Tuesday, November 13, 2018

Kabinet setuju mansuh hukuman mati bagi 33 kesalahan

Bernama
-November 13, 2018 1:10 PM

Liew Vui Keong berkata, memorandum Kabinet sudah diedarkan kepada kementerian berkaitan untuk mendapat pandangan orang awam berhubung keputusan pemansuhan hukuman mati itu.

KUALA LUMPUR: Jemaah menteri memutuskan hukuman mati bagi 33 kesalahan di bawah 8 akta dimansuhkan, termasuk Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata keputusan yang dicapai secara kolektif pada 10 Oktober lalu, turut merangkumi Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat 1971), Akta Senjata 1960, Akta Penculikan 1961, Akta Angkatan Tentera 1972.

Turut dinyatakan ialah Akta Industri Perkhidmatan Air 2006, Akta Perdagangan Strategik 2010 dan Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Susulan daripada keputusan itu, memorandum jemaah menteri telah diedarkan kepada semua kementerian berkaitan untuk mendapatkan ulasan dan pandangan orang awam mengenai keputusan kerajaan itu,” katanya pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH-Bandar Kuching) yang mahu kerajaan menyatakan pendirian mengenai pemansuhan hukuman mati, sama ada ia akan memberi pengecualian kepada jenayah kejam.

Sementara itu, pada sesi soal jawab lisan pula, Liew berkata, Rang Undang-undang Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) dijangka dibentang pada sidang Parlimen akan datang, selepas semua isu dan dasar dimuktamadkan.

Beliau berkata, mesyuarat susulan yang diadakan berhubung penubuhan IPCMC bersetuju terhadap usul yang dibentangkan bagi memastikan IPCMC benar-benar bebas, efektif dan mempunyai kuasa menangani masalah dalam agensi penguatkuasaan tersebut.

“Kerangka penubuhan IPCMC ini mengambil kira kuasa-kuasa yang lebih holistik dan selaras peruntukan undang-undang sedia ada dan juga sedang berkuat kuasa,” katanya menjawab soalan Maria Chin Abdullah (PH-Petaling Jaya).

Liew berkata, hak polis juga terjamin seperti termaktub di bawah Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan.

September lalu, kerajaan mengumumkan penubuhan IPCMC bagi menggantikan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-