Showing posts with label rusuhan kuil. Show all posts
Showing posts with label rusuhan kuil. Show all posts

Monday, February 11, 2019

Adib dalam van ketika lori bomba berundur - Saksi ketiga

Alyaa Alhadjri
Diterbitkan Hari ini 6:53 petang 


INKUES ADIB | Anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim dikatakan berada di dalam kenderaan Perkhidmatan Penyelamat Perubatan Kecemasan (EMRS) yang dinaikinya ke Kuil Sri Maha Mariamman Subang Jaya ketika rusuhan berlaku.

Perkara itu didedahkan Ahmad Shahril Othman yang merupakan saksi ketiga inkues siasatan kematian Muhammad Adib.

Ahmad Shahril juga memaklumkan bahawa dia merupakan pemandu van EMRS itu ketika kejadian rusuhan 27 Nov tahun lalu.

"Arwah (Muhammad Adib) berada di sebelah saya. Arwah masih berkomunikasi dengan saya.

"Dia masih ada di situ dan melihat lagi seorang pegawai yang sedang keluar dari FRT (Fire Rescue Tender) untuk memadam kebakaran. Kami bercakap 'lajunya Hazim keluar'," kata Shahril pada inkues yang diadakan di Mahkamah Koroner Shah Alam hari ini.

Hazim diperkenalkan dalam inkues itu sebagai salah seorang anggota bomba yang dikejarkan dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Subaang Jaya dan tiba di lokasi kejadian pukul 1.12 pagi bagi memadam api yang maraj pada sebuah kenderaan di seberang jalan kuil.

"Saya nampak belum sempat dia tarik hose reel tiba-tiba Hazim diserang

Selepas tu say dah tak nampak kelibat Hazim. Tak tau dia di mana," kata Shahril, yang menjelaskan bahawa perusuh datang dari depan, dan sisi sebelah kiri serta kanan lori bomba.

Terdahulu, inkues dimaklumkan tentang sekumpulan kira-kira 50 individu menyerbu lori bomba.

Ahmad Shahril berkata beberapa individu turut menyerang van EMRS yang berada kira-kira dua meter di belakang lori bomba.

"Dalam kelam kabut kenderaan FRT (Fire Rescue Tender) berundur secara tiba-tiba. Terlanggar bahagian depan (EMRS)...

"Pada masa yang sama ada sekumpulan memakai helmet nak menyerang di pintu bahagian pemandu. Ketuk pintu pakai helmet. Lebih dari tiga orang...suruh membuka pintu," kata Ahmad Shahril.

Pemandu lori bomba, Md Eliza Mohd Noor yang juga merupakan saksi kedua inkues menyambung keterangan selepas rehat. Sebelum itu, beliau turut mengesahkan Hazim keluar dari lori bomba dan cuba mengeluarkan gelung hos untuk memadam kebakaran.

Pada kejadian itu, kedua-dua kenderaan berkenaan akhirnya meninggalkan lokasi rusuhan dan menuju balai polis USJ8.

Sebaik tiba di balai polis, Eliza berkata dia diberitahu bahawa Shahril memaklumkan pegawainya bahawa Muhammad Adib tiada di dalam van EMRS.

"Kami kemudian cuba hubungi Muhammad Adib beberapa kali tapi tak ada siapa jawab.

"Selepas 15 hingga 20 minit kemudian, kami menerima panggilan (daripada telefon Muhammad Adib) dan individu dalam talian memberitahu bahawa Muhammad Adib dibawa ke SJMC (Sime Darby Medical Centre)," kata Eliza yang menjelaskan bahawa pasukannya kemudian diarahkan ke hospital.

Inkues diteruskan esok untuk hari kedua dengan kunjungan di lokasi kejadian di kuil yang akan diketuai Koroner Rofiah Mohamad dan pasukan peguam.

Thursday, December 20, 2018

Gantikan Waytha Moorthy dengan Nurul Izzah – Amanah

DECEMBER 20, 2018
Facebook


Ketika penolakan rakyat terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waythamoorthy, dilihat berterusan Pemuda Amanah Terengganu tampil mencadangkan agar Nurul Izzah Anwar dilantik menggantikan senator terbabit.

Ketuanya Mohd Hasbie Muda berkata ketika ini penolakan rakyat terhadap Waythamoorthy sukar untuk dipertahankan lagi.

