Tuesday, December 18, 2018

Kematian Adib: Umno tuntut exco, 4 menteri didakwa

Dikemaskini 18 Dis 2018, 12:32 tengah hari


Pemuda Umno mendesak peguam negara mengambil tindakan terhadap Exco Kerajaan Negeri Selangor V. Ganabatirau dan empat menteri kabinet iaitu P Waytha Moorthy, M Kulasegaran, Gobind Singh Deo dan Dr Xavier Jayakumar.

Ini susulan kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim semalam selepas mengalami kecederaan parah dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman pada 27 November lalu.

Ketua Pemuda Umno, Dr Asyraf Wajdi berkata mereka perlu didakwa di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mengeluarkan kenyataan dengan niat mengaibkan dan membangkitkan pecah keamanan.

"Demi keadilan buat Adib, Pemuda Umno mendesak agar pendakwaan segera dilakukan terhadap mereka yang bertanggungjawab di atas kematian anggota bomba yang hanya cuba menjalankan tugas pada malam kedua rusuhan berlaku," katanya dalam kenyataan.

Menurut Asyraf, serangan pada 26 November ke atas kuil berkenaan tiada kaitan agama mahupun kaum, sebaliknya pertelingkahan antara kumpulan samseng yang diupah pemaju dan penganut kuil berkenaan.
Bagaimanapun katanya, V Ganabitirau sehari selepas itu mendakwa serangan ke atas kuil itu dilakukan orang Islam dan kenyataan bertulis empat menteri diketuai P Waytha Moorthy turut menyalahkan polis kerana didakwa gagal menangani insiden rusuhan pada malam pertama.

"Ini telah membangkitkan kemarahan 10,000 kaum India yang keluar beramai-ramai pada malam kedua dengan melakukan rusuhan, mencedera dan seterusnya menyebabkan kematian anggota bomba yang tidak berdosa," kata Asyraf.

Baca: Menteri tegur cara polis tangani isu rusuhan di kuil

Desak Waytha Moorthy letak jawatan

Selain itu Pemuda Umno turut mendesak P Waytha Moorthy meletak jawatan selaku Menteri Perpaduan kerana menyalahkan polis sehingga tercetusnya rusuhan lebih dahsyat pada malam kedua di kuil berkenaan.

"Selaku anggota pentadbiran kerajaan, mereka seharusnya mengelak daripada menggunakan sentimen perkauman dalam mengeluarkan kenyataan," katanya yang turut merakamkan rasa sedih dan ucapan takziah kepada keluarga Adib.
Dalam pada itu Pemuda Umno meminta orang ramai supaya bertenang dan mengelakkan diri daripada mencetuskan sentimen perkauman mahupun agama yang boleh mengeruhkan lagi keadaan.

Semalam, Adib menghembuskan nafas terakhir selepas bertarung nyawa selama hampir tiga minggu.

Anggota bomba berumur 24 tahun itu dikejarkan ke lokasi rusuhan pada 27 Nov lalu akibat pertikaian mengenai tanah kuil di USJ 25, Subang Jaya.

Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi berhampiran, perusuh menyerang lori bomba dan van perubatan yang menyebabkan Adib dan rakannya yang lain terpaksa berundur.

Muhammad Adib dilaporkan diheret keluar dari kenderaan yang dinaikinya sebelum dipukul dan menyebabkan beberapa tulang rangkanya patah selain mengalami kecederaan dalaman.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-