Saturday, December 8, 2018

Mula berkumpul di sekitar Sogo

MyMetro
Siti Azila Alias
cnews@nstp.com.my
PESERTA mula berkumpul di hadapan Kompleks Beli-Belah Sogo, Kuala Lumpur. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.

PESERTA perhimpunan kesyukuran meraikan kejayaan menolak ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) mula berhimpun di hadapan Kompleks Beli-Belah Sogo dan kawasan sekitar.

Setakat 10.30 pagi ini, dianggarkan 2,000 orang berada di situ dan jumlah itu dijangka meningkat tengah hari ini sebelum mereka berarak menuju Dataran Merdeka.

Mereka yang memakai baju T putih dikatakan mula memenuhi kawasan ini sejak 6 pagi.

Keadaan ketika ini masih terkawal dengan anggota polis dan polis trafik ditempatkan bagi mengawal lalu lintas.

Pemantauan udara turut dilakukan polis di kawasan ini.

Pada 23 November lalu, Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak akan meratifikasi ICERD dan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan yang di dalamnya termaktub kontrak sosial dipersetujui wakil semua kaum ketika pembentukan negara ini.

Susulan kenyataan itu, Ketua Sekretariat Gerakan Pembela Ummah, Aminuddin Yahaya, memaklumkan perhimpunan di Dataran Merdeka pada 8 Disember ini tetap diteruskan, namun ditukar menjadi majlis kesyukuran.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, dilaporkan memaklumkan UMNO akan menyertai perhimpunan itu sebagai tanda ‘terima kasih’ terhadap keputusan kerajaan tidak meratifikasi ICERD.

Lagi berita berkaitan Perhimpunan ICERD

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-