Ikatan Guru-guru Muslim Malaysia (iGuru) menyelar kenyataan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang menyatakan sekolah kebangsaan telah berubah menjadi sekolah agama.
Presidennya Azizee Hassan berkata kenyataan sedemikian boleh menimbulkan tanggapan negatif dan prejudis masyarakat terhadap Pendidikan Islam yang diajar di sekolah kebangsaan, lapor Ismaweb.
Malah iGuru berpendapat subjek Pendidikan Islam masa tiga jam seminggu yang diamalkan sekarang tidak cukup untuk membina keperibadian dan jati diri murid.
“iGuru bersetuju kurikulum Pendidikan Islam perlu dimantapkan dengan elemen yang mampu membangunkan karektor dan menyiapkan mereka mendepani cabaran IR 4.0 (Revolusi Industri 4.0) dengan olahan lebih dinamik serta kemahiran yang diperlukan untuk pasaran masa depan tanpa mengabaikan aspek keagamaan.
“iGuru mencadangkan supaya ada jawatankuasa semakan semula kurikulum Pendidikan Islam bagi membina kualiti murid untuk mendorong mereka menguasai ilmu-ilmu di bidang lain seperti penguasaan bahasa, matematik dan sains,” katanya.
Mahathir pada 21 Disember lalu berkata kerajaan akan mengkaji semula kurikulum sekolah yang sedia ada bagi bagi memperkasakan kembali sistem pendidikan.
Katanya, ini susulan sekolah kebangsaan telah berubah menjadi sekolah agama yang memfokuskan kepada pembelajaran agama Islam, bukan mata pelajaran lain yang membantu di alam pekerjaan.
Beliau bagaimanapun berkata sekolah akan tetap mengajar subjek agama namun bukan pada setiap waktu dalam sesi persekolahan.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.