Justeru katanya pemimpin Parti Hindraf Malaysia itu perlu ditukar dan pengganti yang sesuai kini ialah anggota parlimen Permatang Pauh berkenaan.

"Nurul Izzah adalah wajah segar dalam politik negara. Beliau pemimpin muda yang mengambil pendekatan sederhana dan memahami kerencaman masyarakat.

"Beliau terbukti diterima di kawasan parlimen majoriti Melayu di Permatang Pauh serta kerusi majoriti campuran di Lembah Pantai sebelum ini, " katanya kepada Malaysiakini.

Terdahulu gesaan supaya Waythamoorthy meletakkan jawatan semakin kuat susulan kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim.

Muhammad Adib, 24, meninggal dunia Isnin lalu selepas hampir tiga minggu bertarung nyawa susulan kecederaan akibat dipukul dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya 26 Nov lalu.

Rehatkan senator

Waythamoorthy didakwa memburukkan keadaan apabila beliau dan tiga menteri yang lain dalam satu sidang media menyalahkan polis yang membuat kenyataan mengaitkan insiden berkenaan dengan pergaduhan antara "dua kumpulan India".

Kempen petisyen di media sosial yang menggesa Waythamoorthy meletakkan jawatan sudah mendapat 300,000 tandatangan.

Malam tadi, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad memberi gambaran bahawa beliau berpuas hati dengan prestasi Waythamoorthy sebagai menteri yang ditugaskan untuk mengurus hal-hal perpaduan.
Waytha Moorthy bersama beberapa Ahli Parlimen pada sidang media menyalahkan pihak Polis dan mahu bertanggungjawab ke atas rusuhan di kuil Maha Sri Mariamman.

Beliau juga berkata terpulang kepada dirinya untuk memutuskan sama ada Waythamoorthy akan dipecat atau tidak.

"Orang ramai boleh menyatakan pendapat mereka, tapi terserah kepada saya untuk putuskan," katanya.

Sementara itu Mohd Hasbie berkata, walaupun perdana menteri memiliki sebab yang kukuh sewaktu melantik Waythamoorthy selaku menteri sebelum ini, keberkesanan beliau dalam menjalankan tugas jelas dipertikaikan secara konsisten dan berterusan oleh netizen.

"Saya percaya bahawa sebagai sebuah kerajaan yang mendengar suara rakyat, keputusan segera perlu dibuat untuk merehatkan Waythamoorthy," jelasnya. 

Polis patut tahan perusuh lebih awal

MyMetro
Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@nstp.com.my

TAN Sri Musa Hassan (gambar kecil). FOTO Arkib NSTP

TINDAKAN menangkap perusuh yang terbabit dalam insiden rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya sewajarnya dilakukan secara besar-besaran.

Bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan berkata, kelewatan pegawai penyiasat polis dalam menahan perusuh terbabit secara tidak langsung ‘mengganggu’ dalam mengesan individu yang disyaki melakukan kesalahan itu.

Beliau berkata, pihak polis sepatutnya menangkap mereka yang terbabit sewaktu situasi masih baru kerana pada ketika itu segala maklumat masih baru.

“Kalau ambil contoh ketika saya memimpin Polis Diraja Malaysia (PDRM) semasa berlakunya perhimpunan Hindraf di Ampang Park, seramai 130 individu ditangkap pada hari kejadian.

“Kejadian itu adalah sama seperti rusuhan kuil berkenaan. Peserta perhimpunan mencederakan anggota polis dan bomba, merosakkan kenderaan awam termasuk kenderaan polis.

“Namun pada ketika itu, segala maklumat masih ‘panas’ (baru) kerana kita bertindak (menangkap) secara besar-besaran sebelum menjalankan siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, kes pencerobohan di kuil, serangan ke atas penjawat awam dan rusuhan di hadapan kuil dilihat lewat ditangani.

“Justeru adalah paling tepat sekiranya tindakan dapat diambil lebih awal berdasarkan maklumat yang baru.

“Berbanding mengesan individu dengan lambat, maklumat yang diperolehi juga sudah beku,” katanya.

Beliau bagaimanapun tidak menyalahkan pihak polis dalam menangani insiden berkenaan dan percaya PDRM ketika ini mempunyai perancangan tertentu.

Katanya, pihak polis sewajarnya membuat satu tindakan lebih holistik dalam mengumpul maklumat yang ada membabitkan insiden rusuhan dan insiden yang menyebabkan kematian penjawat awam.

