Monday, December 10, 2018

Isyarat kepada kerajaan

Published on December 10, 2018 


KUALA BERANG – Pemuda Umno Terengganu menyifatkan Himpunan ICERD di ibu kota kelmarin sebagai satu signal cukup jelas kepada kerajaan dan pengkhianat negara yang diumpamakan ‘duri dalam daging’.

Ketuanya, Tengku Haphiz Tengku Putera berkata, pihaknya juga memberi amaran kepada menteri-menteri berbangsa Melayu beragama Islam agar tidak menjadi ‘kuda tunggangan’ kepada pengkhianat negara.

“Saya sendiri turut sertai himpunan dan lihat ia penuh disiplin, tidak berlaku sebarang perkara melanggar peraturan. Himpunan bagi menunjukkan kekuatan Islam, peserta juga solat berjemaah.

“Himpunan semalam (kelmarin) tepat pada waktunya, semuanya sebagai satu signal jelas kepada kerajaan serta sebagai langkah permulaan. Pihak kerajaan serta pengkhianat negara jangan cuba sentuh lagi berkaitan Melayu dan agama Islam.

“Tidak mustahil himpunan lebih besar akan diadakan lagi dan ia bukan sahaja di ibu negara tetapi akan melarat seluruh Malaysia jika soal bangsa Melayu serta agama Islam terus dipermainkan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau yang juga Ketua Pemuda Umno Bahagian Hulu Terengganu berkata, menteri-menteri Melayu seharusnya memartabatkan Islam bukannya sekadar duduk di kerusi jalankan tugasan portfolio semata-semata.

Katanya, asas yang telah termaktub dalam perlembagaan di negara ini telah pun membuktikan selama ini kita semua rakyat Malaysia dapat hidup penuh keharmonian sebagai sebuah masyarakat majmuk.

“Kemajmukan ini salah satu keistimewaan Malaysia, biarpun ada yang menyatakan negara lain menerima ICERD, kita tidak boleh samakan atau bandingkan dengan Malaysia kerana demografi politik jauh berbeza.

“Saya juga menolak dakwaan Himpunan ICERD semalam sebagai agenda politik Umno dan Pas. Bagi saya golongan beranggapan sedemikian bersikap jumud ke arah keharmonian negara,” ujarnya.

Source: SH Edisi Terengganu

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-