Thursday, September 20, 2018

Ini sebabnya saya tentang PAS - Dr Mahathir

Luqman Arif Abdul Karim
cnews@nstp.com.my

PERDANA Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. FOTO Asyraf Hamzah

PERPECAHAN umat Islam di Malaysia sehingga mewujudkan permusuhan antara dua puak tercetus angkara politik PAS yang masih taksub dengan ajaran pemimpin dan partinya, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) ketika menyatakan pendirian itu berkata, ia faktor utama mengapa beliau sehingga kini menentang PAS yang dikatakan bertanggungjawab mencetuskan perpecahan dalam kalangan orang Melayu, selain menyebabkan umat Islam mendirikan solat secara berjemaah dengan dua imam berbeza di masjid sama.

“Inilah perbuatan PAS yang tidak boleh dimaafkan kerana sebelum tertubuhnya parti ini, orang Melayu tidak berpecah kerana agama. Perpecahan ini jugalah yang melemahkan orang Melayu sehingga PAS terpaksa meminta pertolongan orang kafir.

“Tetapi apabila bergandingan dengan parti kafir, PAS dakwa mereka tidak jadi kafir sebab kononnya, hubungan itu dijalinkan bersandarkan ‘tahaluf siyasi’ yang jika diterjemahkan ke bahasa Melayu bermaksud kerjasama politik.

“Kerjasama politik ini sama dengan apa yang dilakukan UMNO apabila bergandingan dengan MCA dan MIC. Justeru jelaslah bahawa bahasa Arab atau bahasa al-Quran digunakan untuk mengislamkan kerjasama PAS serta orang kafir,” katanya menerusi catatan di blog rasminya, chedet.cc, hari ini.

Perdana Menteri berkata, ahli PAS sanggup bermusuh dengan orang Islam lain kerana dimomokkan ajaran pemimpin mereka walaupun al-Quran jelas menyebut bahawa sesama Islam dianggap bersaudara.

Katanya, meskipun sebahagian daripada pengikut PAS bertindak ‘angkat kaki’ dan keluar dari parti, namun masih ramai ahlinya yang taksub dengan ajaran pemimpinnya sehingga menyaksikan perpecahan dalam kalangan Melayu semakin meruncing.

“Ia akan berterusan selagi PAS menyalah tafsir dan menyalahgunakan ajaran Islam. Ini sebabnya saya menentang PAS,” katanya.

Dr Mahathir turut membangkitkan tragedi Memali yang menyaksikan Ibrahim Mahmud atau lebih dikenali sebagai Ibrahim Libya dan 13 pengikutnya terbunuh, didakwa berikutan amanat Datuk Seri Hadi Awang ketika itu bahawa pemerintahan Barisan Nasional (BN) pimpinan UMNO sebagai kafir.

Susulan itu, katanya, mana-mana pejuang yang ‘tersungkur’ tatkala menggenggam tekad melawan kerajaan UMNO dan BN ketika itu diisytiharkan sebagai mati syahid sekali gus jenazah mereka tidak perlu dimandikan.

“Tiada ulama di Malaysia berani mendakwa bahawa langkah mengkafirkan orang bukan PAS adalah salah dan tidak menepati ajaran Islam. Pegawai pemerintah yang bertanggungjawab berkenaan Islam juga membisu seribu bahasa.

“Akibatnya orang Melayu bukan PAS yang semuanya beragama Islam dan mengikut ajaran sama, iaitu ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) serta mengangkat Imam Shafie tiba-tiba digelar kafir.

“Orang PAS tidak pun boleh bersama dengan ahli UMNO. Kenduri UMNO diboikot PAS. Perkahwinan antara PAS dan UMNO tidak boleh diadakan, malah ditegah daripada mendirikan solat secara berjemaah serta mengikut imam yang sama,” katanya.

Mengimbau kisah silam, Dr Mahathir menyifatkan episod perpecahan orang Melayu angkara PAS tercetus ketika sebahagian ahli parti itu yang terdiri daripada golongan ulama tetapi menjadi sebahagian daripada ‘keluarga’ UMNO tidak dipilih Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj untuk dilantik menganggotai badan perundangan menggantikan Malayan Union pada 1948.

Berikutan kekecewaan itu, katanya, pemimpin yang digelar ‘ulama UMNO’ ketika itu nekad mengambil keputusan untuk keluar daripada parti dan menubuhkan Parti Islam Tanah Melayu (PMIP) sebelum diberi nama baharu, iaitu PAS.

“British mencadangkan supaya Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan pada 1955 untuk merebut 52 dari 98 kerusi Majlis Perundangan Persekutuan. UMNO dalam Parti Perikatan memperjuangkan isu menuntut kemerdekaan selepas PRU, manakala PAS mendakwa Malaya belum layak mendapat hak berkenaan.

“Hasilnya ialah kemenangan besar Parti Perikatan dengan memperoleh 51 kerusi sehingga menyaksikan British terpaksa menyerahkan tampuk pemerintahan kepada pimpinan Tunku Abdul Rahman menerusi pemerintahan dalaman.

“PAS memenangi hanya satu kerusi, sekali gus memberi isyarat penolakan kemerdekaan merugikan mereka. Maka bermulalah gerakan Islam diperalatkan sepenuhnya untuk menarik sokongan orang Melayu,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-