Tuesday, October 30, 2018

Bekas menteri didakwa cabul pelajar disiasat 7 jam

 Diterbitkan 30 Okt 2018, 6:38 petang


Polis hari ini menyoal siasat seorang bekas menteri selama tujuh jam berhubung dakwaan melakukan serangan seksual terhadap seorang pelajar bawah umur.

Sumber dari Bukit Aman berkata bekas menteri yang juga anggota parlimen tiba di Bukit Aman kira-kira jam 10 pagi tadi.

Dia disoal siasat oleh para pegawai polis dari Bahagian Siasatan Seksual, Penderaan dan Kanak-kanak (D11).

"Polis selesai mencatatkan keterangannya sekitar jam 5 petang," kata sumber itu.

Malaysiakini difahamkan anggota parlimen berkenaan meminta untuk berhenti rehat beberapa kali kerana mendakwa tidak sihat.

"(Dia) ambil masa panjang, pasal dia kata tak sihat. Dia ni, dia tu so ambil masa panjang sikit," katanya.

Sumber itu berkata polis akan terus merakamkan keterangan anggota parlimen itu sekiranya perlu.

Semalam, Ketua Polis Perlis SAC Noor Mushar Mohamed berkata polis akan meneruskan siasatan meskipun gadis berumur 15 tahun itu telah menarik balik laporan polis yang telah dibuat.

Beliau berkata pihaknya bekerjasama dengan polis Bukit Aman untuk merekodkan keterangan anggota parlimen berkenaan di Kuala Lumpur.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Dalam sidang media di Kangar semalam, Mushar memberitahu polis telah merekod keterangan daripada 10 individu termasuk anggota parlimen berkenaan.

Beliau berkata siasatan kes cabul itu hampir selesai dan polis akan menyerahkan kertas siasatan kepada timbalan pendakwaraya bagi tindakan lanjut.

Sementara itu, akhbar Harian Metro melaporkan anggota parlimen berkenaan mendakwa dia tidak berniat menyentuh remaja itu sehingga menyebabkan keluarganya membuat laporan polis.

“Saya sudah kenal mereka lama, sudah hampir dua tahun dan kejadian yang kononnya ‘cabul’ itu bukan berlaku di tempat sunyi, tetapi di khalayak ramai.

“Saya tak mahu panjangkan perkara ini kerana kasihan kepada pelajar itu dan dia ada masa depan cerah,” katanya dipetik sebagai berkata.

Difahamkan insiden itu didakwa berlaku di dalam sebuah kereta berdekatan Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar pada 20 Okt.

Berdasarkan keterangan mangsa, dia bersama rakannya ketika itu sedang membuat latihan nyanyian sebelum anggota Parlimen terbabit tiba dan memanggil mangsa masuk ke dalam kereta bersendirian.

Sewaktu berada di dalam kereta, dia mendakwa disentuh pada bahagian tangan dan bahu oleh anggota parlimen terbabit sebelum mangsa lari keluar dari kereta sambil menangis.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-