Wednesday, September 19, 2018

Tok Pa Keluar Umno Kerana Terpaksa, Kata Sumber

SUARA TV
Suara Tanpa Sempadan
September 18, 2018 Shue


SHAH ALAM – Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed bertindak keluar daripada Umno bukan disebabkan rasa tidak puas hati dengan hubungan kerjasama antara parti berteras Melayu itu dengan PAS sebagaimana dakwaan bekas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin.

Menurut sumber terdekat pemimpin itu, sebaliknya tindakan berkenaan adalah disebabkan tertekan ekoran ugutan daripada kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Kenyataan KJ kononnya Tok Pa (Mustapa) keluar Umno sebab ura-ura penyatuan Umno-PAS tak betul, dia sengaja nak wujudkan spekulasi dan sangkaan jahat.

“Tok Pa tidak pernah menyokong pendekatan liberal seperti yang KJ amalkan, beliau terlalu sayangkan Umno, bangsa Melayu dan Islam jadi sangat mustahil untuk beliau membantah penyatuan tersebut (kalau benar ada gerakan).

“Saya difahamkan Tok Pa agak tertekan dengan tindakan kerajaan PH yang menggangu dan mengugut beliau sekiranya enggan meninggalkan Umno,” kata sumber berkenaan.

Tambah sumber itu lagi, lebih teruk lagi kerajaan pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad itu dikatakan menggunakan SPRM untuk menakutkan ahli-ahli parlimen BN agar keluar parti sekiranya tidak mahu diambil tindakan.

“Ini kerana setelah (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) mengambil keputusan untuk bertanding sebagai ahli parlimen, Tun Mahathir sekarang ini berada dalam keadaan yang sangat terdesak untuk memastikan PPBM terus dominan dalam Pakatan Harapan.

“Jadi jalan terbaik Tok Pa terpaksa mengambil pendekatan keluar Umno untuk mententeramkan keadaan dan adalah tidak mustahil beliau akan kembali bersama Umno setelah keadaan semakin stabil kelak,” kata sumber itu lagi.

Sementara itu, Ketua Pembangkang DUN Kelantan Datuk Alwi Che Mat dalam reaksinya berkata, beliau yakin keputusan Mustapa yang juga bekas Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri itu dilakukan bukan atas sebab peribadi.
”Saya yakin beliau tahu apa yang dilakukan. Beliau yang saya kenal adalah seorang yang bijak dan pasti dia ada memikirkan kepentingan parti serta keluarga,” kata Alwi yang juga Adun Kok Lanas.

Terdahulu, Mustapa mengisytiharkan keluar Umno selepas lebih 40 tahun berkhidmat dalam parti itu, dengan berkata keputusannya itu susulan hala tuju Umno pada masa kini tidak selari dengan prinsip politik yang menjadi pegangannya.

Mustapa bagaimanapun tidak menyatakan sama ada beliau bercadang menyertai mana-mana parti politik.

Keputusan itu sekali gus melucutkan jawatan beliau sebagai Ahli Majlis Tertinggi Umno dan kini bergelar Ahli Parlimen bebas.

-SuaraTv

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-