Sunday, November 4, 2018

Pemuda Umno, PAS berhimpun bantah Icerd

Faisal Asyraf
Diterbitkan 4 Nov 2018, 2:00 petang


Kira-kira 1,500 orang berkumpul di Masjid Jamek, Kuala Lumpur hari ini bagi membantah hasrat kerjaan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd).

Himpunan yang dianjurkan oleh Pemuda Umno dan Pemuda PAS itu bermula 1 petang tadi dan peserta akan berarak ke Jalan Tunku Abdul Rahman pada pukul 2 petang.

Ketua Pemuda PAS Khalil Abdul Hadi dijangka menyampaikan ucapan di hadapan kompleks beli-belah Sogo.

Ketua Pemuda Umno Datuk Asyraf Wajdi Dusuki dan beberapa pemimpin pertubuhan bukan kerajaan Melayu-Muslim lain turut hadir.

Peserta yang kebanyakannya memakai baju berwarna putih melaungkan slogan "Tolak Icerd", sementara pemimpin NGO bergilir menyampaikan ucapan.

Pada 24 Okt lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waytha Moorthy dilapor berkata bahawa kerajaan komited untuk meratifikasi Icerd dan lima perjanjian berhubung hak asasi manusia seawal suku tahun depan.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memberitahu bahawa kerajaan hanya akan meratifikasi Icerd selepas berunding dengan semua kaum.

Perkembangan ini menyebabkan bantahan daripada beberapa pihak termasuk Pemuda Umno yang menyifatkan Icerd bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dari segi hak istimewa bumiputera dan mengenepikan Majlis Raja-Raja.

[Berita lanjut menyusul]

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-