Showing posts with label Bukit Aman. Show all posts
Showing posts with label Bukit Aman. Show all posts

Thursday, March 21, 2024

Lelaki hina Islam berkait isu stoking kalimah Allah ditahan

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
21 Mar 2024, 05:21 PM

Lelaki berusia lingkungan 35 tahun ditahan di Cheras, semalam.
Minggu lalu tular di media sosial berhubung penjualan stoking kalimah Allah selepas gambar produk itu dimuat naik pengguna. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Polis menahan seorang lelaki berhubung hantaran menghina Islam di media sosial berkaitan isu penjualan stoking tertera kalimah Allah di kedai serbaneka KK Mart.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata lelaki berusia lingkungan 35 tahun yang juga pemilik serta pengendali akaun Facebook “Chiok Wai Loong” ditahan di Cheras, Kuala Lumpur, semalam.

“Permohonan reman bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah dibenarkan selama empat hari mulai 21 hingga 24 Mac,” katanya dalam kenyataan.

Suhaily berkata, kes disiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bahagian D5, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan iaitu atas alasan agama, menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci-membenci atau niat jahat atau memudaratkan perpaduan.

Katanya, kes juga disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

“Polis menggesa orang ramai menjadi pengguna media sosial yang bijak dan berhemah serta elakkan daripada mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menggugat keharmonian dan perpaduan terutamanya melibatkan isu 3R (kaum, agama, raja),” katanya.

Minggu lalu, tular di media sosial berhubung penjualan stoking kalimah Allah di premis berkenaan selepas gambar produk itu dimuat naik pengguna.

Friday, March 17, 2023

Kertas siasatan kes guru dorong murid peluk Islam masih belum lengkap

malaysiakini.com
B Nantha Kumar
Diterbitkan: Mar 17, 2023 1:54 PM
Siasatan ke atas kes seorang pelajar didakwa diajak memeluk Islam jika mahu peluang besar menyertai pasukan bola sepak kebangsaan masih belum selesai meskipun sudat berlarutan lebih sebulan.

Ketika dihubungi, Ketua Polis Daerah Cheras ACP Zam Halim Jamaluddin berkata Bukit Aman pada 16 Mac lalu mengarahkan supaya siasatan lanjut dilakukan.

“Kertas siasatan telah dirujuk ke Pejabat Ketua Penolong Pengarah D5, Bukit Aman dan telah diterima semula oleh pihak Bahagian Siasatan Daerah Cheras semalam dengan arahan lanjut siasatan.
ACP Zam Halim Jamaluddin
“Kertas siasatan lengkap akan diedarkan semula ke Bukit Aman pada 20 Mac ini sebelum dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR),” katanya ketika diminta mengulas dakwaan keluarga bahawa mereka tidak mendapat sebarang maklumat berhubung kes itu.

Awal Februari lalu, satu laporan polis dibuat terhadap seorang guru selepas ibu bapa mendakwa anak mereka yang menuntut di Tingkatan Tiga di sebuah sekolah di Kuala Lumpur dipujuk memeluk Islam, dengan alasan ini mampu meningkatkan peluangnya untuk menjadi pemain bola sepak kebangsaan.

Guru berkenaan juga didakwa telah mencadangkan beberapa nama Islam untuk dipilih oleh remaja berusia 15 tahun itu.

Susulan itu, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan suasana tidak harmoni atas alasan-alasan agama dan awam serta Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan ketakutan atau kegentaran kepada awam.

Kementerian Pelajaran (KPM) juga dilaporkan telah memulakan siasatan dalaman.
Arun Dorasamy
Sebelum ini Pengerusi Persatuan Hindu Agamam Ani Malaysia Arun Dorasamy yang mewakili pihak keluarga berkata bahawa pihaknya bersiap sedia membawa isu itu ke mahkamah sekiranya tiada sebarang tindakan daripada pihak polis.

"Sehingga hari ini tiada sebarang perkembangan dalam kes ini. Pihak penguatkuasa tidak telus. Kami tidak diberitahu sebarang maklumat mengenai kes ini.

"Ibu bapanya berasa bimbang untuk menghantar budak itu semula ke sekolah.

Arun juga berkata pihaknya berasa pelik dengan tindakan polis menghantar kertas siasatan ke Ibu Pejabat Kontigen untuk tindakan selanjutnya.

"Saya rasa kes ini tidak begitu rumit. Ini bukan skandal 1MDB.

"Polis telah datang ke sekolah bagi menjalankan siasatan ke atas beberapa pelajar dan guru. Semua prosedur telah dilakukan dan mengikut laporan media kertas siasatan telah telah diserahkan kepada IPK.

"Saya tidak tahu mengapa mereka perlu mengemukakan kepada IPK. Ia sepatutnya pergi ke pejabat TPR untuk tindakan selanjutnya. Kelihatan seperti polis sedang menunggu untuk NFA (tiada tindakan lanjutan)," katanya.

Malah, kata Aun, pihak keluarga murid berkenaan memandang serius kelewatan pihak berkuasa bertindak dalam kes ini.

"Ini kes serius, ada pihak menyalahgunakan fasiliti sekolah berdakwah kepada murid bawah umur," katanya.

Pada 23 Feb, Zam Halim memberitahu Malaysiakini bahawa kertas siasatan itu sudah diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur untuk tindakan selanjutnya.

