Showing posts with label Menteri Perpaduan. Show all posts
Showing posts with label Menteri Perpaduan. Show all posts

Sunday, August 11, 2019

Menteri perpaduan tak setuju perkenal tulisan Jawi di SJKT

News | Diterbitkan Hari ini 8:07 malam


Menteri Perpaduan dan Kesejahteraan Sosial, P Waythamoorthy menyatakan bahawa beliau tidak bersetuju dengan hasrat kerajaan untuk memperkenalkan memperkenalkan tulisan Jawi dalam buku teks Bahasa Malaysia Darjah 4 di sekolah vernakular.

"Di alam baru ini terdapat banyak perkara untuk diajar kepada pelajar.

"Jadi, bagi saya memperkenalkan tulisan Jawi di Sekolah Tamil merupakan satu perkara tidak perlu," katanya dalam satu wawancara bersama Bernama.

Waythamoorthy yang juga Presiden Parti Kemajuan Malaysia (MAP) turut mendakwa bahawa ramai anggota kabinet tidak bersetuju dengan rancangan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) itu.

"Saya tidak dapat memberikan ulasan dengan segera, kerana keputusan KPM diumumkan secara tiba-tiba," katanya.

Selain itu, menurutnya, ramai anak Malaysia masih menganggur walaupun memiliki ijazah.

"Mereka ini perlu diserapkan pembelajaran coding atau pengekodan. Ini akan membantu anak kita untuk meningkatkan kesedaran mengenai perniagaan secara dalam talian yang berkait kehidupan harian kita," katanya.

Beliau sebaliknya mencadangkan agar tulisan Jawi diajar sebagai subjek pilihan bergantung kepada kehendak murid.

"Pembelajaran tulisan Jawi tidak realistik di sekolah Tamil.

"Pada ketika ini, terdapat banyak aduan di mana para pelajar berpendapat bahawa sistem pendidikan sebagai beban. Sepatutnya, kerajaan perlu berfikir bagaimana untuk mengurangkan beban murid kita, pada masa sama memastikan pembaharuan dalam sistem pendidikan agar pelajar kita selesa dengan sistem persekolahan," tambahnya.

Sementara itu, beberapa NGO mewakili masyrakat Tamil di Malaysia bercadang mengadakan perhimpunan aman membantah rancangan kerajaan memperkenalkan tulisan Jawi di semua sekolah termasuk Sekolah Tamil dan Cina pada tahun 2020.

Perhimpunan itu dikatakan bakal dianjurkan oleh Malaysian Tamilar Kural (Suara Masyarakat Tamil Malaysia) pada 23 Ogos ini bermula 7 malam di Brickfields.

Bertema 'Puratchi' (revolusi) perhimpunan itu dikatakan bertujuan menggesa kerajaan menarik balik keputusan memperkenalkan tulisan Jawi yang direncana bermula tahun depan.

Untuk rekod, Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan pada 25 Jul lalu menjelaskan pengenalan tulisan Jawi dan seni khat adalah untuk memupuk gaya penulisan yang indah.

Langkah kerajaan itu mendapat kritikan beberapa pihak yang menyatakan kebimbangan ia akan membebankan murid.

Susulan itu, kabinet kemudian menetapkan pembelajaran tulisan Jawi di sekolah Cina dan Tamil dilaksanakan secara pilihan.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, berkata guru juga diberi kuasa menetapkan sendiri kaedah pelaksanaannya.

Wednesday, December 26, 2018

Lantik 'pelajar nakal jadi pengawas', Tun M gagal

IZWAN ABDUL HALIM 
 26 DECEMBER 2018

KUALA LUMPUR:  Pelantikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ke atas Waytha Moorty Ponnusamy sebagai Menteri adalah umpama guru sekolah melantik pelajar nakal sebagai pengawas.

Ahli Parlimen Tumpat, Dato' Che Abdullah Mat Nawi berkata, lantikan tersebut bertujuan supaya pelajar nakal itu akan menjadi lebih berdisiplin dan bertanggungjawab apabila diangkat sebagai pengawas.

