Saturday, September 1, 2018

LGBT haram: Pemuda PAS pertahan Wan Azizah, bidas Marina

By Faiz Zainudin
-September 1, 2018

Ahmad Fadhli Shaari simpati dengan nasib Wan Azizah yang tidak mendapat sokongan pucuk pimpinan PKR ketika beliau dikritik di khalayak ramai. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Pemuda PAS hari ini mempertahankan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang tidak menyokong komuniti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Naib Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari tampil berbuat demikian selepas anak perdana menteri, Datin Paduka Marina Mahathir mengkritik kenyataan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat itu yang LGBT adalah haram.

Beliau menyifatkan kenyataan Wan Azizah itu normal berdasarkan pelbagai ujian dihadapinya bersama keluarga ketika suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim didakwa meliwat “yang sehingga hari ini tidak berjaya dibuktikan secara syarie menurut undang-undang Islam”.

“Sekalipun ia kekal misteri dan masyarakat akhirnya kekal tidak tahu siapakah yang berbohong, bapa Marina kah atau suami Wan Azizah, namun saya yakin jauh di sudut hati Wan Azizah, beliau sangat sensitif dengan isu yang telah menghilangkan 2 dekad ketenteraman keluarganya.

“Pendirian Wan Azizah wajib disokong, bukan kerana ia keluar dari mulut seorang timbalan perdana menteri atau seorang isteri kepada mangsa fitnah, tetapi kerana ia adalah selari dengan Islam. Mana-mana pihak yang membiarkan gaya hidup kelompok LGBT, bahkan menyokongnya adalah haram sama sekali.

“Mendekati golongan ini bukan bermakna mengiktiraf gaya hidup mereka. Anda mendekati golongan penagih dadah bukan bermakna anda setuju dengan gaya hidup mereka, tetapi tujuannya ialah untuk mengubah dan menjadikan mereka manusia normal yang bebas daripada pengaruh dadah.

“Demikian juga dengan LGBT, bahkan ia lebih jelas haram dengan terang untuk disokong,” tulisnya di Facebook hari ini.

Terdahulu, Marina mempersoalkan Wan Azizah yang berkata, beliau tidak akan membiarkan gaya hidup golongan LGBT dan ia adalah haram.

Aktivis sosial itu menulis di Twitter: “Kepada @drwanazizah, adakah anda memanggil ramai orang, termasuk saya yang telah menunjukkan sokongan kepada mereka yang terpinggir oleh masyarakat itu haram?”

Beliau turut berkongsi pautan di Twitter tentang artikel Nikkei Asian Review yang melaporkan Anwar sebagai berkata: “Masyarakat Malaysia mesti hidup dengan kepercayaan dan cara hidup yang berbeza; dan harus menghormati mereka yang berbeza, termasuk golongan gay, biseksual dan transgender.”

Fadhli turut mendakwa Marina cuba memesongkan kenyataan dan menjejaskan maruah Wan Azizah.

“Istilah ‘haram’ yang digunakan, dipesongkan kepada maknanya seolah-olah golongan ini cuba dipinggirkan sama sekali.

“Setidak-tidaknya Marina menunjukkan rasa hormat kepada bapanya Tun Dr Mahathir Mohamad yang telah menangis di hadapan para ulama demi melihat masyarakat itu kembali kepada al-Quran.”

Ahli Parlimen Pasir Mas itu simpati dengan nasib Wan Azizah yang tidak mendapat sokongan pucuk pimpinan PKR ketika beliau dikritik di khalayak ramai.

“Sudahlah teguran Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar terhadap langkah perdana menteri melantik Tan Sri Rahim Nor untuk jawatan penting dibiarkan tidak bersambut, serangan terhadap (bekas) presiden parti sendiri pun tiada siapa yang ingin bangun membela.

“Barangkali juga semua pihak dalam PKR sedang sibuk dengan urusan pemilihan dalaman. Mengharapkan orang yang sibuk membela Wan Azizah pada saat sekarang, samalah seperti mengharapkan harga barang turun selepas SST diperkenalkan.”

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-