Monday, September 24, 2018

PAU dan debaran Ismail Sabri di muktamar PAS

Anne Muhammad | Diterbitkan 24 Sep 2018, 9:20 pagi


WAWANCARA | Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2018 mungkin menjadi penanda aras terhadap kerjasama parti itu dengan bekas seteru mereka dalam politik, PAS.

Ia boleh dianggap sedemikian kerana status hubungan kedua-dua parti itu masih kabur walaupun pemimpin tertinggi Umno sudah menghadiri muktamar PAS pada 15 Sept lalu.

Muktamar PAS di Kuala Terengganu mencatat sejarah tersendiri apabila Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta pemimpin kanan lain parti berkenaan hadir sebagai tetamu istimewa.

Memang ada usul daripada Pemuda PAS Kota Raja supaya PAS Pusat membuat pengesahan mengenai hubungan itu, sama ada berbentuk taawun atau tahaluf.

Namun sehingga muktamar berakhir isu berkenaan tidak dituntaskan.

Malah Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata PAS masih menilai kerjasama dengan Umno itu dari semasa ke semasa dan menganggap statusnya bertaraf taawun atau tahaluf tidak mendesak untuk ditentukan ketika ini.

Dalam keadaan begitu, bagaimana pula pendirian Umno?

Seorang daripada naib presidennya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob Umno juga masih belum memutuskan pendirian secara rasmi mengenai kerjasama dengan PAS.

Ahli tentukan masa depan

Justeru katanya ia terbuka untuk dicadang dan dibahaskan semasa PAU berlangsung pada akhir bulan ini.

“Kalau ada usul (kerjasama dengan PAS) dibangkitkan semasa sesi membahaskan usul ucapan presiden, ada sokongan daripada wakil negeri-negeri misalnya, mungkin dari situ kita akan buat keputusan dan melalui prosedur-prosedur tertentu," katanya.

Menurut Ismail Sabri antara proses yang perlu dilalui nanti - seandainya diputuskan untuk bekerjasama dengan PAS secara rasmi - ialah dibincangkan di peringkat pengurusan parti sebelum dibawa ke majlis tertinggi.

Andainya mesyuarat agung luar biasa perlu diadakan, katanya, ia akan dibuat.

“Buat masa sekarang kerjasama yang ada tidak melibatkan peraturan-peraturan parti, dan kalau ada melibatkan peraturan-peraturan parti, kita akan ikut,” katanya semasa sesi wawancara eksklusif Malaysiakini di pejabatnya di Petaling Jaya baru-baru ini.

Selepas bermusuhan selama beberapa dekad hubungan Umno dan PAS kini menjadi akrab selepas kedua-dua mereka menjadi pembangkang di peringkat pusat.

Bagaimanapun untuk rekod PAS dan Umno masih menjadi kerajaan di beberapa negeri.

Kekaburan mengenai status hubungan kerjasama itu juga menimbulkan tanda tanya mengenai kedudukan wakil rakyat parti terbabit di peringkat dewan undangan negeri.

Di Kelantan dan Terengganu misalnya, PAS menjadi kerajaan namun BN setakat ini masih berstatus pembangkang.

Menurut Ismail Sabri buat masa ini Umno sedang menilai penerimaan akar umbi terhadap hubungan baik mereka dengan PAS.

Elak masalah kos PAU

Katanya reaksi perwakilan dan anggota boleh dinilai pada PAU nanti.

“Umno belum ada perhimpunan, PAS dah ada perhimpunan (muktamar) dia, dah dapat pandangan ahli mereka sedangkan kita belum lagi.

"Mungkin pada 29 dan 30 September ini ada anggota Umno akan bangkitkan isu hubungan dengan PAS.

"Dan jika itu mandat perwakilan, maka lepas tu Umno akan buat (proses seterusnya) secara sistematik," katanya.

Anggota parlimen Bera itu kemudian menjelaskan kerjasama antara Umno dengan PAS memang sudah bermula tetapi ia tidak secara rasmi.

Berbanding semasa Umno menjadi kerajaan, PAU tahun ini hanya berlangsung selama dua hari saja bermula 29 Sept ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Ia juga bakal mencatat sejarah tersendiri apabila majlis perasmiannya akan dihadiri oleh pemimpin PAS. Hal itu sudah diumumkan Abdul Hadi pada hari penutup muktamar PAS di Kuala Terengganu itu.

Kata Ismail Sabri Umno akan memberikan ruang seluas-luasnya kepada perwakilan untuk bercakap bagi membetulkan Umno.

"Tumpuan PAU kali ini lebih terarah kepada ucapan dasar presiden yang akan menyentuh banyak perkara khususnya hala tuju parti," katanya.

Kata Ismail Sabri Ahmad Zahid akan membentangkan hala tuju dan strategi parti untuk memenangi PRU ke-15.

Justeru katanya perwakilan akan membahas ucapan presiden itu dengan menyentuh hal-hal berkaitan seperti memperkasakan pati serta kaedah mengembalikan kepercayaan rakyat.

Mengenai tempoh PAU yang disingkatkan Ismail berkata ia dibuat sesuai dengan kedudukan Umno yang kini menjadi pembangkang dan kemampuan ahli, selain parti itu tidak mahu menimbulkan masalah kos.

Lazimnya PAU berlangsung selama empat hari, bermula dengan persidangan Pemuda, Wanita dan Puteri.

Dalam temu bual itu juga Ismail Sabri menceritakan pengalamannya hadir di muktamar PAS.

Baca 'Zahid sedang buat yang terbaik'

Kata bekas menteri kanan Umno itu beliau berasa "agak keliru" kerana berada dalam majlis perhimpunan sebuah parti lawan dan mereka pernah bersengketa berpuluh tahun.

“Seumur hidup saya tak pernah hadir ke muktamar PAS, jadi sebelum masuk kami agak keliru dan jangka macam-macam... maklumlah dah 60 tahun bersengketa.

“Perwakilan mereka mungkin berbeza dengan kepimpinan.

"Sewaktu pilihan raya kecil Sungai Kandis, saya ada berceramah dengan pimpinan PAS, tapi di muktamar itu kita tak boleh nak jangka perasaan akar umbi sebab selama ini mereka anggap Umno sebagai musuh utama,” katanya sambil ketawa kecil.

Bagaimanapun Ismail Sabri lega kerana kedatangan rombongan Umno itu diterima baik malah anggota PAS di peringkat akar umbi melaungkan takbir ketika pengacara majlis memaklumkan kehadiran mereka.

“Alhamdulillah apabila kita masuk (dewan) respon begitu memberangsangkan, warm welcome, sebab apabila disebut sahaja Zahid Hamidi dan pemimpin Umno, mereka bertakbir... jadi respon bagus.

"Sebut saja nama Umno mereka tepuk tangan, takbir dan selepas keluar semua ambil gambar jadi tak nampak permusuhan ada antara kita, nampak berubah dan saya anggap ini signal yang sangat baik.

"Bukan sahaja di peringkat kepimpinan tapi hingga ke akar umbi mereka,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-