Thursday, March 9, 2023

Bukit Aman siasat Hadi berkait kenyataan jatuhkan kerajaan

freemalaysiatoday.com
Bernama 
- 09 Mar 2023, 2:49pm

Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman akan menjalankan siasatan berhubung dakwaan presiden PAS itu.
Polis menerima laporan terhadap Abdul Hadi Awang yang dibuat Pemuda Amanah dan Pemuda PKR Selangor di IPD Dang Wangi semalam.

KUALA LUMPUR: Siasatan terhadap Presiden PAS Abdul Hadi Awang berhubung kenyataannya yang mendakwa Perikatan Nasional (PN) sedang berusaha menjatuhkan kerajaan, akan dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman.

Ketua Polis Sentul, Beh Eng Lai, berkata pihaknya menerima laporan terhadap Ahli Parlimen Marang itu, yang dibuat Pemuda Amanah dan Pemuda PKR Selangor di IPD Dang Wangi semalam.

“Kes berkenaan akan disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman,” katanya ringkas dalam sidang media di IPD Sentul, ketika diminta mengulas perkembangan isu itu.

Laporan polis itu dibuat Exco Pemuda Amanah Fadhli Umar Aminol Huda dan Ketua PKR Selangor, Izuan Kasim, berhubung kenyataan Hadi yang mengaku terdapat usaha dijalankan PN dan parti blok pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Hadi pada Isnin ketika ditemu bual media di Parlimen berkata, tiada sesiapa pun boleh menghalang usaha PN itu berdasarkan sistem demokrasi diamalkan Malaysia dan ia boleh dilakukan sama ada melalui undi tidak percaya atau akuan berkanun (SD).

Wednesday, August 31, 2022

Lokman dituduh esok berkait hina kerajaan, PM

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
-August 31, 2022 10:44 PM
Bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno itu didakwa menghina kerajaan dan perdana menteri melalui akaun Facebooknya.

PETALING JAYA: Bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Lokman Noor Adam akan dituduh di mahkamah esok berkaitan dakwaan menghina kerajaan dan perdana menteri melalui akaun Facebooknya.

Pertuduhan terhadap Lokman yang berhadapan dua pertuduhan dibuat di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur, 9.30 pagi.

Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman menyiasat kes itu susulan penghantaran video berniat jahat dan kenyataan menghina kerajaan dan perdana menteri melalui akaun Facebook Lokman Noor Adam Official.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, Lokman akan disiasat mengikut Seksyen 233(1) Akta Komunikasi dan Multimedia.

Sementara itu, Lokman dalam hantaran di Facebook bagi menjawab tuduhan itu berkata, dia percayai ia ada kaitan dua video yang dibuat secara langsung bagi menjawab kenyataan perdana menteri berhubung PRU15.

Sunday, August 28, 2022

Bukit Aman panggil Hadi berkait ‘ucapan kebencian’

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
-August 28, 2022 9:11 PM
Abdul Hadi Awang disiasat mengikut Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

PETALING JAYA: Bukit Aman akan memanggil Presiden PAS Abdul Hadi Awang berhubung kenyataannya majoriti perosak politik dan ekonomi adalah golongan bukan Islam dan bukan Bumiputera.

Dalam kenyataan Bukit Aman berkata, setakat ini polis menerima sebanyak 28 laporan ke atas Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berhubung isu itu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan dengan niat mengapikan mana-mana golongan atau kaum dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan atau perkhidmatan rangkaian,” katanya.

Katanya, siasatan dijalankan oleh pasukan daripada Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang (D5).

Pada 20 Ogos lalu, Hadi mendakwa golongan bukan Islam dan bukan Bumiputera adalah kumpulan majoriti perosak politik dan ekonomi negara.

“Barangkali kalangan inilah yang paling besar menguasai ekonomi negara dan mempengaruhi politiknya dengan cara yang haram,” dakwanya dalam kenyataan.

Sementara itu, polis turut menyeru orang awam supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan kenyataan yang boleh mengganggu proses siasatan.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang bertindak dalam apa jua cara sehingga boleh menjejaskan ketenteraman awam dan keselamatan negara,” kata kenyataan itu.

Tuesday, July 19, 2022

Bukit Aman rampas telefon bimbit Mat Sabu

malaysiakini.com

Diterbitkan: Jul 19, 2022 5:31 PM

Polis didakwa merampas telefon bimbit Mohamad Sabu selepas presiden Amanah itu memberi keterangan kepada pihak berkuasa berhubung flash mob membantah kenaikan harga barang baru-baru ini.

Ahli Jawatankuasa Amanah Nasional, Faiz Fadzil, berkata Mohamad memberikan keterangan kepada polis selama kira-kira dua jam di Bukit Aman mulai jam 11.15 pagi.

“Sesi siasatan berjalan agak panjang memandangkan pihak polis meminta telefon bimbit dirampas walaupun telah dibantah dengan hujah menggunakan nas undang-undang," katanya yang juga seorang peguam.

Tambah Faiz mereka berpendapat tidak ada kewajaran untuk polis merampas telefon bimbit berkenaan kerana video yang dipersoalkan oleh pihak berkuasa tiada kaitan dengan peranti tersebut.

Ekoran tindakan polis berkenaan, kata Faiz, dia sudah menerima arahan daripada Mohamad untuk memulakan tindakan undang-undang ke atas polis.