“Saya juga berharap polis menggerakkan segala maklumat yang ada khususnya dalam bentuk siasatan dan risikan untuk mengesan mereka yang terbabit.

“Pegawai penyiasat juga harus memastikan laporan dan bukti kukuh dalam elemen siasatan untuk memastikan individu yang membunuh Muhammad Adib (Mohd Kassim) dikenakan tindakan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Disember 2018 @ 10:47 AM

Tuesday, December 18, 2018

Kematian Adib: Umno tuntut exco, 4 menteri didakwa

Dikemaskini 18 Dis 2018, 12:32 tengah hari


Pemuda Umno mendesak peguam negara mengambil tindakan terhadap Exco Kerajaan Negeri Selangor V. Ganabatirau dan empat menteri kabinet iaitu P Waytha Moorthy, M Kulasegaran, Gobind Singh Deo dan Dr Xavier Jayakumar.

Ini susulan kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim semalam selepas mengalami kecederaan parah dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman pada 27 November lalu.

Ketua Pemuda Umno, Dr Asyraf Wajdi berkata mereka perlu didakwa di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mengeluarkan kenyataan dengan niat mengaibkan dan membangkitkan pecah keamanan.

"Demi keadilan buat Adib, Pemuda Umno mendesak agar pendakwaan segera dilakukan terhadap mereka yang bertanggungjawab di atas kematian anggota bomba yang hanya cuba menjalankan tugas pada malam kedua rusuhan berlaku," katanya dalam kenyataan.

Menurut Asyraf, serangan pada 26 November ke atas kuil berkenaan tiada kaitan agama mahupun kaum, sebaliknya pertelingkahan antara kumpulan samseng yang diupah pemaju dan penganut kuil berkenaan.
Bagaimanapun katanya, V Ganabitirau sehari selepas itu mendakwa serangan ke atas kuil itu dilakukan orang Islam dan kenyataan bertulis empat menteri diketuai P Waytha Moorthy turut menyalahkan polis kerana didakwa gagal menangani insiden rusuhan pada malam pertama.

"Ini telah membangkitkan kemarahan 10,000 kaum India yang keluar beramai-ramai pada malam kedua dengan melakukan rusuhan, mencedera dan seterusnya menyebabkan kematian anggota bomba yang tidak berdosa," kata Asyraf.

Baca: Menteri tegur cara polis tangani isu rusuhan di kuil

Desak Waytha Moorthy letak jawatan

Selain itu Pemuda Umno turut mendesak P Waytha Moorthy meletak jawatan selaku Menteri Perpaduan kerana menyalahkan polis sehingga tercetusnya rusuhan lebih dahsyat pada malam kedua di kuil berkenaan.

"Selaku anggota pentadbiran kerajaan, mereka seharusnya mengelak daripada menggunakan sentimen perkauman dalam mengeluarkan kenyataan," katanya yang turut merakamkan rasa sedih dan ucapan takziah kepada keluarga Adib.
Dalam pada itu Pemuda Umno meminta orang ramai supaya bertenang dan mengelakkan diri daripada mencetuskan sentimen perkauman mahupun agama yang boleh mengeruhkan lagi keadaan.

Semalam, Adib menghembuskan nafas terakhir selepas bertarung nyawa selama hampir tiga minggu.

Anggota bomba berumur 24 tahun itu dikejarkan ke lokasi rusuhan pada 27 Nov lalu akibat pertikaian mengenai tanah kuil di USJ 25, Subang Jaya.

Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi berhampiran, perusuh menyerang lori bomba dan van perubatan yang menyebabkan Adib dan rakannya yang lain terpaksa berundur.

Muhammad Adib dilaporkan diheret keluar dari kenderaan yang dinaikinya sebelum dipukul dan menyebabkan beberapa tulang rangkanya patah selain mengalami kecederaan dalaman.

Saturday, December 1, 2018

'Tak pernah ada dalam sejarah...'

MyMetro
Hasbi Sidek
cnews@nstp.com.my

AHLI keluarga melawat Muhammad Adib. FOTO Arkib NSTP

“PERTAMA kali dalam sejarah di negara ini apabila anggota bomba yang bertugas dibelasah perusuh sehingga separuh mati,” kata bekas Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Dr Soh Chai Hock.

