-November 28, 2018 6:20 PM
KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata penganut Hindu sepatutnya menyerahkan kes pencerobohan Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, kepada polis dan bukannya mengambil tindakan sendiri yang membawa kepada rusuhan.
Himpunan susulan pada awal pagi Selasa, yang menyaksikan seorang anggota bomba parah diserang perusuh, bukan tunjuk perasaan yang dibenarkan undang-undang, kata perdana menteri.
“Ini bukan tunjuk perasan, ini seperti mahu membunuh orang. Mereka datang dengan parang. Kita tak boleh biarkan,” katanya.
Dr Mahathir berkata demikian pada sidang media di Institut Jantung Negara selepas melihat sendiri keadaan Muhamad Adib Mohd Kassim, 24, yang menjadi mangsa serangan perusuh.
Beliau, yang juga seorang doktor berkata, Adib mengalami kecederaan yang begitu teruk hinggakan dia nyaris mati.
“Jika dia mati, tuduhannya ialah membunuh,” katanya.
Di awal pagi Selasa, himpunan aman di kuil kontroversi itu bertukar ganas, menyaksikan beberapa kenderaan dibakar perusuh.
Bomba yang dikejarkan ke tempat kejadian untuk memadam kebakaran bagaimanapun diserang perusuh, memaksa mereka berundur.
Ketua Pengarah Bomba Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata 9 anggota bomba terbabit mendapati kenderaan mereka dikerumuni perusuh, yang membaling batu dan cuba mencederakan mereka.
Media melaporkan ketika bomba cuba berundur untuk menyelamatkan diri, Adib, ditarik perusuh daripada van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan dipukul. Hampir seluruh badannya dipenuhi lebam, dan tulang rusuknya patah hingga menjejaskan fungsi paru-paru.
Perusuh turut merosakkan kompleks One City yang terletak berhampiran.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.