Monday, December 10, 2018

Selitkan pendidikan rasuah dalam buku teks - MCPF

Diterbitkan 10 Dis 2018, 8:27 pagi


Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) mencadangkan kepada Kementerian Pendidikan (MOE) supaya memasukkan pendidikan antirasuah dalam mata pelajaran agama dan pendidikan moral.

Naib Pengerusi Kanan MCPF, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata, unsur pendidikan antirasuah wajar diperkenalkan bermula Tahun Lima agar sejak kecil lagi, pelajar sudah membenci rasuah, sama seperti mereka dididik supaya membenci dadah.

"Diharapkan, Kementerian Pendidikan akan memberi sokongannya agar cadangan ini menjadi kenyataan dengan memperkenalkan subjek pencegahan rasuah dalam mata pelajaran moral.

"Cara paling wajar dan berkesan untuk mencegah rasuah ialah dengan memulakannya di peringkat sekolah kerana ia boleh membantu melahirkan generasi muda Malaysia yang bencikan dan menolak rasuah dalam sebarang bentuk,” kata beliau dalam kenyataan, di Kuala Lumpur hari ini.

Lee juga berkongsi laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menunjukkan peningkatan kecenderungan dalam kalangan mahasiswa untuk menerima rasuah sekiranya mereka memegang kuasa dan berpeluang untuk berbuat demikian.

Kajian SPRM pada 2016 itu menunjukkan 16 peratus daripada 1,000 pelajar yang menjadi responden bersedia menerima rasuah, manakala 18.5 peratus lagi bersedia menerima suapan sekiranya mereka tidak akan dikenakan sebarang tindakan.

Lee turut berkongsi hasil kaji selidik tentang Persepsi Pelajar Tentang Rasuah oleh Institut Integriti Malaysia (IIM) bahawa seorang daripada setiap tiga pelajar universiti tempatan berpendapat menerima hadiah dalam bentuk wang, barangan atau perkhidmatan sebagai ganjaran bagi perkhidmatan yang diberi, bukan merupakan rasuah.

"Kita perlu asuh pelajar dengan nilai moral sejak mereka muda lagi supaya apabila mereka meninggalkan alam persekolahan atau universiti untuk memasuki dunia bekerja, mereka sudah mempunyai kesedaran tentang perlunya mereka tidak terbabit dengan rasuah," katanya.

- Bernama

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-