Sunday, December 2, 2018

Rafizi nasihat semua lebih terbuka selepas laporan polis Tabung Haji

FMT Reporters
-December 2, 2018 12:00 AM


PETALING JAYA:  Rafizi Ramli hari ini menasihatkan semua pihak termasuk parti-parti politik lebih terbuka menilai pendedahan isu penyelewengan, susulan laporan polis oleh Lembaga Tabung Haji (TH) terhadap bekas pegawai tinggi institusi itu.

Beliau berkata pendedahannya berhubung dana TH sebelum ini sukar diterima oleh ramai pihak, termasuk penyokong PAS dan Umno.

“Jangan ulangi episod Tabung Haji – walaupun faktanya jelas, ramai-ramai bersekongkol menyembunyikan kerosakan dan menidakkan kebenaran hanya kerana yang membawa fakta itu seorang dari parti lawan,” kata bekas Ahli Parlimen Pandan dalam kenyataan hari ini.

TH semalam membuat 2 laporan polis terhadap bekas pengerusi Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, bekas ketua pegawai eksekutif Tan Sri Ismee Ismail dan Datuk Seri Johan Abdullah serta pengurusan kanan.

Pengurusan kanan ialah Ketua Pegawai Operasi Datuk Adi Azuan Abdul Ghani, Ketua Pegawai Kewangan Datuk Rozaida Omar, Penasihat Undang-Undang Hazlina Mohd Khalid dan Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Korporat dan Hartanah Rifina Md Ariff.

Laporan pertama berkaitan program Yayasan Tabung Haji 2017 apabila sejumlah RM22 juta dikeluarkan untuk aktiviti yang didakwa mempunyai kecenderungan politik.

Laporan polis kedua dibuat terhadap Ismee, Hazlinda dan Rifina berkaitan salah nyata dan menyembunyikan maklumat penting membabitkan penjualan 95% saham TH dalam syarikat PT TH Indo Plantations, yang dipegang menerusi 2 anak syarikat iaitu TH Indopalms Sdn Bhd dan TH Indo Industries Sdn Bhd, kepada PT Borneo Pacific untuk AS$910 juta (RM3.8 billion) pada 2012.

Dua laporan itu adalah hasil siasatan dalaman pertama terhadap transaksi masa lalu oleh pengurusan baharu TH yang dilantik Julai.

Rafizi masih teringat sumpah seranah “paling teruk” yang diterimanya apabila bercakap mengenai kepincangan dalam kewangan TH.

“Saya dikeji secara berterusan, baik dari kalangan penyokong Umno, PAS mahupun rakyat biasa. Tidak ramai sahabat-sahabat yang berani datang memberi sokongan kerana takut menjadi mangsa serangan juga,

“Saya ditahan, didakwa dan masih menjalani perbicaraan kononnya memfitnah TH. Ada pimpinan kanan yang menuduh kononnya saya telah menyebabkan ribuan orang Islam tidak boleh menunaikan ibadah haji,” katanya.

Beliau menambah cop “puas hati” oleh pimpinan PAS terhadap prestasi kewangan TH memburukkan lagi “makian berjemaah” itu.

“Saya berdoa supaya lebih ramai rakyat yang boleh menilai sesuatu isu melangkaui pandangan sempit kepartian, sepatutnya fakta yang saya bentangkan itu diambil kira.

“Jangan kerana pembongkaran itu datang dari seorang pemimpin parti lawan, fakta yang dibawa ditolak bulat-bulat dan dibalas dengan satu ungkapan mudah: ‘Ini semua fitnah’,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-