Menurutnya, beliau amat sedih apabila anggota berkenaan, Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, dipukul dengan begitu teruk oleh perusuh dalam insiden di di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 24, Subang Jaya, Selasa lalu.

Menurutnya, perkara sedemikian juga tidak pernah berlaku sepanjang 36 tahun beliau berkhidmat dalam JBPM.

“Saya kini sudah berusia 74 tahun, tidak pernah ada orang belasah anggota bomba begitu teruk,” katanya.

Beliau ditemui selepas melawat Muhammad Adib di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur, hari ini.

Soh berkata, Seksyen 5 Akta Perkhidmatan Bomba 1988 menyatakan tugas bomba adalah untuk memadam kebakaran, melindungi harta benda dan nyawa, menjalankan khidmat kemanusiaan serta tugas lain seperti arahan menteri.

“Anggota bomba adalah friend of people (rakan kepada orang awam) dan mereka tidak terbabit dengan apa-apa yang menentang perusuh, tugas mereka adalah memadamkan kebakaran.

“Orang awam atau perusuh kena ambil tahu bahawa menyerang anggota bomba tidak sepatutnya berlaku," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta tindakan tegas perlu diambil terhadap perusuh yang mencederakan Muhammad Adib

“Saya mahu perusuh mendapat hukuman setimpal atas kelakuan mereka," katanya,” katanya.

Lagi berita berkaitan Rusuhan Kuil Maha Mariamman

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Disember 2018 @ 2:39 PM

Tuesday, November 27, 2018

PM: Perusuh, dalang rusuhan kuil akan terima hukuman tegas

Diterbitkan 27 Nov 2018, 6:10 petang


Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini menegaskan bahawa pihak yang terlibat termasuk dalang di sebalik rusuhan di kuil Seafield Seafield Sri Maha Mariamman di Subang Jaya akan menerima hukuman sewajarnya.

"Penjenayah-penjenayah yang terlibat cuba melakukan rusuhan serta mencederakan anggota keselamatan dan penyelamat termasuk kerosakan harta benda awam akan dikenakan tindakan tegas mengikut undang-undang yang sedia ada.

"Bagi dalang jika ada di sebalik kejadian ini mereka juga tidak akan terlepas daripada menerima hukuman yang sewajarnya," katanya melalui kenyataan media yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri hari ini.

Dalam kenyataan itu, perdana menteri juga berkata bahawa beliau sudah dimaklumkan perkembangan terkini siasatan ke atas kejadian berkenaan.

"Amat jelas dari siasatan awal bahawa kejadian pertama yang berlaku mempunyai unsur jenayah. Begitu juga kejadian susulan yang melibatkan kerosakan harta benda serta kecederaan kepada anggota polis.

"Tidak timbul sama sekali isu perkauman mahupun isu berkaitan agama walaupun ia berkaitan perpindahan kuil," katanya.

Dalam kejadian awal pagi kelmarin, kekecohan berlaku apabila sekumpulan individu menceroboh kuil berkenaan dan menjadikan sebahagian penjaga kuil sebagai tebusan.

Rusuhan kemudian tercetus, menyaksikan sejumlah kenderaan dibakar dan beberapa orang individu yang terlibat dengan rusuhan cedera.

Rusuhan itu berlaku susulan pertikaian pemindahan tapak kuil oleh pemaju One City Development Sdn Bhd yang mendapat kebenaran mahkamah pada 2014.

Tidak sampai 24 jam selepas rusuhan pertama, rusuhan kedua tercetus pada pagi Selasa yang turut menyebabkan kecederaan anggota bomba.

Setakat ini polis telah menahan 21 individu. Dalam tangkapan terbaru, dua suspek ditahan bersama parang yang ditemui dalam kenderaan yang dinaiki, menurut polis.

Dalam dua siri rusuhan itu, sebanyak 23 kenderaan dirosakkan dan dibakar.

Sementara itu, dalam kenyataan sama, Mahathir menggesa agar orang ramai tidak terpengaruh dengan khabar angin.

"Kerajaan juga ingin menasihati orang ramai agar tidak mendengar khabar angin serta tidak menyebarkan mesej yang tidak bertanggungjawab menerusi mana-mana media.

"Sekali lagi saya tegaskan kejadian ini adalah insiden jenayah dan tidak ada kaitan sama sekali dengan unsur-unsur lain," katanya.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-