Showing posts with label Lembaga Tabung Haji (TH). Show all posts
Showing posts with label Lembaga Tabung Haji (TH). Show all posts

Thursday, July 15, 2021

Saya sedia dedah jika dipanggil RCI Tabung Haji, kata Mujahid

FMT Reporters
-July 15, 2021 11:45 AM

Mujahid Yusof Rawa berkata beliau sedia memberi kerjasama sekiranya dipanggil Suruhanjaya Siasatan Diraja Tabung Haji.

PETALING JAYA: Bekas menteri di jabatan perdana menteri, Mujahid Yusof Rawa, bersedia memberi kerjasama kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH) yang ditubuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Beliau berkata, kerajaan hendaklah memastikan hanya anggota berkelayakan dilantik dalam RCI berkenaan bagi memastikan siasatan itu telus dan profesional tanpa agenda politik.

“Jika saya dipanggil untuk memberi keterangan, saya bersedia mendedahkan langkah dan tindakan yang kerajaan PH telah ambil untuk selamatkan TH, termasuk laporan polis yang dibuat ke atas individu yang terbabit dalam penyelewengan dana TH,” katanya dalam kenyataan.

Mujahid yang juga naib presiden Amanah berkata, pihaknya sejak awal lagi menyokong penubuhan RCI dan mengucapkan tahniah kepada kerajaan menubuhkan RCI, selepas lebih setahun PN mentadbir.

Mujahid Yusof Rawa.
Beliau bagaimanapun, menyatakan rasa hairan berhubung skop RCI tertumpu pada isu berbangkit pada 2014 hingga 2020, namun tidak memasukkan pelan pemulihan dan penstukturan TH, dilaksanakan ketika kini.

“Setelah 17 bulan PN berkuasa dan isu RCI TH disensasikan, akhirnya timbalan perdana menteri menyatakan kabinet setuju untuk menubuhkan RCI TH. Syabas dan tahniah.

“Sepanjang tempoh 22 bulan saya diberikan amanah menjaga TH di bawah JPM agama, saya dan pasukan TH bertindak berpandukan laporan firma audit profesional yang disebut bagi menjayakan pelan penstrukturan semula selepas TH berada dalam keadaan tenat dari sudut kewangannya dan integritinya,” katanya.

Katanya, dua perkara asas dilakukan segera membabitkan pengeluaran hibah atau dividen hendaklah mematuhi Akta TH 1995, yang dilanggar sejak 2014.

“Kedua, ialah menutup jurang defisit antara aset dan liabiliti yang mengikut laporan audit 2017 adalah sebanyak RM4 Bilion.

“Pelan penstrukturan semula TH diperkenalkan secara telus dan mendapat kelulusan kabinet serta dijelaskan dalam parlimen secara terbuka. Isu TH kembali hangat apabila PN berkuasa dan isu ‘jual aset orang Islam’ terus disensasikan, walaupun kejayaan pelan penstrukturan TH diperakui kerajaan hari ini,” katanya.

Semalam, mesyuarat jemaah menteri bersetuju menubuhkan RCI mengikut Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119), bagi menyiasat isu berbangkit mengenai pengurusan dan operasi TH.

Timbalan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob, berkata siasatan merangkumi hasil pengauditan perunding seperti PricewaterhouseCoopers (PwC), Ernst & Young (EY) dan Roland Berger dari 2014 hingga 2020.

Tuesday, August 11, 2020

RCI Tabung Haji: Menteri mungkin mahu ambil hati, ambil jalan selamat


Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berpendapat kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) , Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berhubung penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH) sebagai mengelirukan.

Menurutnya, Zulkifli dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat sebelum ini hanya menyebut kerajaan akan menubuhkan jawatankuasa khas untuk meneliti transaksi yang berlaku di dalam TH.

“Bermakna tidak ada RCI. Itu jawapan rasmi. Tapi hari ini (semalam) dalam penggulungan di Dewan Rakyat, beliau (Zulkifli) sebut jawatankuasa khas tetapi juga disebut tidak menolak kemungkinan RCI ditubuhkan.

“Ini kenyataan yang mengelirukan. Jawapan yang rasmi kata hanya cukup jawatankuasa khas. Satu lagi tidak menolak kemungkinan penubuhan RCI.

“Dia mungkin tertekan dengan kehendak pihak tertentu, nak ambil hati atau ambil jalan selamat,” katanya dalam bicara khas menerusi Jom Channel FB Live malam tadi.

Mujahid yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, langkah penubuhan jawatankuasa khas untuk meneliti transaksi dalam TH juga seolah-olah mempertikaikan profesionalisme ahli lembaga TH.

“Kalau nak buat RCI pun, apa term of reference? RCI ini sifatnya tidak ada jawapan, tidak tahu siapa. Perlu dapat persetujuan Agong.