"Tun Mahathir sebagai ahli politik berpengalaman sangat mengenali Waytha yang telah menunjukkan sikap 'racist', baik dari segi tindakan mahupun kenyataan-kenyataan dibuatnya sebelum ini.

"Juga penglibatan Waytha dalam organisasi yang berunsur perkauman. Tun barangkali mengharap seperti budak nakal tadi, mahu setelah Waytha dilantik Menteri, beliau akan berubah ke arah lebih positif.

"Tun mahu Waytha yang positif sebagai pemimpin di sebuah negara pelbagai kaum. Namun nampaknya Menteri itu tidak berubah," ujar beliau yang juga Setiausaha PAS Negeri Kelantan.

Menurutnya, sehingga kini tidak ada penyataan kesal mahupun permohonan maaf daripada Waytha terhadap pelbagai tuduhan pernah dihamburkannya terhadap rakyat dan negara ini.

Bahkan sebaliknya kata beliau, terpacul pula dari Waytha kenyataan yang mengguris perasaan dan emosi pelbagai pihak hingga membangkit kebencian perkauman serta menjadi provokasi menakutkan.

"Jadi nampaknya Tun M benar-benar ingin mencuba konsep melantik pelajar nakal sebagai pengawas dengan melantik Waytha yang paling 'racist' itu sebagai Menteri Perpaduan.

"Dalam hal ini Tun M telah gagal. Waytha mesti diberhentikan!" gesa beliau.

 - HARAKAHDAILY 26/12/2018

Tuesday, December 25, 2018

Penganjur himpunan kecam ucapan Azwanddin

Diterbitkan 25 Dis 2018, 10:37 malam


Presiden Gerakan Rakyat Malaysia (Geras) Abu Bakar Mohamed mengecam Presiden Jaringan Melayu Malaysia Azwanddin Hamzah yang membuat ucapan provokasi pada himpunan di Klang hari ini.

Azwanddin, yang dijemput berucap di pentas, menggunakan istilah "pariah" merujuk kepada menteri perpaduan P Waythamoorthy. Istilah berkenaan dianggap menghina kaum India.

Selain itu, Azwanddin juga mengugut menyerang Balai Polis Klang sekiranya pihak berkuasa tidak menangkap pihak yang menjadi "penyebab" kepada rusuhan di Kuil Seafield Sri Maha Mariamman, Subang Jaya 25 dan 26 Nov lalu.

Diminta mengulas perkara itu, Abu Bakar berkata, beliau tidak bersetuju dengan ucapan Azwanddin.

"Mengenai ucapan tadi, saya pun tak setuju. Kita pun dah bagitahu kepada dia bahawa kita tak setuju pada perkara yang mendatangkan provokasi kepada mana-mana bangsa, agama dan juga organisasi.

"Tapi bila dia cakap (perkara itu ketika berucap) kita tak boleh kawal," katanya kepada pemberita selepas himpunan berkenaan.

Tambah Abu Bakar lagi, beliau beredar dari pentas ketika Azwanddin membuat ucapan itu.

"Pasal itu saya tadi terus tak nak duduk situ, saya duduk belakang dan saya terus turun," katanya.

Terdahulu, kira-kira 2,000 peserta hadir menyertai himpunan anjuran Geras yang diadakan bagi menuntut keadilan untuk anggota bomba yang Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim dan mendesak pemecatan P Waythamoorthy.

Friday, December 21, 2018

Pemuda DAP pula pertahankan Waythamoorthy

Diterbitkan 21 Dis 2018, 12:13 tengah hari


Selepas Hindraf, Pemuda DAP (Dapsy) pula mempertahankan Menteri Perpaduan, P Waythamoorthy yang didesak melepaskan jawatannya susulan tragedi rusuhan bulan lalu yang mengorbankan anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Setiausaha Kebangsaan Dapsy, Teh Hoong Keat berkata, adalah tidak adil untuk mendesak Waythamoorthy meletakkan jawatan sedangkan pelaku sebenar rusuhan di kuil Sri Mariamman di Subang Jaya itu masih bebas.

