Sunday, October 14, 2018

Lebih hampir, tetapi tidak lebih mudah, kata penganalisis tentang kemenangan besar Anwar

Robin Augustin
-October 14, 2018 8:44 AM

Anwar Ibrahim dijanjikan jawatan perdana menteri dalam persetujuan yang dicapai antara pemimpin PH.

PETALING JAYA: Perjalanan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi perdana menteri kelapan tidak akan menjadi lebih mudah walaupun selepas meraih kemenangan besar dalam pilihan raya kecil Port Dickson semalam, kata penganalisis.

Dr Kamarul Zaman Yusof dari Universiti Utara Malaysia berkata pelbagai perkara boleh berlaku dalam Pakatan Harapan bermula dari sekarang.

Katanya Anwar tidak boleh membuat apa-apa kesilapan sewaktu beliau memulakan langkah akhirnya ke Putrajaya dan menamatkan penantian untuk menjadi perdana menteri.

Dr Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya tampak menyetujui pendapat itu.

Katanya, kemenangan Anwar mungkin tidak diterima baik oleh pesaing beliau, termasuk dalam PH.

Paling jelas, mereka mungkin merasai kedudukan masing-masing terancam oleh orang yang rapat dengan Anwar, kata Awang Azman.

“Beliau akan diuji dengan isu dalam negara dan parti, sementara keputusan yang diambilnya akan memberi kesan ke atas populariti dan sokongan kepada beliau dalam PKR dan juga PH.

“Oleh sebab Anwar kini benar-benar mempunyai kedudukan,dan berkuasa secara sah dalam PKR, sekali gus merupakan perdana menteri menanti, maka setiap tindak-tanduknya akan diperhatikan.”

Awang Azman berkata Anwar perlu menunjukkan kesabaran dan dilihat menyokong Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bagi mengelakkan persepsi yang sekali lagi boleh menggagalkan laluan beliau untuk menjadi perdana menteri.

Beliau berkata, Anwar juga perlu menunjukkan beliau menguasai partinya sendiri, iaitu PKR.

Katanya, walaupun Anwar kini boleh menyertai Kabinet, namun beliau harus tidak terlibat dalam pentadbiran pada masa ini.

“Beliau perlu menunjukkan kelayakannya untuk menjadi perdana menteri dengan tidak cuba membayangi Dr Mahathir, sebaliknya memberi ruang kepadanya untuk menyudahkan misi menstabilkan ekonomi negara.

Seorang lagi penganalisis Dr Andrew Aeria menyifatkan kemenangan Anwar sebagai muktamad dan berjaya menutup mulut para pengkritik beliau.

“Di sebalik pandangan dan komen negatif pelbagai pihak sejak beberapa bulan lepas, pengundi di Port Dickson menerima Anwar sebagai wakil mereka di Parlimen.”

Bagaimanapun katanya pilihan raya kecil itu juga mengetengahkan hakikat kelompongan yang kini wujud dalam politik negara, iaitu ketiadaan suara pembangkang yang koheren.

“Walaupun keadaan itu boleh difahami berikutan kekalahan teruk Barisan Nasional dalam pilihan raya umum Mei lepas, namun ia tidak baik untuk perkembangan sihat demokrasi pada tahun-tahun akan datang sekiranya trend itu berterusan,” katanya.

Anwar menewaskan 6 pencabar beliau semalam dengan mendapat 31,016 undi, meninggalkan pesaing terdekatnya dari PAS, Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar jauh di belakang dengan 7,456 undi.

Majoriti 23,560 undi yang diperolehinya mengatasi majoriti bekas Ahli Parlimen sebelum ini Datuk Danyal Balagopal Abdullah, walaupun peratus keluar mengundi kali ini lebih rendah, iaitu sebanyak 58.3%.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-