“Saya telah menerima arahan presiden Amanah untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak polis kerana bertindak melanggar hak privasi dan prinsip keadilan yang dijamin Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Amanah sudah mengadakan siri flash mob di beberapa lokasi sebagai membantah kenaikan harga pelbagai barang keperluan masyarakat, termasuk disertai Mohamad pada 17 Julai lalu.

Mohamad menyertai bantahan yang diadakan di Jalan Jati, Shah Alam.

Menurut Faiz, bekas menteri pertahanan itu disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Monday, April 26, 2021

Bukit Aman panggil Anwar berhubung klip audio tular

freemalaysiatoday.com
K. Parkaran
-April 26, 2021 10:15 PM

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim diminta hadir di Bukit Aman pada 10 pagi esok.

PETALING JAYA: Anwar Ibrahim dipanggil Bukit Aman untuk memberi keterangan berhubung klip audio dikatakan antara beliau dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang tular baru-baru ini.

Sumber berkata, ketua pembangkang itu diminta hadir pada 10 pagi esok dan akan ditemani peguamnya, Sankara N Nair.

“Kemungkinan besar ia berkaitan dakwaan perbualan antara dua pemimpin itu mengenai hal Umno yang dirakam dan ditularkan secara misteri,” kata sumber.

Sankara ketika dihubungi mengesahkan beliau akan menemani Anwar ke Bukit Aman, tetapi tidak dapat mengesahkan sama ada ia berkaitan klip audio tersebut.

Awal bulan ini, satu rakaman audio didakwa mirip suara Zahid dan Anwar tular di media sosial membincangkan perkara berkaitan Perhimpunan Agung Umno (PAU) pada akhir Mac lalu.

Bagaimanapun, Zahid dan Anwar menafikan dakwaan itu.

Zahid berkata, tiada sebarang perbualan antara beliau dengan Anwar selepas PAU tersebut.

Dalam kenyataannya, Zahid berkata, rakaman audio yang disebarkan itu adalah “usaha berterusan” untuk melemahkan dan menghancurkan Umno.

Anwar, dalam kenyataan berasingan, turut menafikan beliau adalah pemilik suara yang dirakam dalam perbualan telefon tersebut.

Pada 10 April lalu, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador dilaporkan berkata, polis akan mengambil keterangan Zahid dan Anwar berhubung klip audio itu.

Kata beliau, kertas siasatan telah dibuka dan salinan audio itu dihantar ke makmal forensik untuk menentukan ketulenannya.

Susulan itu, Sankara mempersoalkan keputusan memulakan siasatan kerana mendakwa tiada asas perundangan untuk berbuat demikian.

Kata beliau, polis tiada kuasa untuk menyiasat kerana klip audio tular yang didakwa membabitkan dua pemimpin berkenaan bukan “kesalahan boleh ditangkap”.

“Ada satu, dan hanya satu, peruntukan bawah Seksyen 110 Kanun Prosedur Jenayah, yang memberi kuasa kepada ketua polis negara untuk menggunakan kuasanya memulakan siasatan jenayah.

“Dan ini berlaku selepas polis menerima laporan mendedahkan kesalahan boleh ditangkap,” kata beliau dalam kenyataan pada 11 April lalu.

Thursday, January 28, 2021

Bukit Aman Siasat Anwar Kerana Desak Agong Batalkan Darurat...?

BERITA
By MT Webmaster On Jan 27, 2021


(MalaysiaNow) — difahamkan Bukit Aman sedang menyiasat Presiden PKR Anwar Ibrahim berhubung kenyataan yang disiarkan secara dalam talian mendesak Yang di-Pertuan Agong membatalkan proklamasi darurat.

Ketua Polis Perak Mior Faridalathrash Wahid mengesahkan menerima laporan polis terhadap ahli politik itu, mengatakan sudah diserahkan kepada Bukit Aman.

“Kita hanya bantu untuk rekod kenyataan sahaja selepas itu kita akan salurkan laporan polis ini kepada pihak berkenaan,” katanya kepada MalaysiaNow.

Laporan polis itu mendakwa Anwar melakukan hasutan dengan mempersoalkan kuasa Perlembagaan Agong untuk mengisytiharkan darurat.

Pada 12 Januari, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah memperkenankan proklamasi darurat sebagai langkah untuk membantu usaha memerangi peningkatan mendadak kes Covid-19 di seluruh negara.

Langkah itu juga dilihat sebagai satu cara untuk memastikan kestabilan politik sepanjang musim pandemik, ketika beberapa ahli Parlimen Umno mengancam untuk menarik kembali sokongan kepada blok kerajaan.

Artikel 150 dalam Perlembagaan Persekutuan memberikan kuasa kepada Agong untuk mengisytiharkan darurat di mana Parlimen boleh digantung, sekiranya berpuas hati kententeraman awam dan keadaan ekonomi terancam.

Langkah itu menyebabkan kritikan daripada beberapa pemimpin pembangkang, dengan Anwar melancarkan kempen mengajak ahli-ahli Parlimen menulis warkah memohon Agong membatalkan darurat.

Anwar juga menyiapkan draf surat untuk dihantar ke Istana Negara dan memberitahu ahli-ahli Parlimen langkah Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengisytiharkan darurat adalah tidak sah.

Anwar bagaimanapun mengatakan beliau tidak mempersoalkan kuasa Agong.