"Waythamoorthy disuruh untuk meletakkan jawatan disebabkan insiden Kuil Sri Maha Mariamman, namun pelaku yang mengakibatkan kematian Muhamad Adib Mohd Kassim masih bermaharajalela.

"Sesetengah pihak sengaja menjadikan Waythamoorthy sebagai kambing hitam dalam hal ini.

"Kerajaan patut bersifat adil, saksama dan terbuka dalam menangani kes Muhamad Adib dengan memberkas pelaku sebenar secepat mungkin, bukan membenarkan “hellraiser” terus membuat kacau sehingga seorang mangsa lagi iaitu Waytha Moorthy dijadikan kambing hitam terlibat dalam hal ini," katanya.

Sokongan ke atas Icerd juga bukan alasan

Beliau berkata, sokongan Moorthy terhadap isu ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskrimasi Kaum (Icerd) juga tidak sepatutnya menjadi alasan beliau harus meletakkan jawatan seperti mana disuarakan PAS dan Umno.

"Selama ini Waythamoorthy giat bersuara bagi pihak India di dalam negara ini, sehingga pasport antarabangsanya pernah dibatalkan oleh kerajaan lama.

"Dalam usaha mempertahankan kesamarataan kaum dan sokongan meratifikasi Icerd, Waytha Moorthy turut bekerja bertungkus lumus.
"Seorang menteri yang gigih mempertahankan keadilan antara kaum tidak seharusnya “meletakkan jawatan” disebabkan fitnah yang tidak berasas oleh kumpulan rasis," katanya.

Susulan kematian Adib pada 17 Disember lalu, banyak pihak mula mendesak agar Waytha meletakkan jawatan atau dipecat.

Antaranya Pemuda Bersatu yang mendakwa beliau selaku menteri bertanggungjawab dalam soal perpaduan gagal meredakan ketegangan kaum dalam isu Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya, akhir bulan lalu.

Semalam, Hindraf turut menyifatkan Waytha menjadi "kambing hitam" dalam politik perkauman dan agama, susulan kematian Muhamamd Adib.

Thursday, December 20, 2018

Dr M 'okey' dengan prestasi Waytha

Zikri Kamarulzaman
Dikemaskini 20 Dis 2018, 12:06 tengah malam


Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad memberi gambaran bahawa beliau berpuas hati dengan prestasi P Waythamoorthy sebagai menteri perpaduan.

Beliau juga berkata terpulang kepada dirinya untuk memutuskan sama ada Waythamoorthy akan dipecat atau tidak.

"Orang ramai boleh menyatakan pendapat mereka, tapi terserah kepada saya untuk putuskan," katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur hari ini.

Ditanya sama ada beliau berpuas hati dengan prestasi Waythamoorthy sebagai menteri, Mahathir berkata: "Saya okey, saya rasa okey".

Anggota parlimen Langkawi itu berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung memorandum Pemuda Bersatu yang menggesa agar beliau memecat Waythamoorthy.

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman merupakan salah seorang yang hadir ketika memorandum itu diserahkan kepada perdana menteri.

Gesaan agar pemimpin Hindraf itu meletakkan jawatan semakin kuat susulan kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim.

Muhammad Adib, 24 meninggal dunia Isnin lalu selepas hampir tiga minggu bertarung nyawa susulan kecederaan akibat dipukul dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya 26 Nov lalu.

Waythamoorthy didakwa memburukkan keadaan apabila beliau dan tiga menteri yang lain dalam satu sidang media menyalahkan polis yang membuat kenyataan mengaitkan insiden berkenaan dengan pergaduhan antara "dua kumpulan India".

Kempen petisyen di media sosial yang menggesa Waythamoorthy meletakkan jawatan sudah mendapat 300,000 tandatangan.

Mahathir bercakap kepada pemberita selepas merasmikan program Siri Kepimpinan Dr Mahathir Mohamad, yang dianjurkan Institut Pengurusan Malaysia.

Dalam sesi soal jawab sebelum itu, Mahathir ditanya apa kekesalan terbesar dalam hidupnya.

