Monday, September 17, 2018

Muktamar PAS: Yang lebih, yang kurang dan yang kekal

ULASAN

Al-Abror Mohd Yusuf | Diterbitkan 17 Sep 2018, 12:15 tengah hari 


PULASAN | Jika kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) mencadangkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan parlimen hari ini, ada satu perkara yang sangat pasti.

PAS akan bersiap sedia sepenuhnya untuk menjadi kerajaan Malaysia.

Ada petanda yang agak banyak menunjukkan parti itu terus mendapat kepercayaan daripada orang ramai di sebalik keputusan pilihan raya umum (PRU) ke-14 lalu.

Lihat saja bagaimana PAS berjaya menarik berahi Umno untuk bersama-sama menghadiri majlis-majlis yang diadakan di Kuala Terengganu sejak 14 Sept lalu.

Pada hari perasmian muktamar kemeriahannya sangat terasa. Tidak ada langsung kejanggalan dapat dikesan. Presiden Umno dan rombongannya disambut dan diraikan selayaknya.

Mereka seolah-olah berada di salah satu perhimpunan agung sebuah parti gabungan yang sudah terbina berdekad-dekad lamanya.

Tambahan pula wakil MIC pun ada. Kalau ada sedikit kekurangan, ia adalah kerana tiada wakil MCA.

Secara umum ada beberapa perkara yang menarik untuk diakui sepanjang tiga hari pertemuan tahunan PAS itu berlangsung. Berikut adalah sedikit senarai yang dapat ditulis hasil pemerhatian bebas penulis.

Kelebihan:

Budaya Melayu - Satu hal yang cukup ketara ialah, PAS semakin mengakar ke tanah budaya Melayu. Bermula daripada penampilan 'pendekar-pendekar' yang tangkas, perkasa dan berani sehinggalah bidalan dan perumpamaan yang digunakan semasa ucapan.

Diyakini ada banyak bidalan, perumpamaan dan kiasan yang digunakan ahli, perwakilan dan pemerhati di semua peringkat pada kali ini.

Cuma yang agak ketara tentulah apa yang disebut pemimpin utama PAS. Misalnya anjing dan serigala. Atas sebab yang sukar disahkan, nampaknya bidalan anjing itu menjadi pilihan sesetengah pemimpin PAS.
Masih ingat bagaimana Datuk Seri Abdul Hadi Awang menggunakan perumpamaan anjing menyalak bukit beberapa tahun lalu?

Turut ditonjolkan ialah gambaran perjuangan PAS mencari kemenangan dengan penantian menjulang kemenangan yang digambarkan dengan begitu indah melalui perumpamaan menanam durian king.

Itu adalah antara kelebihan orang PAS. Cekap benar mereka mencari contoh-contoh yang banal, real dan menusuk ke kalbu bagi memahamkan masyarakat tentang apa yang mahu disampaikan.

Jika mahu ditoleh ke belakang, banyak lagi perumpamaan yang digunakan pemimpin PAS, seperti memikul biawak hidup itu. Namun kali ini rasanya ia sudah dilupakan.

Kemahiran hubungan antarabangsa - Daripada ucapan penggulungan Datuk Seri Tuan Guru Presiden PAS semalam orang ramai sekali lagi diberitahu bahawa beliau sebenarnya seorang diplomat yang hebat.

Andai kata PAS berada bersama BN sebelum 9 Mei lalu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sangat layak diangkat menjadi duta Malaysia ke luar negara.

Negara mana - itu langsung tidak berbangkit kerana beliau umpama benih yang baik yang akan menjadi pulau kalau dicampak di mana-mana.

Di Iran beliau mampu, di Aceh beliau berjasa, di Myanmar beliau berbisa. Di Eropah, benua Amerika atau timur - sudah tentu tidak ada sebarang kesukaran besar akan dihadapinya bagi membawa suara keamanan sejagat.

Kekurangan


Kenangan - Apabila mahu disebut tentang kekurangan pada muktamar PAS hujung minggu lalu, sebenarnya hampir tidak ada yang dapat disenaraikan. Semuanya serba molek dan lengkap.

Namun tidak mungkin ada kesempurnaan pada sesuatu yang bernama makhluk.

Satu kelemahan yang ketara ialah, nama Datuk Seri Najib Razak boleh dikatakan terabai sama sekali, sedangkan suatu ketika dulu Abdul Hadi dan pimpinan lain dalam PAS amat mesra dengan bekas perdana menteri itu.

Tidak mungkin PAS melupakan seseorang yang sebaik Najib. Mungkin PAS ada sebab mengapa mereka mengambil pendekatan begitu, namun langsung mengabaikan Najib dirasakan agak kejam.

Tambahan pula Najib baru didakwa di mahkamah dan belum terbukti bersalah. Tidak dapat dipastikan sama ada Najib pernah memberi penjelasan kepada PAS seperti Arul Kanda Kandasamy memberi penerangan tentang 1MDB kepada parti itu.
Namun berdasarkan cara PAS menyantuni Najib sebelum 9 Mei lalu menunjukkan tidak banyak perbezaan sikap PAS kepada Arul Kanda dan 1MDB, dengan sikap parti itu kepada bekas presiden Umno berkenaan.

Untuk menganggap PAS terlupa kepada Najib juga agak sukar. Bukankah Najib sekarang ini lazim benar muncul dengan bersahaja - namun tetap bergaya - di tengah masyarakat biasa?

Sedangkan PAS itu sendiri sentiasa bergelumang dengan rakyat marhaen. Cuma memanglah PAS belum lagi membuat kempen membeli kuih pau atau membandingkan cukai SST dan GST.

Pada masa sama Najib sendiri nampaknya seperti tidak tahu bahawa PAS sedang mengadakan muktamarnya. Hantaran di Facebook beliau nampaknya langsung tidak menyentuh tentang PAS.

Harap-harap itu bukan petanda beliau berkecil hati selepas PAS tidak memberi tempat yang seadilnya di muktamar berkenaan.

Yang kekal

Di antara banyak kelebihan dan sedikit kekurangan, tentu ada yang tidak berubah pada muktamar tersebut. Apakah yang kekal itu?

Semengat berkobar-kobar - Dalam isu semangat, PAS tidak pernah berkurangan. Dengarlah ucapan dan kata-kata biasa anggota, penyokong dan pemimpin parti itu. Tidak dapat dikesan langsung rasa kecewa, sedih, merajuk atau seumpamanya.

Semuanya ialah tentang semangat dan harapan. Semuanya mengenai kemenangan yang amat hampir.

PAS tidak pernah kalah, cuma PAS belum menang.

Sebab itu kalau diadakan PRU ke-15 hari ini, PAS (rasa) akan menang dan memerintah Malaysia.

Sayangnya tiada bidalan yang paling tepat untuk menggambarkan betapa dekatnya kemenangan PAS itu.

AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini.Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi portal ini.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-