Semalam Anwar memfailkan tindakan undang-undang supaya mahkamah mengisytihatkan nasihat Muhyiddin untuk menggantung Parlimen semasa darurat sebagai tidak selari dengan Perlembagaan Persekutuan.

Anwar kini mengubah desakannya daripada mahu Agong membatalkan darurat kepada menuntut sidang Parlimen diadakan.

Mior berkata selain Perak, dua lagi laporan polis turut dibuat di Kuala Lumpur dan Seremban.

Katanya, siasatan dijalankan di bawah seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan ketakutan kepada awam dan kebimbangan sesuatu dilakukan mengganggu ketenteraman awam dan seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia kerana penyalahgunaan internet.

Dalam satu laporan polis yang dibuat di Perak, aktivis Khalil Idham Lim Abdullah berkata Anwar mencabar kuasa Agong seperti yang dinyatakan dalam Artikel 150 (8) Perlembagaan Persekutuan.

“Perkara 150 (8) (a) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa hal puas hati Yang di-Pertuan Agong adalah muktamad dan konklusif dan tidak boleh dicabar atau dipersoalkan dalam mana-mana mahkamah atas apa-apa alasan.

“Jadi jika Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa ia tidak boleh dicabar atau dipersoalkan di dalam mana-mana mahkamah atas apa-apa alasan, maka sudah semestinya ia juga tidak boleh dicabar atau dipersoalkan di luar mahkamah,” kata Khalil dalam laporan polis yang dilihat MalaysiaNow.

Khalil berkata, tindakan Anwar itu juga jelas mendatangkan perasaan tidak setia terhadap Yang di-Pertuan Agong.

“Kesalahan yang dibuat oleh Anwar ini adalah sangat serius kerana beliau adalah ketua pembangkang di Parlimen; pengerusi Pakatan Harapan, presiden PKR, ahli Parlimen dan bekas timbalan perdana menteri yang ramai pengikut.

“Ia boleh mengancam keselamatan dan ketenteraman negara, oleh itu saya minta pihak polis membuat siasatan ke atasnya.”

Khalil berkata, hantaran Anwar di Facebook berhubung perkara ini sudah dikeluarkan.

Thursday, January 16, 2020

Rakaman audio: Latheefa, timbalan beri keterangan hampir 4 jam di Bukit Aman

FMT Reporters
-January 16, 2020 7:52 PM

Ketua pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya hadir ke Bukit Aman hari ini untuk memberi keterangan berhubung langkah badan itu mendedahkan rakaman audio membabitkan Najib Razak dan beberapa individu lain baru-baru ini.

PETALING JAYA: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya selesai memberikan keterangan selama hampir 4 jam di Bukit Aman, hari ini.

Perkara itu disahkan oleh SPRM dalam satu kenyataan, petang tadi.

“Timbalan ketua pesuruhjaya Azam Baki dan 5 orang pegawai lain juga turut hadir memberikan keterangan secara berasingan antara jam 2.45 petang hingga6.30 petang,” kata kenyataan itu.

Terdahulu, polis mengesahkan Latheefa dan beberapa nama lain akan dipanggil untuk memberi keterangan berhubung rakaman audio yang didedahkan SPRM baru-baru ini.

Pada 8 Jan, SPRM telah mendedahkan rakaman audio perbualan yang didakwa kebocoran maklumat daripada Jabatan Peguam Negara kepada bekas perdana menteri Najib Razak dan beberapa individu lain yang dikatakan berkaitan siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad dan SRC International Sdn Bhd.

Rakaman audio itu dipercayai perbualan yang melibatkan Najib, Rosmah Mansor, bekas ketua pesuruhjaya SPRM Dzulkifli Ahmad, putera mahkota Emiriyah Arab Bersatu, Sheikh Mohammed Zayed Al Nahyan dan beberapa individu lain.

Siasatan polis diketuai oleh Mohd Fazley Ab Rahmad dari Unit Siasatan Jenayah Khas Bukit Aman.

Tuesday, January 14, 2020

Latheefa Koya beri keterangan Khamis ini

MyMetro

LATHEEFA Koya. FOTO Arkib NSTP

BERNAMA

KETUA Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya dijangka hadir ke Bukit Aman, Kuala Lumpur, bagi memberi keterangan Khamis ini.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, Latheefa dipanggil untuk memberi keterangan berhubung rakaman audio yang didedahkan SPRM.

Beliau berkata, selain Latheefa, nama-nama lain yang berkaitan juga akan dipanggil bagi membantu siasatan kes itu, katanya kepada BERNAMA.

Pada 8 Januari, SPRM sudah memutarkan rakaman audio perbualan yang didakwa kebocoran maklumat daripada Jabatan Peguam Negara kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak dan perbualan lain yang dikatakan berkaitan siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad dan SRC International Sdn Bhd.

Klip audio itu dipercayai perbualan yang membabitkan Najib, Datin Seri Rosmah Mansor, bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad dan beberapa individu lain.

Artikel ini disiarkan pada
: Selasa, 14 January 2020 @ 8:56 AM

Tuesday, December 17, 2019

Yusoff jalani ujian poligraf selama 4 jam di Bukit Aman

Diterbitkan Hari ini 9:54 malam

BERITA

Bekas penyelidik PKR, Muhammed Yusoff Rawther selesai menjalani ujian poligraf atau ujian pengesan pembohongan selama empat jam di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur.