"Kekesalan terbesar? Saya tak tahu, saya sangat tak pandai pilih orang," kata Dr Mahathir yang disambut ketawa hadirin.

Mahathir sebelum ini pernah membuat kenyataan seperti itu, yang selalunya merujuk keputusannya memilih Abdullah Ahmad badawi dan Najib Razak sebagai perdana menteri.

Bagaimanapun, beberapa menteri kabinet kerajaan ketika ini juga dilihat tidak begitu digemari ramai dan sering mendapat kritikan.

Mereka termasuklah Waythamoorthy dan Menteri Pendidikan Maszlee Malik.

[Baca berita asal]

Tuesday, December 18, 2018

Kematian Adib: Umno tuntut exco, 4 menteri didakwa

Dikemaskini 18 Dis 2018, 12:32 tengah hari


Pemuda Umno mendesak peguam negara mengambil tindakan terhadap Exco Kerajaan Negeri Selangor V. Ganabatirau dan empat menteri kabinet iaitu P Waytha Moorthy, M Kulasegaran, Gobind Singh Deo dan Dr Xavier Jayakumar.

Ini susulan kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim semalam selepas mengalami kecederaan parah dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman pada 27 November lalu.

Ketua Pemuda Umno, Dr Asyraf Wajdi berkata mereka perlu didakwa di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mengeluarkan kenyataan dengan niat mengaibkan dan membangkitkan pecah keamanan.

"Demi keadilan buat Adib, Pemuda Umno mendesak agar pendakwaan segera dilakukan terhadap mereka yang bertanggungjawab di atas kematian anggota bomba yang hanya cuba menjalankan tugas pada malam kedua rusuhan berlaku," katanya dalam kenyataan.

Menurut Asyraf, serangan pada 26 November ke atas kuil berkenaan tiada kaitan agama mahupun kaum, sebaliknya pertelingkahan antara kumpulan samseng yang diupah pemaju dan penganut kuil berkenaan.
Bagaimanapun katanya, V Ganabitirau sehari selepas itu mendakwa serangan ke atas kuil itu dilakukan orang Islam dan kenyataan bertulis empat menteri diketuai P Waytha Moorthy turut menyalahkan polis kerana didakwa gagal menangani insiden rusuhan pada malam pertama.

"Ini telah membangkitkan kemarahan 10,000 kaum India yang keluar beramai-ramai pada malam kedua dengan melakukan rusuhan, mencedera dan seterusnya menyebabkan kematian anggota bomba yang tidak berdosa," kata Asyraf.

Baca: Menteri tegur cara polis tangani isu rusuhan di kuil

Desak Waytha Moorthy letak jawatan

Selain itu Pemuda Umno turut mendesak P Waytha Moorthy meletak jawatan selaku Menteri Perpaduan kerana menyalahkan polis sehingga tercetusnya rusuhan lebih dahsyat pada malam kedua di kuil berkenaan.

"Selaku anggota pentadbiran kerajaan, mereka seharusnya mengelak daripada menggunakan sentimen perkauman dalam mengeluarkan kenyataan," katanya yang turut merakamkan rasa sedih dan ucapan takziah kepada keluarga Adib.
Dalam pada itu Pemuda Umno meminta orang ramai supaya bertenang dan mengelakkan diri daripada mencetuskan sentimen perkauman mahupun agama yang boleh mengeruhkan lagi keadaan.

Semalam, Adib menghembuskan nafas terakhir selepas bertarung nyawa selama hampir tiga minggu.

Anggota bomba berumur 24 tahun itu dikejarkan ke lokasi rusuhan pada 27 Nov lalu akibat pertikaian mengenai tanah kuil di USJ 25, Subang Jaya.

Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi berhampiran, perusuh menyerang lori bomba dan van perubatan yang menyebabkan Adib dan rakannya yang lain terpaksa berundur.

Muhammad Adib dilaporkan diheret keluar dari kenderaan yang dinaikinya sebelum dipukul dan menyebabkan beberapa tulang rangkanya patah selain mengalami kecederaan dalaman.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-