“Soalnya dia nak buat RCI apa? Dia nak kata kita buat tidak betul? Padahal, kita dah dapat jawapan baru-baru ini di Parlimen. Kita sudah berada di landasan yang benar,” ujarnya.

LANJUT MENYUSUL

Wednesday, August 5, 2020

Tunggu masa sesuai, Abdul Azeez sedia debat dengan Mujahid isu TH

OLEH HANS YUSOFF
Rabu, 05 Ogos 2020

Ahli Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim memaklumkan pihaknya sedang mencari tarikh sesuai bagi mengadakan sesi debat bersama bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Mujahid Yusof.
 — Foto oleh Shafwan Zaidon

KUALA LUMPUR, 5 Ogos — Ahli Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berjanji akan meneruskan niatnya untuk berdebat dengan Ahli Parlimen Parit Buntar Datuk Seri Mujahid Yusof mengenai isu membabitkan Lembaga Tabung Haji (TH).

Abdul Azeez yang juga bekas pengerusi TH berkata, pihaknya masih mencari masa dan tarikh sesuai untuk berbuat demikian apatah lagi ketika umat Islam baru selesai menyambut sambutan Hari Raya Aidiladha.

“Sebenarnya isu debat bersama YB Parit Buntar dan jemputan untuk membincangkan isu TH di luar telah saya slotkan sebelum Hari Raya Aidiladha yang lalu.

“Walau bagaimanapun, pihak pengurusan saya akan menetapkan satu tarikh yang sesuai untuk program tersebut kerana saya difahamkan terlalu ramai berminat untuk menyaksikan perbahasan kami.

“Entah apa yang YB Parit Buntar seronok sangat ini, saya dulu bukan menteri agama pun, bukan juga timbalan menteri, hanya seorang bekas pengerusi bukan eksekutif. Insha Allah, kita jumpa nanti,” katanya di media sosial, hari ini.

Semalam, Mujahid yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mengakui masih menunggu jawapan Abdul Azeez mengenai cabaran debat isu-isu berkaitan TH.

Sinar Harian melaporkan Abdul Azeez sebelum ini mencadangkan debat tersebut diberi tajuk “Tabung Haji: Di Mana Silapnya?”

Wednesday, July 15, 2020

Ahli Parlimen cadang tubuh RCI siasat dakwaan salah laku TH

Bernama
-July 14, 2020 11:43 PM

Anwar Ibrahim meminta perdana menteri mempertimbangkan cadangan mewujudkan RCI untuk menyiasat dakwaan salah laku pengurusan lama Lembaga Tabung Haji.

KUALA LUMPUR: Beberapa ahli Parlimen mencadangkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan salah laku pengurusan lama Lembaga Tabung Haji (TH).

Cadangan itu diutarakan Abdul Azeez Abdul Rahim (PN-Baling), yang merupakan bekas pengerusi TH, sewaktu bangun mencelah ucapan ketua pembangkang Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong.

Azeez berkata, cadangan penubuhan RCI sudah dibangkitkan semasa pentadbiran PH bagi menyiasat secara telus dan menjawab segala dakwaan berkaitan institusi kewangan umat Islam itu.

Anwar dalam maklum balasnya tidak menolak cadangan itu dan meminta Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin mempertimbangkan cadangan mewujudkan RCI berkenaan.

“Ini mungkin meleraikan keadaan kerana ia menimbulkan perbincangan hangat dan bebanan kepada rakyat yang berikhtiar serta ikhlas untuk menunaikan fardu haji.”

Anwar turut meminta menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) memberikan pandangan dan penjelasan berhubung salah urus TH yang merupakan badan amanah umat Islam dan orang Melayu.

Terdahulu, Ahmad Maslan (PN-Pontian) semasa mencadangkan usul menjunjung kasih titah Agong turut mempersoalkan tindakan TH tidak membentangkan laporan kewangan TH sepanjang pemerintahan mereka.

Katanya, kegagalan membentangkan laporan itu di Parlimen melanggar Akta 240, Akta Badan Berkanun (Akaun dan Laporan Tahunan) 1980.

“Kenapa sehingga hari ini, 2 tahun berturut-turut laporan kewangan TH sepanjang PH memerintah pada 2018 dan 2019 tidak pernah dikeluarkan dan dibentangkan di Parlimen? Apakah laporan tahunan TH diaudit?

“Barisan Nasional tak pernah gagal membentangkan laporan kewangan yang diaudit setiap tahun yang berakhir Disember. Kegagalan TH membentangkan laporan 2 tahun ini jelas melanggar Seksyen 5, 7, 8, 9 Akta Badan-badan Berkanun (Akaun dan Laporan Tahunan) (Akta 240).

“Macam mana boleh umum hibah apabila akaun tidak diaudit? Sekaligus bertentangan Akta 22 TH.”

Wednesday, February 19, 2020

MOF sedia runding jika TH mahu ambil semula 4 hotel dipindah milik

Mohamad Fadli
-February 19, 2020 2:45 PM

Amiruddin Hamzah (3 dari kanan) melancarkan Pusat Islam Pertama untuk Teknologi Baru (ICET) di Kota Damansara, Selangor hari ini.

