Thursday, November 22, 2018

Ummah mahu pastikan 500k hadir himpunan bantah Icerd

Haspaizi Zain
Diterbitkan 22 Nov 2018, 9:00 pagi 


Gerakan Pembela Ummah (Ummah) mahu memastikan sekurang-kurangnya 500,000 berhimpun di Dataran Merdeka, 8 Disember nanti bagi membantah ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd).

Jelas Ummah, perhimpunan membantah Icerd akan diteruskan meskipun tidak mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa.

Setiausaha Agung Ummah, Mansor Ibrahim, berkata pihaknya bagaimanapun akan berusaha untuk memenuhi segala ketetapan yang dikenakan bagi memastikan "perhimpunan aman" itu berjalan lancar.

Mansor berkata, pihaknya menjangkakan lebih 1,000 pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) akan menyertai perhimpunan berkenaan.

“Kita tidak boleh pastikan berapa banyak NGO akan sertai perhimpunan itu nanti, namun, apa yang pasti lebih 1,000 NGO di bawah Ummah akan menyertainya.

“Kita jangkakan sekurang-kurangnya 500,000 akan turun pada perhimpunan ini nanti.

“Pihak Ummah selaku penggerak kepada perhimpunan ini, telah mengemukakan permohonan permit bagi perhimpunan itu nanti.

“Lulus atau tidak (permohonan permit), kita akan tetap meneruskan perhimpunan ini,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang pada Himpunan Perpaduan Ummah di pekan Kampung Gajah 17 November lalu mengumumkan bahawa satu perhimpunan besar-besaran membabitkan penyertaan ahli PAS dan Umno akan diadakan di ibu negara pada 8 Disember ini bagi membantah cadangan meratifikasi Icerd.

Pengumuman Abdul Hadi mendapat sokongan Presiden Umno, Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mahu himpunan yang menggabungkan ahli Umno dan PAS itu diadakan di setiap negeri di Semenanjung.

Bulan lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waythamoorthy, memaklumkan hasrat kerajaan untuk meratifikasi enam bentuk perjanjian antarabangsa termasuk Icerd dalam suku pertama tahun depan.

Bagaimanapun, Waythamoorthy kemudiannya dipetik sebagai berkata kerajaan masih tiada kata putus berhubung hasrat meratifikasi konvensyen berkenaan dan sesi mendapatkan pandangan serta maklum balas daripada semua pihak berkaitan perkara itu akan dimulakan pada Januari depan.

Perkasa gesa PM buat pendirian jelas

Sementara itu, Pertubuhan Pribumi Bersatu (Perkasa) menuntut Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad supaya menyatakan pendirian tegas berhubung isu ICERD.

Presiden Perkasa, Dr Ibrahim Ali menjelaskan pihaknya belum membuat keputusan sama ada akan menyertai himpunan anjuran Umno dan PAS itu ataupun tidak, namun menegaskan bahawa mereka tetap membantah Icerd.

“Kerajaan pun masih “ding-dong” (tiada kata putus) dalam isu ini, kenyataan (Dr) Mahathir tidak jelas… Katanya tak dapat muktamadkan Icerd kerana tidak mendapat sokongan dua pertiga di Dewan Rakyat.

“Apakah jika mendapat sokongan dua pertiga Icerd akan dimuktamadkan, itu yang kita mahu tahu tentang pendirian kerajaan,” jelas beliau ketika dihubungi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Mujahid Yusof semalam menjelaskan bahawa beliau sudah mendapatkan maklum balas dan berunding dengan semua pihak berhubung isu Icerd.

Menteri agama itu juga berkata pihaknya sedia mengadakan rundingan kali kedua sekiranya perlu.

Dalam kenyataan 18 Nov lalu, Dr Mahathir menyifatkan pelaksanaan Icerd "hampir mustahil" sekiranya tidak mendapat sokongan pembangkang.

Ini demikian kerana, katanya, pelaksanaan Icerd melibatkan pindaan Perlembagaan Persekutuan dengan sokongan majoriti dua pertiga anggota parlimen.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-