Ujian berkenaan dilakukan bagi membantu siasatan polis berhubung dakwaan salah laku seksual membabitkan Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Muhammed Yusoff menjalani ujian berkenaan bermula jam 4.30 petang dengan ditemani peguamnya, Mohamed Haniff Khatri Abdulla dan selesai kira-kira jam 8.30 malam.

Mohamed Haniff berkata beliau dan anak guamnya berpuas hati dengan ujian poligraf tersebut dan berharap ia dapat membantu siasatan polis.

“Butiran-butiran lanjut semuanya adalah bersama pakar yang mengendalikan ujian tersebut dan saya percaya laporan ujian itu akan dimajukan kepada pihak siasatan," katanya kepada pemberita di luar perkarangan Bukit Aman.

Beliau berkata, Yusoff mahu melakukan ujian berkenaan bagi menunjukkan dirinya bersungguh-sungguh untuk memberikan kerjasama agar siasatan lengkap dapat dijalankan.

Ditanya kemungkinan akan ada ujian poligraf seterusnya, Haniff mengesahkan tidak buat masa ini, namun menjelaskan anak guamnya sentiasa bersedia untuk memberikan kerjasama kepada polis.

“Kalau ada lagi, itu terpulang kepada polis dan Yusoff akan menunggu untuk sebarang permintaan lanjut berkaitan siasatan terbabit dan dia pasti akan bekerjasama sepenuhnya,” katanya.

Mengulas keperluan untuk Anwar yang juga anggota parlimen Port Dickson membuat ujian yang sama, Haniff berkata ia terpulang kepada individu terbabit.

“Ia terserah kepada kedua-dua pihak sama ada mereka percaya perlu atau tidak panggil sesiapa sahaja yang lain untuk memberi ujian ini,” katanya.

Terdahulu Muhammed Yusoff Rawther hadir ke Bukit Aman bagi menjalani ujian poligraf dengan berbaju merah lengan pendek dan berseluar denim biru.

Beliau yang menaiki kereta jenis Mercedes Benz berwarna hitam tiba pada jam 2.50 petang.

Pada 9 Disember lalu, Muhammed Yusoff memberi keterangan selama lapan jam kepada Unit Jenayah Terkelas Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5) Jabatan Siastaan Jenayah Bukit Aman.

Beliau kemudian datang semula ke Bukit Aman keesokan harinya untuk menyambung keterangan selama tiga jam berhubung Akuan Bersumpah (SD) serta laporan polis yang dibuat di IPD Sentul pada 7 Disember lalu atas dakwaan menjadi mangsa cabul.

Anwar pula hadir ke Bukit Aman pada Khamis lalu bagi memberikan keterangan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 223 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Thursday, December 12, 2019

Polis ke rumah Anwar sejurus ambil keterangan di Bukit Aman

FMT Reporters
-December 12, 2019 7:24 PM

(Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Polis menghantar penyiasat ke rumah Anwar Ibrahim sejurus merakam keterangan presiden PKR itu di Bukit Aman dalam siasatan ke atas laporan yang dibuat oleh bekas kakitangannya.

Perkembangan itu dimaklumkan sendiri oleh Anwar, yang sebelum itu berada di Bukit Aman selama lebih 2 jam hingga 6 petang tadi untuk disoal Unit Siasatan Jenayah Terkelas (D5).

“Sejurus itu mereka bersama saya yang turut disertai peguam Ramkarpal Singh ke rumah untuk melengkapkan siasatan,” katanya dalam kenyataan.

“Saya menghargai tindakan dan layanan pegawai polis yang menjalankan tugas dengan penuh profesional sepanjang proses berlangsung,” katannya.

Wartawan FMT di lokasi mendapati beberapa kenderaan polis dan pegawai berada di rumah Anwar di Bukit Segambut.

USJT Bukit Aman melancarkan siasatan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan, berdasarkan laporan yang dibuat Muhammed Yusoff pada 7 Dis.

Seksyen tersebut berkenaan melakukan kekerasan jenayah dengan niat mencabul kehormatan.

Yusoff, bekas pembantu penyelidik di pejabat Anwar, dipanggil 2 kali ke Bukit Aman dengan ditemani peguamnya, Haniff Khatri Abdulla.

Dia dalam satu akuan berkanun, yang dilampirkan bersama laporan polisnya, menuduh Anwar cuba mencabul kehormatannya di rumahnya di Bukit Segambut.

Anwar sekeras-kerasnya menafikan dakwaan itu, mengatakan ia tidak berasas dan bermotif politik.

Anwar beri keterangan dakwaan salah laku seksual

Diterbitkan Hari ini 6:47 petang

BERITA

Polis telah merakam keterangan Presiden PKR Anwar Ibrahim berhubung dakwaan salah laku seksual terhadapnya, tengah hari ini.

Penolong Pengarah utama CID D5 (Bahagian Pendakwaan dan Perundangan) Bukit Aman Mior Faridalathrash Wahid ketika dihubungi Malaysiakini mengesahkan perkara itu.

Beliau berkata Anwar berada di ibu pejabat polis di Bukit Aman, Kuala Lumpur selama satu setengah jam.

Anwar tiba di sana kira-kira pada pukul 3.40 petang dan beredar kira-kira pada pukul enam petang.

Pada 7 Disember lalu, bekas pekerja Anwar, Muhammad Yusoff Rawther membuat laporan polis berhubung perkara itu dan memberi keterangan di Bukit Aman dua hari kemudian.

