Sunday, October 14, 2018

Tiada kuasa boleh halang Anwar pimpin negara, kata Nazri

Robin Augustin
-October 14, 2018 12:20 AM


PETALING JAYA: Bekas menteri pelancongan dan ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Nazri Aziz berkata, kemenangan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Port Dickson ialah kehendak Tuhan dan tiada kuasa yang dapat menghalang presiden PKR itu daripada mengambil alih jawatan perdana menteri.

“Orang boleh buat apa saja, tetapi tidak boleh cabar kehendak Tuhan. Beliau telah dipenjarakan, didakwa melakukan bermacam-macam.

“Ini kehendak Tuhan untuk beliau memimpin negara,” kata Nazri selepas Anwar diisytiharkan memenangi pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson dengan majoriti lebih besar daripada bekas ahli Parlimen kerusi itu, Datuk Danyal Balagopal Abdullah pada pilihan raya umum ke-14 lalu.

Ahli Parlimen Padang Rengas itu berkata, beliau “amat gembira” dengan kemenangan Anwar di Port Dickson , di mana beliau meraih kira-kira 70% daripada semua undi untuk menewaskan 6 calon lain.

“Saya menantikan beliau kembali ke Parlimen kerana ia lebih mudah bekerja dengan Anwar dalam hal ehwal negara,” katanya kepada FMT.

“Malaysia amat memerlukan beliau sekarang.”

Nazri berkata, hanya Anwar boleh “mengembalikan negara ke landasan betul” dan ada banyak kebencian serta ketidakyakinan di kalangan rakyat sejak pilihan raya umum 9 Mei lalu yang memberi kemenangan kepada Pakatan Harapan (PH).

Beliau turut memuji Anwar “tidak berdendam” kerana memaafkan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Anwar dipecat daripada Kabinet oleh Dr Mahathir yang merupakan perdana menteri pada 1998, sebelum didakwa dengan pertuduhan meliwat dan penyalahgunaan kuasa.

Nazri yang menyokong Anwar secara terbuka sebelum kempen Port Dickson bermula berkata, beliau bersyukur Umno tidak menyertai PRK kali ini.

Tetapi, pemimpin Umno yang lantang itu enggan memberitahu sama ada partinya akan bekerjasama dengan Anwar.

“Beliau tidak pernah meninggalkan Umno, beliau dipecat. Saya sentiasa menyokong beliau, cuma saya memilih tidak meninggalkan Umno.”

‘Anwar perlu belajar cara rendah hati’

Sementara itu, peguam Siti Kasim berkata, keputusan PRK Port Dickson tidak mengejutkan kerana Anwar mendapat sokongan pemimpin kanan PH, termasuk Dr Mahathir.

“Saya harap beliau belajar cara rendah hati dan memahami kelemahannya dalam kerja itu. Saya harap beliau berubah dan memahami Malaysia untuk rakyat Malaysia,” katanya kepada FMT.

Siti yang sering memberi amaran kepada orang ramai berhubung sejarah “radikal” Anwar berkata, ketua umum PH itu perlu “memimpin orang Melayu keluar daripada kehidupan berdasarkan agama melampau dan ke dalam kemodenan”.

“Ini masanya untuk beliau berbuat demikian,” katanya yang mengkritik “Langkah Port Dickson” dengan memaksa PRK diadakan di kerusi Parlimen Negeri Sembilan itu.

Pengalaman manis

Calon bebas, Mohd Saiful Bukhari Azlan yang mendapat undi paling sedikit menerima kekalahannya dengan hati terbuka.

“Apa yang pasti ialah ini pengalaman manis,” katanya yang sekadar mendapat 82 undi.

“Saya masih muda. Ini bukan pengakhirannya, perjalanan saya baru bermula. Apa yang pasti ialah saya akan meneruskan perjuangan dan prinsip saya,” kata bekas pembantu Anwar itu yang menjadi tumpuan dalam kes liwat menyebabkan Anwar dipenjarakan pada 2015.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-