Wednesday, November 7, 2018

Latheefa persoal Wan Azizah ke Julau menjelang pemilihan PKR Sarawak

FMT Reporters
-November 7, 2018 10:04 AM

Latheefa Koya berkata orang ramai berhak tahu tujuan lawatan Wan Azizah Wan Ismail ke Julau menjelang pemilihan PKR Sarawak.

PETALING JAYA: Ahli Jawatankuasa Pusat PKR, Latheefa Koya mempersoalkan lawatan Presidennya, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail ke Julau, Sarawak, semalam menjelang pemilihan negeri, Sabtu ini.

Menggelarkan lawatan itu “tidak wajar dan sangat dipersoalkan”, peguam PKR itu menyatakan beberapa kontroversi yang dikaitkan dengan bahagian Julau, termasuk laporan kenaikan mendadak keahlian kepada 13,000.

“Ahli Parlimen Julau, Larry Sng juga disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia,” katanya, sambil menambah Sng secara terbuka mengumumkan kesetiaannya kepada kem yang diketuai Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli.

Dalam satu kenyataan hari ini, Latheefa berkata Wan Azizah, yang juga timbalan perdana menteri dilihat bersama dan bergambar dengan Sng semasa lawatannya.

“Tiada alasan yang dapat difikirkan mengapa lawatan Wan Azizah mesti dibuat menjelang pemilihan PKR di Sarawak. Kenapa timbalan perdana menteri tidak melawat selepas pemilihan parti?”

Dengan 13,000 ahli, beliau berkata, bahagian Julau kini mempunyai antara keahlian terbesar PKR di Sarawak yang membolehkannya menjadi “kingmaker” dalam pemilihan parti.

Beliau mendakwa lawatan Wan Azizah juga melibatkan kedudukannya dan aset kerajaan, dengan menyatakan Wan Azizah mengumumkan peruntukan RM100,000 untuk jalan di Julau.

“Ini diumumkan dengan kehadiran Sng, yang juga calon di bahagian Julau dan jawatankuasa pusat parti.

“Dalam keadaan ini, penting bagi timbalan perdana menteri menerangkan sebab lawatannya ke Julau menjelang pemilihan PKR Sarawak,” kata Latheefa. “Orang ramai berhak tahu.”

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-