-October 31, 2018 8:01 AM
Apa yang rakyat perlukan dari Bajet 2019? Tentu harapan rakyat menggunung tinggi. Pertama kerana ini merupakan bajet pertama dari kerajaan Pakatan Harapan (PH). Kedua kerana kritikan pembangkang terhadap bajet dan kerajaan BN dan janji PH yang terkandung dalam manifesto mereka.
Rakyat tidak mahu pembentangan bajet jadi medan bahasa dan pantun. Juga tidak mahu ia menjadi tempat cemuhan dan sindiran. Yang diperlukan ialah “the meat” atau isinya terutama yang memberi kesan kepada kehidupan rakyat seharian.
Kad laporan 2018
Menteri Kewangan dan timnya mestilah menyediakan kad laporan 2018 bagi setiap kementerian dan agensinya merangkumi bajet dan penggunaannya. Begitu juga dengan kerajaan negeri yang melibatkan pinjaman dan hutang dari Kerajaan Persekutuan.
Projek mega harus dinilai pelaksanaannya dan berapa peratus dari jangka siapnya dan berapa jumlah wang yang telah dibayar serta kos lebihan (overrun). Di akhir kad laporan itu, kerajaan harus membentangkan jumlah hutang negara, hutang sekarang dan hutang tertangguh lantaran pelaksanaan sistem bayar balik yang kreatif tetapi sebenarnya membebankan anak cucu kita.
Bajet surplus, defisit
Sudah lama kita tidak dengar belanjawan berimbang atau lebihan belanjawan di pihak kerajaan. Sejak 2000, bajet kerajaan sering mengalami defisit dan akan ada pembentangan bajet tambahan di setiap pertengahan tahun. Apakah kerana memang salah buat bajet, belanja tidak dijangka atau ketirisan dari rasuah dan sebagainya. Ini harus juga diperiksa supaya kita kembali ke landasan yang betul.
Walaupun bajet defisit itu tidak semetinya salah, tapi jika ini berlarutan untuk jangka masa yang terlalu panjang, menunjukkan kelemahan perancangan, ketidakcekapan orang yang membuat bajet dan keborosan yang membelanjakan.
Kerajaan harus telus membuat perancangan terhadap unjuran pendapatan dari segala sumber pendapatan terutama minyak dan komoditi lain, cukai pendapatan individu, cukai SST, cukai korporat dan kontribusi dari syarikat milik kerajaan.
Perbelanjaan pula hendaklah didasarkan kepada keperluan rakyat, keperluan kementerian yang mendepani rakyat dan penyelesaian masalah rakyat dan negara. Justeru, bajet operasi tidak terlalu menggunung sedangkan bajet pembangunan semakin mengecil.
Salah prioriti
Rakyat tidak mahu lagi melihat bajet Jabatan Perdana Menteri begitu menggebu setiap tahun sehingga mencecah RM18 bilion berbanding dengan Kementerian Kesihatan dan Pendidikan yang masing-masing diperuntukkan hanya RM1.8 bilion dan RM1.4 bilion.
Ini pasti menggugat hospital dan pusat kesihatan dalam memberikan perkhidmatan kesihatan dan perubatan yang bermutu, jauh dari bertaraf dunia. Begitu juga banyak universiti yang keluh kesah sehingga ada yang mendakwa bajet yang diberi hanya cukup untuk membayar gaji guru dan pensyarah. Natijahnya, merendahkan mutu pendidikan negara keseluruhannya.
Kesejahteraan rakyat dan pembangunan modal insan secara inklusif mestilah terus diberikan prioriti dan tidak boleh dikesampingkan. Ini akan menjejaskan kemahiran rakyat dan akhirnya kita kembali kepada pusingan hantu mengharapkan pekerja asing yang menjejaskan ekonomi dan aliran kewangan negara.
Kos sara hidup
Rakyat menunggu apakah kerajaan PH sebenarnya hanya pintar mengkritik dan menghentam ketika menjadi pembangkang. Rakyat juga ingin melihat apakah PH hanya pandai menyalahkan kerajaan terdahulu atau memang mereka pintar merancang menjana pendapatan negara, cekap dalam membuat bajet dan berhemah dalam perbelanjaan hingga boleh mengurangkan kos sara hidup dan mengurangkan beban rakyat tenpa pemberian gula-gula BR1M.
Cakap biar serupa bikin. Bulan madu 7 bulan yang lalu telah berakhir. Sekarang rakyat akan menilai setiap gerak geri PH, dari perdana menteri kepada menteri dan timbalannya. Rakyat tidak boleh terima menteri dan timbalan menteri “mediocre” terus tidak berprestasi kerana kuasa melantik dan memecat ada di tangan PM.
Harga barang masih tidak berubah. PTPTN masih tersangkut. Sejumlah RM21 bilion rumah telah siap tapi tidak terjual. Pekerja Asing terus bertambah dan aliran tunai negara terkesan. Tarif elektrik, tol dan berbagai tarif yang memberi kesan kepada rakyat masih belum berubah. Rakyat nak tahu apakah penyelesaian semua ini. Dan rakyat tidak akan berkrompomi lagi.
Hutang negara dan reformasi negara
Rakyat tidak berharap akan bajet defisit untuk setahun 2 ini. Tetapi rakyat tidak boleh terima jika hutang negara terus menumpuk. Justeru, rakyat tidak mahu lagi mendengar menteri membebel tentang hutang negara, tetapi rakyat hendak melihat tindakan kerajaan PH merungkai hutang negara dengan perancangan ekonomi yang progresif dibantu dengan reformasi pentadbiran yang pastinya dapat membayar hutang secara sistematik, mengnyahkan rasuah dan ketirisan dalam perbelanjaan kerajaan.
Pepatah Inggeris berkata, “Fish rots from the head”. Pemimpin hendaklah menjadi contoh yang baik kepada rakyat. Rosak pemimpin musnahlah rakyat dan negara.
Berbagai reformasi dan pembaikan dirancang dan dilaksanakan. Ini harus berterusan sehingga pemimpin tidak lagi mempunyai ruang untuk penyelewengan, menyalahgunakan kuasa sewenang-wenangnya, makan rasuah dan hipokrit terhadap rakyat.
Rakyat tidak boleh terus disuap hingga menjadi malas dan hilang daya saing dalam medan ekonomi dan sosial negara. Sehingga sektor swasta tidak punya pilihan selain dari mengambil dan menggaji buruh asing kerana sikap dan prestasi rakyat tempatan.
Langkah membangunkan kemahiran pekerja tempatan tidak akan lengkap jika tidak didahului dengan program perubahan sikap rakyat tempatan menjadikan mereka rajin dan ampuh jati dirinya.
Program vokasional dan program usahawan terutama usahawan kecil dan sederhana hendaklah dinilai dan disusun semula agar kesan dan manfaatnya benar-benar dikecapi kumpulan sasaran, tidak hanya melepaskan batuk di tangga.
Tidak guna kita membangunkan pelbagai industri, berat dan canggih jika akhirnya kita terus mengimport pekerja asing untuk memenuhi keperluan buruh di sektor tersebut.
Rakyat sedang menunggu dengan penuh pengharapan. Diharap tidak mengecewakan.
Yunus Tasim ialah pembaca FMT.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.