Sunday, November 18, 2018

Berasap di Pasir Salak

Al-Abror Mohd Yusuf
Diterbitkan 18 Nov 2018, 8:54 pagi


PULASAN | deretan kereta dan bas yang diletakkan di sisi jalan menuju ke pekan Kampung Gajah sudah cukup untuk menimbulkan serentak rasa ghairah, semangat dan gelabah.

Ghairah dan semangat kerana hanya kurang dari 5km dari situ khabarnya terletak lokasi bersejarah pegawai Inggeris JWW Birch mati dibunuh oleh Si Putum.

Justeru tentulah ada semangat keperwiraan Melayu - walaupun ada pihak berpendapat Si Putum itu bukanlah Melayu - sedang bergentayangan di pekan Kampung Gajah pada malam tadi.

Gelabah pula ialah, kalau Tuan Guru Presiden PAS yang termasyhur itu tidak menghadirkan diri di program bersejarah di tempat Si Putum dan Dato' Maharaja Lela berdarah Bugis itu melakar sejarah.

Maklumlah, tuan guru itu sibuk benar dengan jadualnya di dalam atau luar negara. Dan menjadi hak prerogatif untuk beliau hadir atau tidak ke mana-mana acara, waima Dewan Rakyat sekali pun.

Namun hanya beberapa detik rasa gelisah itu bertandang. Kemudian kelegaanlah yang mendatangi puluhan ribu manusia yang melaut di kawasan lapang di bandar kecil terletak kira-kira 30 minit dari Teluk Intan itu.

Tuan guru kesayangan ramai itu hadir jua.

Laungan semangat bergema


Dan malam tidak beranjak sedikit demi sedikit - di pekan Kampung Gajah - tanpa bakaran semangat oleh pengacara dan penceramah yang semuanya istimewa belaka.

Semuanya mengajak ahli dan pengikut parti masing-masing supaya berpadu demi ummah. Sesuailah dengan judul program itu - Himpunan Perpaduan Ummah.

Pengacara juga tidak kurang hebatnya. Beliaulah yang mengepalai laungan keramat pada malam tadi: Hidup Melayu! Hancur Icerd! Daulat Tuanku.

Nampak benar semangat kemelayuan orang kuat PAS yang bernama Khalil Idham Lim Abdullah itu. Atau nama kelahirannya Lim Chuan Hing.

Beliau ialah Adun bagi kawasan Titi Serong pada penggal 2008.
Kemarahan mula benar-benar terasa apabila Ketua Perhubungan Umno Perak Saarani Mohamad mengambil tempat berceramah. Lain macam benar ucapan Adun Kota Tampan itu.

Namun memang sukarlah untuk melawan semangat dan kehebatan Pesuruhjaya PAS Perak yang berdiri kemudian daripada Saarani.

Entah berapa kali bulu roma orang ramai berdiri. Penulis sendiri beberapa kali terpaksa mencari tempat yang agak lapang sedikit daripada orang ramai.

Dari Bagan ke Pasir Salak

Secara semula jadi penulis memang mengalami masalah perut memulas kalau terlalu bersemangat.

Gaya badan, laras bahasa dan isi-isi yang diucapkan Razman Zakaria memang penuh bertenaga. Ketika itulah rasanya ramai orang tersedar bahawa pejuang bangsa seperti Lokman Noor Adam dan Razlan Rafii tidak lagi keseorangan selepas redanya aksi Jamal Md Yunos.

Bulan di langit berbalam-balam di langit menjadi saksi.

Kemuncak pertama Himpunan Perpaduan Ummah malam tadi ialah ucapan Presiden Umno Dr Ahmad Zahid Hamidi. Garangnya tetap ketara. Maklumlah, orang hebat dari Bagan Datuk datang pula ke Pasir Salak.

Wajah beliau kelihatan cukup bersih dan berseri. Kata-katanya tersusun rapi. Kupasannya bagaikan pisau belati yang menghiris terus ke tulang sumsum.
Melihat perawakan bekas timbalan perdana menteri itu terlalu sukar untuk percaya beliau boleh terlibat dalam rasuah atau penyelewengan.

Rasanya tidak mungkin untuk beliau tergamak menyelewengkan dana atau amanah yang sedikit, namun biarlah mahkamah yang menentukan benar salahnya 45 tuduhan yang dikenakan kepada beliau.

Namun kata-kata Ahmad Zahid paling istimewa ialah apabila beliau menegaskan Umno di bawah kepemimpinannya bukan lagi seperti Umno dulu yang sudah membuat silap.

"Insya-Allah, Umno di bawah kepimpinan saya, kita bercantumlah," katanya sambil memusingkan badannya ke arah pentas bagi menatap wajah tuan guru presiden PAS.

Kata orang tua-tua

Puluhan ribu orang yang datang tentu rasa berdebar-debar dengan kata-kata itu.

Namun ia tidak disambut secara langsung oleh Abdul Hadi Awang yang berucap selepasnya. Presiden PAS langsung tidak menyentuh isu bercantum. Sebaliknya beliau bercakap tentang ketuanan Melayu, kepentingan Islam dan amaran supaya jangan ada mana-mana pihak membuat onar.

Tetapi bertenanglah. Presiden PAS itu amat tinggi ilmu mantiknya. Apabila beliau tidak menyambut seruan "bercantum" Ahmad Zahid, ada dua kemungkinan saja.

Pertama, beliau memberi reaksi berlapis. Anda tentu perlukan kemahiran mantik yang tinggi untuk mentafsirkan kata-kata seorang ahli politik yang selincah Abdul Hadi.
Kedua, adat budaya yang dijunjung sekian lama memang begitu. Bersopan dalam setuju.

Hodoh benarlah kalau anak dara terkinja-kinja menyambut lamaran si jejaka. Jawapan yang terbaik ialah melalui bahasa badan, iaitu berdiam diri.

Diam, kata orang tua-tua, tandanya setuju.

Kedatangan orang yang diumumkan pengendali majlis malam tadi ialah kira-kira 50,000. Dengan jumlah sebegitu entah berapa puluh ribu kutipan derma jihad yang terkumpul.

Sepatutnya penganjur boleh mendapat lebih RM500,000 kerana tidak logik untuk hadirin menghulurkan hanya sekeping RM1 untuk dana jihad mereka.

Tambahan pula melihat kepada orang yang ada di pentas utama, tidak mungkin mereka tidak menyumbang. Dan tidak diterima akal jika mereka cuma menghulur RM10 seorang.

Siapa boleh lupa kepada Tajuddin yang pernah digelar Six Million Dollar Man itu beberapa dekad lalu?

Menjelang tengah malam acara pun berakhir. Bulan di langit tidak penuh. Hanya lebih sedikit daripada separuh. Namun ia masih samar-samar.

Diyakini ia bukanlah dilindungi awan atau jerebu, tapi lapisan asap daripada bara semangat puluhan ribu orang yang datang dari seluruh pelusuk negara itulah yag menjadi punca.

Himpunan Perpaduan Ummah demi menolak Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd) malam tadi sangat berjaya.

Suka atau tidak, PAS sudah menang. Dan memang PAS sentiasa menang, cuma belum diisytiharkan. Kemenangan PAS ialah kemenangan yang ditangguhkan.

Umno juga menang. Tajuddin Abdul Rahman menang.

Yang kalah cuma sesiapa yang tidak percaya bahawa PAS dan Umno menang.

AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini yang gemar memakan buah salak.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-