-September 2, 2018
Rafizi berkata wujud 2 kem dalam PKR membabitkan pihaknya dan kumpulan yang diketuai timbalan presiden PKR, Azmin Ali.
IPOH: Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli menegaskan keputusannya bertanding jawatan timbalan presiden parti bukan bersifat menjaga kepentingan peribadi sebaliknya bagi memastikan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim diangkat menjadi perdana menteri.
Beliau mengakui ada pihak berasa tidak selesa dan memperlekehkan tindakannya khususnya berhubung perkara tersebut.
“Pelbagai usaha dilakukan termasuk mengecam dan menyatakan bahawa Anwar terlalu gopoh, tamak dan tidak perlu merebut jawatan itu kerana masanya sudah berlalu dan sebagainya.
“Kita kena terima hakikat kalau parti tak sedia dan tidak sederap sama, memang ada pihak yang tidak selesa beliau menjadi perdana menteri ke-8,” katanya ketika berucap pada program Debat Reformasi 20 Tahun di sini, malam tadi.
Program berkenaan turut dihadiri sebahagian pimpinan Reformasi 20 Tahun dan 500 penyokong PKR dari pelbagai cabang seluruh negeri.
Selain itu, Rafizi berkata tindakannya bertanding jawatan timbalan presiden PKR juga bertujuan mengekang perbalahan dan perpecahan yang berlaku dalam parti sejak Anwar dipenjarakan pada 2015.
“Ada perbezaan pendapat besar yang berlaku dalam PKR…ada yang merasainya, yang di bawah (anggota parti) ada kata PKR pecah, bergaduh berebut kuasa. Ini semua adalah lanjutan daripada perbezaan pendapat seawal 2015 apabila Anwar dimasukkan ke penjara,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Rafizi berkata wujud 2 kem dalam PKR membabitkan pihaknya dan kumpulan yang diketuai Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Beliau berkata visi yang dibawa kumpulannya menjurus ke arah reformasi secara total manakala di pihak Azmin, penumpuan mereka sebelum ini lebih terarah kepada mengekalkan kuasa politik di Selangor.
“Itu pandangan yang masing-masing ada fakta dan hujah yang jelas. Saudara Azmin ada tanggungjawab dia, dia nak pertahankan Selangor, mungkin pada ketika itu untuk kekal jadi menteri besar.
“Saya, Saifuddin Nasution, Nurul Izzah dan lain-lain, kita ada tanggungjawb sebagai pimpinan pusat kita kena jaga (seluruh negara),” katanya.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.