Tuesday, October 30, 2018

Ekonomi merosot: PH tak perlu salahkan saya, BN lagi, kata Najib

Mohamad Fadli
-October 30, 2018 11:02 PM


PETALING JAYA: Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak berkata pendekatan Pakatan Harapan (PH) yang sering menyalahkannya dan kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak boleh digunakan lagi selepas 200 hari memerintah.

Beliau berkata PH sepatutnya memberi perhatian dan tenaga memikirkan kaedah menyelamatkan ekonomi negara, melindungi kepentingan rakyat dan menghadapi persekitaran ekonomi yang lebih mencabar.

“Sebagai sebuah pembangkang kita akan terus mainkan peranan dan peranan ini dan saya tegaskan kita akan lakukan secara membina.

“Kita nak ketengahkan pandangan dan buah fikiran kita agar dengan pembangkang yang membina kita boleh lihat amalan demokrasi Parlimen yang sihat untuk negara Malaysia kita tercinta ini,” katanya yang bersiar secara langsung di Facebook malam tadi.

Sebelum itu Najib berkata dalam 200 hari kerajaan PH memerintah beliau belum jelas hala tuju pentadbiran negara khususnya dalam soal pengurusan ekonomi.

Beliau berkata keadaan ekonomi masa ini semakin meruncing dan berbeza dengan pertumbuhan ekonomi semasa pentadbiran BN.

“Masa BN memerintah kita telah mencapai kadar pertumbuhan sebanyak 5.9% pada tahun 2017.

“Malah dalam tempoh 9 tahun saya jadi perdana menteri kadar pertumbuhan pukul rata telah mencecah 5.254% dalam tempoh tersebut,” katanya.

Najib menambah keadaan berbeza semasa pentadbiran PH berikutan ramalan dan andaian dibuat menunjukkan trend semakin lemah dan semakin menguncup.

Katanya, ekonomi dijangka berkembang hanya pada kadar 4.5% dan tahun hadapan juga akan menunjukkan trend semakin lemah.

“Dalam soal saiz ekonomi, pada masa saya ambil alih kepimpinan negara pada 2009, saiz ekonomi negara kita sekitar RM713 billion. Bila saya tinggalkan jawatan ia telah sampai ke tahap saiz ekonomi RM1.35 trillion dan kita telah mengunjurkan dengan kadar pertumbuhan yang agak pantas kita telah merancangkan atau meramalkan kita mampu mengembangkan dan membangunkan ekonomi kita sehinggalah menjadi RM2 trilion menjelang 2022,” katanya.

Kerajaan PH ‘flip-flop’

Najib berkata dalam soal hala tuju negara, beliau melihat banyak yang dilakukan kerajaan PH bersifat “flip-flop”, “u-turn” dan penjenamaan semula apa yang dilakukan pentadbiran BN.

Beliau berkata ada juga yang dilakukan PH mengelirukan atau setengah pihak berkata menipu rakyat.

“Umpama hutang negara dikatakan RM1 trillion tetapi bila dokumen kajian semula rancangan Malaysia ke-11 dibentangkan di Parlimen baru-baru ini, dokumen itu sendiri menyatakan dan mengesahkan bahawa hutang negara sebenarnya hanya RM686 bilion.

“Ini satu angka yang kita telah gunakan selama ini dan dokumen PH sendiri sudah ‘confirm’ yang itu saiz hutang negara,” katanya.

Najib juga mendakwa semua bidang dalam negara ini mengalami penurunan misalnya pelancongan.

Beliau berkata kerajaan mengalami kerugian besar apabila pelancong China semakin berkurangan.

“Pelancong kita yang paling ramai dan kedua terbesar adalah datang dari China, kita dapat andaikan kita dapat 2 juta, tetapi Thailand dapat 10 juta.

“Bila 4 bulan pertama tahun ini, pelancong dari negara China meningkat ketara pada 37% tetapi pertengahan tahun ini ianya telah menguncup begitu besar iaitu sebanyak 35% dan ini menyebabkan kehilangan pendapatan hasil negara kira-kira RM13 bilion,” katanya.

Najib berkata apabila ekonomi semakin perlahan pelabur-pelabur tidak akan menambah pelaburan, perbelanjaan sektor swasta akan berkurangan dan pendapatan pekerja akan menurun.

Beliau berkata pengangguran juga akan bertambah, dan mendakwa sejak Mei sebanyak 7,000 pekerja sebulan telah kehilangan pekerjaan.

“Nasib baik kerajaan BN sudah memperkenalkan skim pelindungan pekerja di mana dalam tempoh selama 3 bulan mereka akan menerima pendapatan daripada skim ini,” katanya.

Najib berkata ringgit berbanding AS$1 juga berbeza kini berbanding sewaktu beliau melepaskan jawatan.

“Masa saya lepaskan jawatan AS$1 bersamaan RM3.85 tetapi kini sudah menjadi kian lemah iaitu RM4.17.

“Tekanan pada harga barang-barang. Jika dulu misalnya boleh beli 8 biji epal, sekarang dengan duit sama hanya 6 biji epal,” katanya.

Najib juga berkata sektor lain yang hadapi tekanan seperti sawit dan getah menyebabkan rakyat menjadi gelisah dan menerima kesan yang ketara.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-