Menerusi satu perakuan bersumpah, dia mendakwa insiden itu berlaku di rumah Anwar di Segambut pada 2 Oktober, ketika kempen PRK Port Dickson yang ditandingi presiden PKR itu.

Anwar menafikan dakwaan itu dan berkata dia sibuk berkempen untuk PRK Port Dickson - yang masuk hari keempat pada tarikh tersebut - pada hari kejadian itu didakwa berlaku.

[Berita lanjut menyusul]

Wednesday, December 11, 2019

Bukit Aman akan panggil Anwar bantu siasatan tuduhan salah laku seksual

BERITA
News | Diterbitkan Hari ini 8:49 pagi

Polis akan memanggil Anwar Ibrahim dan saksi lain untuk membantu siasatan melibatkan tuduhan salah laku seksual yang dibuat oleh bekas pegawai penyelidik Yusoff Rawther, kata Bukit Aman.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed mengesahkan hal ini, berkata suatu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang meliputi serangan atau penggunaan kekerasan terhadap seseorang dengan niat jahat.

"Siasatan diklasifikasikan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

"Rakaman percakapan Muhammed Yusuff Rawther (pengadu) telah diambil di Pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bukit Aman pada 9 Disember 2019.

"Percakapan Anwar Ibrahim serta beberapa saksi lain yang berkaitan akan diambil setelah mendapat tarikh temu janji yang sesuai," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Huzir (gambar, atas) berkata bahawa Anwar dan individu lain akan datang selepas mendapat tarikh yang sesuai.

Huzir juga menggesa orang ramai supaya tidak membuat spekulasi mengenai siasatan yang masih berterusan ini.

Sehari sebelum Kongres Nasional PKR pada 6 Disember lalu, Yusoff menuduh Anwar melakukan salah laku seksual dan mendedahkan dia telah membuat akuan bersumpah mengenai perkara itu.

Bekas pegawai penyelidik Anwar itu mendakwa kejadian tersebut berlaku pada hari keempat kempen pilihan raya kecil Port Dickson pada Oktober tahun lepas.

Anwar, yang juga MP Port Dickson, telah menafikan dakwaan itu dan mengarahkan peguamnya untuk mengeluarkan notis tuntutan kepada Yusoff supaya menarik semula tuduhannya dan jika gagal berbuat demikian maka tindakan saman akan dibuat.

Sabtu lalu, Yusoff membuat laporan di ibu pejabat polis daerah Sentul yang meminta siasatan terhadap akuan bersumpah beliau.

Isnin lalu, polis menyoal Yusoff selama hampir lapan jam di ibu pejabat polis persekutuan Bukit Aman di Kuala Lumpur.

Polis memanggilnya semula petang semalam. Kenyataan juga direkodkan daripada saksi lain, yang identitinya belum disahkan.

Wednesday, November 27, 2019

Polis siasat abu mayat Chin Peng dibawa masuk

Nur Hasliza Mohd Salleh
-November 27, 2019 5:24 PM
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed.

KUALA LUMPUR: Polis sedang menyiasat dakwaan abu mayat bekas pemimpin Parti Komunis Malaya, Chin Peng dibawa masuk ke Malaysia.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan yang membawa hukuman penjara sehingga 2 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Siasatan juga dijalankan bawah Seksyen 505 (B) Kanun Keseksaan iaitu dengan niat hendak menyebabkan, atau mungkin menyebabkan, ketakutan atau kegentaran kepada awam, serta di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Ini boleh timbulkan suasana tak harmoni, sebab itu kita siasat.

“Kita tengah siasat, macam mana boleh masuk. Jalan apa mereka bawa masuk,” katanya pada sidang media di Bukit Aman hari ini.

Semalam, Malaysiakini melaporkan abu mayat Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua dibawa masuk 2 bulan lalu dan ditabur ke laut serta di banjaran Titiwangsa.

Abu mayatnya dilaporkan tiba di Ipoh pada 16 Sept lalu dan satu majlis peringatan dihadiri 150 individu diadakan pada hari yang sama.

Huzir berkata Bukit Aman sedang bekerjasama dengan polis Perak untuk mengenal pasti tarikh dan cara abu mayat tersebut dibawa masuk ke negeri itu.

“Siapa yang bawa masuk kita dah tahu sebab artikel media dah beritahu siapa bawa masuk,” katanya.

Chin Peng yang lahir di Sitiawan, Perak pada 1924 meninggal dunia di sebuah hospital di Bangkok pada usia 90 tahun dan kerajaan pada ketika itu memutuskan larangan membawa mayat atau abunya pulang ke Malaysia.

Thursday, October 17, 2019

P Ramasamy dipanggil ke Bukit Aman

MyMetro
Siti Sofia Md Nasir
am@hmetro.com.my

TIMBALAN Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy.
 FOTO RAMDZAN MASIAM

TIMBALAN Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy mengesahkan akan hadir memberi keterangan kepada Polis Diraja Malaysia di Bukit Aman, Isnin ini.

Ramasamy berkata, kehadirannya untuk memberi keterangan kepada Unit Siasatan Jenayah Terkelas D5 berhubung siasatan satu artikel bertajuk ‘Kerajaan Baharu Tapi Polis Pada Takuk Lama - Ramasamy’ yang disiarkan sebuah portal.

