Thursday, November 15, 2018

Pemuda PAS tak yakin jaminan hak Melayu, Bumiputera kekal di bawah ICERD

Mohamad Fadli
-November 15, 2018 7:01 PM

Gambar Bernama.

PETALING JAYA: Pemuda PAS tidak yakin dengan jaminan kerajaan tidak akan memansuhkan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan berkaitan hak keistimewaan orang Melayu dan bumiputera di Sabah serta Sarawak, jika ia bersetuju menerima Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Naib Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari berkata PAS tetap menolak ICERD kerana tidak yakin dengan kerajaan baru, berdasarkan prestasi mereka mentadbir negara selama 6 bulan.

Katanya, jaminan kerajaan itu menunjukkan ratifikasi ICERD bukan satu keperluan.

“Selama ini pun Perlembagaan Malaysia sudah menjamin kebebasan bersuara dan agama. Kalaulah mereka boleh mungkiri manifesto Pakatan Harapan (PH), maka tidak pelik mereka boleh mungkiri janji untuk tidak mencabuli Perkara 153.

“Saya tidak tahu niat dia (Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy), tetapi rekod mereka sendiri boleh hakis keyakinan rakyat,” katanya kepada FMT hari ini.

Terdahulu, Waytha Moorthy hari ini memberi jaminan Perkara 153 dalam Perlembagaan Persekutuan tidak akan dimansuhkan, sekiranya kerajaan bersetuju meratifikasi ICERD.

Katanya, komitmen Malaysia terhadap konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) itu bersifat realistik, praktikal, boleh dipatuhi dan tidak bercanggah aspirasi Perlembagaan Persekutuan, khususnya berkaitan kedudukan istimewa orang Melayu, rakyat Sabah dan Sarawak, serta kepentingan sah kaum lain.

Selasa lalu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberi amaran akan mengerahkan ahli dan rakyat mengadakan protes, sekiranya kerajaan menyalahgunakan Parlimen untuk mengesahkan ICERD yang tidak adil kepada orang Islam serta Bumiputera.

Katanya, Perlembagaan Persekutuan sudah cukup memberi hak kepada semua rakyat.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-