Friday, December 7, 2018

ICERD Satukan UMNO-PAS, Goyahkan Pakatan Harapan

SUARA TV
Suara Tanpa Sempadan
Admin
December 7, 2018

KUALA LUMPUR – Himpunan bantah Kerajaan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) pada Sabtu ini simbolik kepada penyatuan PAS dan UMNO sebagai sebuah parti pembangkang yang kuat dan bakal menggoyahkan kedudukan Pakatan Harapan secara konsisten sekarang hingga pilihan raya yang akan datang.

Oleh sebab itulah, kerajaan tersebut membantah keputusan nekad kedua-dua parti untuk tetap mengadakan himpunan itu, kata ahli Parlimen Kuala Nerus, Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

“Sangat jelas ketakutan pemimpin Pakatan Harapan (PH) terhadap Himpunan Bantah ICERD. Pelbagai alasan dan hujah dangkal dikeluarkan oleh pemimpin tertinggi mereka bagi mengurangkan impak kejayaan program ini. Kenapa sampai begitu sekali ketakutan mereka?

“Jawapannya ialah kerana Himpunan ini bakal menyatukan ahli dua parti terbesar Melayu-Islam iaitu PAS dan UMNO.Sekiranya kesatuan ini kekal sehingga ke pilihanraya umum ke-15 (PRU15), semua telah dapat meramal apa nasib Kerajaan PH termasuk di peringkat negeri,” katanya.

Negeri seperti Kelantan, Terengganu, Pahang, Perlis, Kedah dan Perak menurutnya tidak akan menjadi milik Pakatan Harapan lagi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dengan kerjasama kedua-dua parti Melayu-Islam ini.

Maka keputusan tidak melaksanakan ICERD juga kata Mohd Khairuddin adalah titik tolak kepada kebimbangan kerajaan Pakatan Harapan terhadap kebangkitan kedua-dua parti Melayu-Islam terhadap isu ini selepas ia dicetuskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri P. Waytha Moorthy.

“Justeru itu, saya melihat pengumuman penangguhan ICERD oleh Pejabat Perdana Menteri hanyalah satu strategi bagi menghalang kesatuan Melayu Islam ini.

“Ia bukan datang dari hati suci nurani dan atas kesedaran bahawa ICERD perlu ditolak kerana bercanggah dengan Perlembagaan dan kepentingan Melayu dan Islam yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan,” ujar ahli Majlis Syura Ulamak PAS Pusat dan Ahli Jawatankuasa (AJK) Kerja PAS Pusat itu lagi.

Terdahulu Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata sebarang bentuk perhimpunan membantah ICERD tidak perlu diadakan susulan keputusan kerajaan tidak akan meratifikasikannya.

Selain itu Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menyifatkan bahawa himpunan itu janggal jika diadakan mengikuti perkembangan terbaharu terhadap keputusan kerajaan.

Mufti Pulau Pinang, Dr Wan Salim Wan Mohd Noor turut bersuara dan mendakwa himpunan ini akan menjadi medan pihak-pihak tertentu untuk menangguk di air yang keruh.

Terdahulu selain akan menukarkan himpunan bantah ICERD untuk himpunan kesyukuran dalam masa yang sama PAS dan UMNO sepakat untuk memberi peringatan tentang terdapat lagi konvensyen antarabangsa yang belum diratifikasikan oleh Malaysia.

Selain itu kedua-dua parti tersebut curiga keputusan yang dibuat Pakatan Harapan menerusi Pejabat Perdana Menteri baru-baru ini hanya akan bersifat sementara ekoran ia tidak dibuat secara rasmi dalam Dewan Rakyat untuk direkodkan secara rasmi dalam hansard.

-SuaraTv

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-