“Pada 9 Oktober lalu, saya menerima panggilan daripada Unit D5 Bukit Aman menyatakan bahawa polis perlu ambil keterangan saya berhubung laporan polis dibuat terhadap saya.

“Tarikh ditetapkan dan dipersetujui adalah pada 10 pagi 21 Oktober ini di Bukit Aman,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada 17 September lalu, Ramasamy dilaporkan berkata, beliau melahirkan rasa terkilan dan terkejut dengan insiden berbalas tembakan antara polis dan tiga perompak lelaki berbangsa India dari Batu Caves hingga ke Batu Arang yang berlaku 14 September lalu.

Ramasamy yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Prai juga tertanya-tanya dengan insiden itu sehingga menimbulkan pelbagai persoalan.

Kenyataan Ramasamy di Facebooknya disiarkan portal berita Malaysia Gazette.

Terdahulu, dalam kejadian jam 5 pagi, polis menembak mati tiga penjenayah dipercayai aktif melakukan samun pecah rumah, di Kilometer 22, Jalan Batu Arang, Rawang, Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Oktober 2019 @ 4:32 PM

Sunday, October 13, 2019

Guru, CEO suspek terbaru ditahan polis

Kow Gah Chie dan B Nantha Kumar
Diterbitkan Hari ini 1:41 tengahari


Guru, pegawai kanan syarikat berkaitan kerajaan (GPC) dan anggota majlis kerajaan tempatan adalah antara lima individu yang ditangkap polis dalam operasi terbaru ke atas pihak yang terbabit dengan kumpulan Pembebasan Harimau Tamil Eelam (LTTE) semalam.

Menurut Bahagian Counter Terrorism (E8) Cawangan Khas Bukit Aman lima suspek terbabit ditahan kerana disyaki mempromosi dan menghasut agar orang awam menyokong kumpulan yang disenaraikan sebagai pengganas itu.

Ketua Penolong Pengarah E8, Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata mereka memiliki barangan yang berkaitan LTTE, serta menolong membiayai kegiatan kumpulan terbabit.

Katanya, guru sekolah menengah terbabit berusia 52 tahun dan menyokong LTTE melalui media sosial. Suspek terbabit - yang ditahan di Banting, Selangor - juga memiliki bahan yang berkaitan dengan LTTE.

Suspek lain ialah seorang anggota Majlis Bandar Raya Melaka - berusia 43 tahun - dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Teknologi Hijau Melaka, berusia 38 tahun.

Kata Ayob Khan, mereka ditahan kerana terbabit menganjurkan Hari Perwira LTTE Melaka.

"Kedua-dua mereka ditahan di Durian Tunggal," katanya pada sidang media di Bukit Aman hari ini.

Dua lagi suspek yang ditahan ialah pekerja kilang - berusia 26 tahun - dan penyelia keselamatan - berusia 29 tahun - yang ditahan di Bukit Mertajam, Seberang Prai Tengah.

Pada masa sama, Ayob berkata, polis sedang memantau aktiviti Seeman Senthamilan iaitu ketua penyelaras parti yang berpangkalan di India, Naam Tamilar, yang menyokong LTTE.

Katanya polis juga mungkin melarang kemasukan pemimpin Tamil Nadu itu memasuki Malaysia.

[Baca berita penuh]

Ahli DAP dan LTTE: Polis akan terus siasat

Kow Gah Chie dan B Nantha Kumar
Diterbitkan Hari ini 12:34 tengahari


Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus menjalankan siasatan dan melakukan tangkapan susulan jika terdapat sebarang bukti mengaitkan pemimpin DAP dengan kumpulan Pembebasan Harimau Tamil Eelan (LTTE).

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism (E8) Cawangan Khas Bukit Aman Ayob Khan Mydin Pitchay berkata beliau tidak pernah memberikan kenyataan untuk tidak membuat sebarang tangkapan lanjut terhadap anggota DAP.

Katanya beliau tidak tahu dari mana Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, mendapat maklumat mengenai dakwaan polis tidak lagi akan membuat tangkapan membabitkan pemimpin atau anggota parti terbabit berhubung isu LTTE.

"Saya tidak pernah keluarkan sebarang kenyataan yang mengatakan kita (PDRM) akan menghentikan siasatan... tak.

"Mungkin ada daripada pihak lain, saya tak pasti, (tapi) tidak ada sebab kenapa kita perlu hentikan siasatan," katanya pada sidang media di Bukit Aman hari ini.

Menurut Ayob, polis akan meneruskan siasatan seperti sepatutnya dan dengan adanya cukup bukti kukuh, akan ada langkah susulan diambil, iaitu tangkapan.

"Tidak ada isu kita hentikan siasatan," katanya.

Tujuh orang - termasuk dua wakil rakyat dari DAP - ditahan polis mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 atau Sosma pada 10 Okt lalu kerana disyaki terlibat dalam aktiviti LTTE.

Tidak lama kemudian Lim mengeluarkan kenyataan mendakwa dimaklumkan bahawa tiada lagi pemimpin DAP yang akan ditahan atas dakwaan berkenaan.

"Saya juga dimaklumkan bahawa, walaupun akan ada lebih ramai ditangkap kerana disyaki mempunyai kaitan dengan LTTE, tiada lagi pemimpin atau wakil rakyat dari DAP akan disasarkan," katanya.

