Thursday, December 13, 2018

Pemuda Umno Sabah kepada Zahid - Letak jawatan atau disingkir

Diterbitkan 13 Dis 2018

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi kini menjadi sasaran susulan tindakan keluar beramai-ramai oleh wakil rakyat parti itu di Sabah.

Naib Ketua Pemuda Umno Sabah Ghazalie Ansing menyalahkan Zahid dan kurangnya hala tuju beliau sebagai presiden sebagai punca ia berlaku.

Beliau juga mendakwa Zahid - yang kini berdepan pendakwaan rasuah dan pecah amanah jenayah - menggunakan Umno sebagai perisai untuk menyelamatkan dirinya.

"Presiden tiada kuasa dan tidak dihormati di kalangan pemimpin dan anggota Umno," katanya dalam kenyataan, seperti dipetik FMT.

Justeru Ghazalie berkata Zahid patut meletakkan jawatannya secara segera, atau didesak untuk berbuat demikian.

"Jika beliau tidak bersetuju, saya meminta Majlis Tertinggi melakukannya secepat mungkin agar parti kita dapat melangkah ke depan," katanya lagi.

Beliau turut mengkritik mereka yang keluar Umno kerana meninggalkan perjuangan.

Selain anggota parlimen dan adun, pemimpin veteran parti itu di Sabah seperti bekas Ketua Menteri Salleh Said Keruak dan Pandikar Amin Mulia turut keluar Umno dan mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Buat masa ini wakil rakyat yang keluar Umno itu akan kekal sebagai anggota parlimen dan adun bebas. Mereka dijangka akan menyertai Bersatu.

'Dr M, jangan kutip sampah'

Kebarangkalian itu telah mencetuskan kritikan dari dalam Pakatan Harapan (PH) sendiri.

Semalam, Anggota Parlimen Kepong dari DAP Lim Lip Eng menerusi twitter berkata berlaku "hujan katak di negeri di bawah bayu", dan menegaskan lompat parti tidak boleh dibiarkan berlaku.

Seorang lagi anggota parlimen dari DAP Ramkarpal Singh berkata tindakan menerima bekas pemimpin Umno dalam PH adalah pengkhianatan kepada kepercayaan rakyat.

Tengah hari ini, Setiausaha DAP Selangor Ronnie Liu mengingatkan Mahathir bahawa beliau pernah memberitahu aktivis dan NGO dalam satu mesyuarat sebelum PRU ke-14 bahawa beliau tidak akan menerima "katak" dari Umno.

"Saya masih Ingat Mahathir menyifatkan mereka sebagai 'sampah' dan 'tidak berguna'. Jika mereka memang sampah yang tidak berguna, saya berharap anda (Mahathir) tidak akan menjadi pengutip sampah dan membawa mereka ke Bersatu," katanya.

Minggu lalu, Mahathir berkata PH tidak akan meneruskan rancangan menggubal undang-undang antilompat parti atas sebab demokrasi tidak melarangnya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-