KUALA TERENGGANU, 5 Muharram 1440H, Sabtu – Golongan yang mencabar Islam dan Perlembagaan dilihat semakin berani menonjolkan diri dan bergerak bebas tanpa kawalan, kata Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Beliau berkata, gerakan yang memperjuang fahaman liberal, mazhab yang menyeleweng dan hubungan sejenis turut berani memperlihatkan diri mereka kepada masyarakat tanpa rasa takut.
Katanya, suara-suara sumbang mencabar institusi agama, istana, dan hak Bumiputera juga semakin lantang.
“Lebih mencabar apabila suara-suara sumbang yang mencabar institusi agama, istana, dan hak Bumiputera, serta gerakan yang memperjuangkan fahaman liberal, mazhab yang menyeleweng, dan hubungan sejenis dilihat semakin berani menzahirkan diri dan bergerak bebas tanpa pengawalan,” katanya.
Justeru, katanya, semua cabaran ini menuntut PAS untuk melipatgandakan persediaan dan tindakan secara berstrategi.
“PAS akui menghadapi cabaran kerana terus beristiqamah untuk menyelamatkan masyarakat dengan Islam; menghadapi penganut Islam yang tenggelam di dalam kejahilan beragama.
“Kita juga berhadapan dengan orang bukan Islam yang tenggelam dalam kekeliruan dan fitnah ‘Islamofobia’,” katany ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden yang bertemakan Islam Memimpin pada perasmian Muktamad Tahunan PAS Ke-64 di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, katanya, masyarakat kini meletakkan masalah diri dan menjadikan isi perutnya sebagai keutamaan.
“Hakikatnya petunjuk agama dan akal hanya sampingan, kerana cengkaman kejahilan agama, tertumpu keutamaan kepada kepentingan kebendaan seperti kos sara hidup, peluang pekerjaan, dan keselamatan jasad yang berkiblatkan hidup duniawi sahaja,” katanya.
Abdul Hadi berkata, dunia sekarang ini menyaksikan kegagalan ideologi ciptaan manusia terhadap masalah negara dan rakyat, sama ada dalam aspek politik, ekonomi dan sosial.
Katanya, keadaan sama turut dialami negara umat Islam yang menumpang dasar selain Islam, kerana terpengaruh dengan negara besar yang pernah menjajahnya.
“Kegagalan kerajaan yang memerintah di negara umat Islam selepas meneruskan dasar warisan penjajah menjadi bukti yang nyata untuk beralih kepada penyelesaian Islam yang syumul.
“Di sinilah pentingnya umat Islam memiliki pemimpin yang memenuhi sifat kepimpinan Islam, baik dari segi aqidah yang tulen, ilmu yang tinggi dan akhlak terpuji, serta berupaya untuk menjaga keharmonian pelbagai kaum dan agama.
Pada masa sama beliau berkata, PAS konsisten memilih pendekatan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) dengan semua pihak, termasuk bersikap damai terhadap Kerajaan Persekutuan yang memegang tampuk pemerintahan negara dan kesediaan menjalin kerjasama politik dengan semua pihak bagi memastikan Islam memimpin perubahan.
Bagaimanapun, Abdul Hadi berkata, PAS akan tetap berterus terang bersama Islam, tidak terikut dengan langkah pengecut yang malu menyebut Islamnya, selain menolak pendekatan keras tanpa kebijaksanaan.
“Bagi menghadapi senario politik dan masyarakat yang berubah, PAS wajib berijtihad berlandaskan hukum Islam dan menguasai feqah Politik Islam, khususnya Fiqh Muwazanah (pertimbangan), Fiqh Waqie’ (setempat), Fiqh Aulawiyyat (keutamaan), dan Fiqh Ma’alat (implikasi hukum) bagi memastikan PAS sentiasa berada di atas landasan kebenaran,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.