Untuk rekod, LTTE disenaraikan sebagai pertubuhan pengganas oleh lebih 30 negara di seluruh dunia, termasuk Kesatuan Eropah, Kanada, India, AS dan Malaysia.

Ayob Khan bagaimanapun enggan mendedahkan jika ada wakil rakyat DAP atau ahli politik lain sedang berada dalam radar mereka berhubung kegiatan LTTE ketika ini.

Sementara itu beliau berkata, polis tidak akan menangkap Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran, hanya kerana anggota parlimen Ipoh Barat itu bergambar dengan pemimpin parti politik India yang menyokong LTTE, Seeman Senthamilan.

[Berita lanjut menyusul]

Friday, August 16, 2019

Dr Zakir Naik di Bukit Aman?

MyMetro
Khairul Najib Asarulah Khan
khairul.najib@nstp.com.my

KENDERAAN dipercayai membawa Dr Zakir Naik menuju ke Bukit Aman.

PENCERAMAH bebas, Dr Zakir Naik dipercayai ke Bukit Aman, hari ini, bagi memberi keterangan susulan mengeluarkan kenyataan didakwa boleh mengancam keamanan negara.

Zakir dipercayai menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) berwarna gelap tiba di Bukit Aman jam 3 petang.

Sehingga jam 6.30 petang, lebih 20 media masih menunggu di pintu utama Bukit Aman selain mendapatkan pengesahan polis berhubung perkara itu.

Sebelum ini, penceramah bebas itu didakwa memberi kenyataan kontroversi terhadap kaum Cina di negara ini sebagai kenyataan balas kepada pihak mengarahkannya supaya keluar dari Malaysia.

Zakir dalam satu syarahan di Kelantan, minggu lalu, didakwa mengeluarkan kenyataan mengaitkan penganut Hindu di negara ini lebih percaya kepada Perdana Menteri India berbanding Tun Dr Mahathir Mohamad.

Susulan itu, polis menerima 115 laporan berkaitan Zakir dan polis membuka kertas siasatan terhadapnya mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan.

Namun, Rabu lalu, Zakir dalam satu kenyataan media mendakwa ceramahnya disalah tafsir dan sengaja diputar belit pihak tertentu.

Katanya, pengkritik memetik kenyataannya di luar konteks dengan tujuan mempolitikkan isu terbabit dan berniat jahat.

Artikel ini disiarkan pada
: Jumaat, 16 Ogos 2019 @ 7:21 PM

Tuesday, October 30, 2018

Bekas menteri didakwa cabul pelajar disiasat 7 jam

 Diterbitkan 30 Okt 2018, 6:38 petang


Polis hari ini menyoal siasat seorang bekas menteri selama tujuh jam berhubung dakwaan melakukan serangan seksual terhadap seorang pelajar bawah umur.

Sumber dari Bukit Aman berkata bekas menteri yang juga anggota parlimen tiba di Bukit Aman kira-kira jam 10 pagi tadi.

Dia disoal siasat oleh para pegawai polis dari Bahagian Siasatan Seksual, Penderaan dan Kanak-kanak (D11).

"Polis selesai mencatatkan keterangannya sekitar jam 5 petang," kata sumber itu.

Malaysiakini difahamkan anggota parlimen berkenaan meminta untuk berhenti rehat beberapa kali kerana mendakwa tidak sihat.

"(Dia) ambil masa panjang, pasal dia kata tak sihat. Dia ni, dia tu so ambil masa panjang sikit," katanya.

Sumber itu berkata polis akan terus merakamkan keterangan anggota parlimen itu sekiranya perlu.

Semalam, Ketua Polis Perlis SAC Noor Mushar Mohamed berkata polis akan meneruskan siasatan meskipun gadis berumur 15 tahun itu telah menarik balik laporan polis yang telah dibuat.

Beliau berkata pihaknya bekerjasama dengan polis Bukit Aman untuk merekodkan keterangan anggota parlimen berkenaan di Kuala Lumpur.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Dalam sidang media di Kangar semalam, Mushar memberitahu polis telah merekod keterangan daripada 10 individu termasuk anggota parlimen berkenaan.

Beliau berkata siasatan kes cabul itu hampir selesai dan polis akan menyerahkan kertas siasatan kepada timbalan pendakwaraya bagi tindakan lanjut.

Sementara itu, akhbar Harian Metro melaporkan anggota parlimen berkenaan mendakwa dia tidak berniat menyentuh remaja itu sehingga menyebabkan keluarganya membuat laporan polis.

“Saya sudah kenal mereka lama, sudah hampir dua tahun dan kejadian yang kononnya ‘cabul’ itu bukan berlaku di tempat sunyi, tetapi di khalayak ramai.

“Saya tak mahu panjangkan perkara ini kerana kasihan kepada pelajar itu dan dia ada masa depan cerah,” katanya dipetik sebagai berkata.

Difahamkan insiden itu didakwa berlaku di dalam sebuah kereta berdekatan Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar pada 20 Okt.

Berdasarkan keterangan mangsa, dia bersama rakannya ketika itu sedang membuat latihan nyanyian sebelum anggota Parlimen terbabit tiba dan memanggil mangsa masuk ke dalam kereta bersendirian.

Sewaktu berada di dalam kereta, dia mendakwa disentuh pada bahagian tangan dan bahu oleh anggota parlimen terbabit sebelum mangsa lari keluar dari kereta sambil menangis.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-