suku, tetapi “untuk 2 suku berikutnya, jiran kita itu mengalami pertumbuhan baik dan berjaya menghindari kemelesetan ekonomi.”

Hoo berkata, ekonomi Malaysia kini mengalami pertumbuhan negatif, antara lain kerana sektor pembinaan kini tergugat.

Katanya, pembatalan projek Saluran Paip Gas Trans Sabah bernilai RM4 bilion dan Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) berharga RM81 bilion sudah mula memberi kesannya.

Beliau mendakwa apabila kedua-dua projek itu ditangguhkan sebelum ini, “beberapa ribu pekerja warga China yang menyewa apartmen di Wangsa Maju pulang ke negara asal mereka menyebabkan pasaran sewa menjunam dari RM4,000 sebulan ke RM1,200”.

Katanya ini bermakna “beribu-ribu pemilik rumah Malaysia” kini mempunyai kurang wang untuk berbelanja kerana mereka terpaksa membayar pinjaman perumahan masing-masing.

Hoo berkata, di Bukit Jalil “beberapa ribu unit apartmen” berada di penghujung pembinaannya kecuali di pusat membeli belah Pavilion.

“Ini bermakna, dari sudut pembinaan, pertumbuhannya kini negatif. Projek besar seperti MRT3 juga dikecilkan,” katanya.

Faktor lain yang menandakan kemelesetan ialah harga kelapa sawit yang rendah dengan China membeli kurang berbanding sebelum ini dan pelaburan asing langsung negatif dalam sektor elektronik.

Berikutan keadaan itu katanya, sekiranya perang dagang AS-China berterusan, Malaysia akan mengalami kemelesetan ekonomi kerana produknya banyak dijual kepada negara tanah besar itu.

“Jika China bermasalah, kita akan bermasalah,” katanya.

AS dan China mengenakan tarif ke atas pelbagai barangan import masing-masing sejak minggu pertama Julai lepas, dan penganalisis berkata perang balas-balik itu tidak akan tamat dengan segera.

Hoo berkata, kadar pengangguran dan pembuangan pekerja juga akan meningkat sekiranya Malaysia memasuki tempoh kemeseletan awal tahun depan.

Bagaimanapun katanya, sektor eksport dan industri kayu tampak baik kerana nilai ringgi lebih rendah.

Berhubung projek kereta nasional ke-3 yang diutarakan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Hoo berkata, walaupun jika berjaya, projek itu memerlukan masa 5 hingga 10 tahun untuk menunjukkan pertumbuhan.

Beliau berkata, kedudukan kewangan negara dari segi hasil kerajaan dan cukai masih baik.

Hoo juga menggesa kerajaan supaya berhenti berkelakuan seperti pembangkang dan berkata keadaan ekonomi negara sekarang tidak baik.

“Rakyat kurang berbelanja kerana mereka berasa keadaan ekonomi tidak baik. Kurang penggunaan bermakna kurang perbelanjaan, yang akan membawa kepada kemelesetan, terutamanya apabila sektor lain turut mengecut,” katanya.

“Berhenti menyalahkan kerajaan lepas. Mereka kini sejarah.”

Kata beliau, kerajaan perlu mengambil langkah menghentikan kelembapan ekonomi dan menyuntik keyakinan supaya pelabur akan melabur dan rakyat Malaysia mula berbelanja semula.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-