KOTA DAMANSARA: Kementerian Kewangan sedia berunding dengan Lembaga Tabung Haji (TH) jika ia berhasrat mengambil alih semula 4 rangkaian hotelnya yang dipindah milik kepada anak syarikat kementerian itu, Urusharta Jamaah Property Management Sdn Bhd (UJPM).

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Kewangan, Amiruddin Hamzah berkata, rundingan itu hanya boleh dibuat selepas pelan pemulihan dan penstrukturan semula selesai.

“Bila hotel dapat dijalankan dengan baik nanti, kita akan beri TH untuk (pertimbang) sama ada dia nak balik ke tidak masa itu.

“Kalau waktu itu TH kata kami rindulah, nak balik semula dengan anak dia semula. Ya, kita boleh berunding,” katanya pada Majlis Pelancaran Pusat Islam Pertama untuk Teknologi Baru (ICET) hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada pengambilalihan TH Hotel & Residence Sdn Bhd (THHR) hanya bersifat sementara.

Semalam, TH mengumumkan operasi 4 rangkaian hotel miliknya dipindah milik kepada UJPM mulai April ini yang merupakan sebahagian pelan pemulihan dan penstrukturan semula institusi itu.

Empat hotel THHR itu ialah TH Hotel Kota Kinabalu, TH Hotel Pulau Pinang, TH Hotel & Convention Centre Alor Setar dan TH Hotel & Convention Centre Terengganu.

Semalam, Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad mempertahankan keputusan TH memindahkan operasi dan perkhidmatan rangkaian hotel THHR kepada anak syarikat Kementerian Kewangan kerana hartanah itu tidak memberi keuntungan kepada agensi berkenaan.

Hari ini, Amiruddin membidas pihak mengkritik tindakan TH itu kerana cuba menimbulkan perasaan negatif.

“Ada orang di luar sana tak ada kerja lain. Padahal tahu kenapa ini berlaku kerana TH terpaksa memindahkan aset-aset yang tidak beri keuntungan baik kepada mereka.

“Dimaklumkan tidak ada pekerja diberhentikan, hanya bertukar majikan dan sebahagiannya dipindahkan ke TH Kelana Jaya.”

Sementara itu, Amiruddin berharap negara akan terus menerajui bidang kewangan Islam dan menjadi sebagai hab global kewangan Islam dengan adanya ICET.

Beliau berkata, ICET akan menjalankan program penyelidikan dan pembangunan teknologi serta latihan untuk pembiayaan serta transaksi kewangan berlandaskan syariah.

“ICET sejajar usaha Mahathir meningkatkan usaha penyerapan Revolusi Industri 4.0 supaya dapat menyumbang ke arah peningkatan produktiviti, pengasahan bakat berkemahiran tinggi dan usaha penciptaan baru.

“Ini untuk menjadikan Malaysia destinasi utama pembuatan pintar,” katanya.

Tuesday, April 9, 2019

Tidak perlu tubuh RCI siasat TH, semuanya sudah jelas, kata Mujahid

AKMAL MANAF


Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) tidak perlu ditubuhkan bagi menyiasat salah laku berkenaan pengurusan prestasi Lembaga Tabung Haji (TH), kerana segalanya sudah jelas.

Kenyataan itu dikeluarkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof yang mengatakan, isu membelenggu TH bukannya bermula ketika pihaknya mengambil alih pada 2017, malah amaran telah dikeluarkan sejak 2015 lagi.

Beliau berkata, amaran itu adalah, TH perlu berhenti daripada terus mengeluarkan hibah sedangkan aset semakin rendah berbanding liabiliti.

“Itu bermakna, waktu itu Datuk Seri Azeez Rahim, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Datuk Dr Asyraf Wajdi sudah pun mengetahui mengenai keadaan dan kedudukan TH defisit sebanyak RM4.1 bilion apabila kami mengambil alih institusi berkenaan.

“Kami menguruskan TH pada 2018, sehingga hujung tahun 2018 dan ianya sudah RM10.2 bilion maknanya, kami telah memulihkan TH dengan bantuan sokongan penyelamatan daripada kerajaan sebanyak RM17.8 bilion.

“Kami lakukan semua pemulihan ini dari 2018, mungkin dah suku ketiga.Sampai sekarang suku pertama 2019, lebih kurang enam bulan kami telah pulihkan defisit RM4.1 bilion dan RM10.2 bilion itu.

“Kami sudah pulihkannya, sekarang ini kita ada surplus (lebihan) RM1 bilion, maknanya pemulihan itu berjaya, dan kita sudah membersihkan akaun, termasuk polisi rosot nilai di mana kita telah mengikuti prosedur yang ditetapkan,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Mujahid berkata, tiada keperluan untuk menubuhkan RCI kerana pihaknya sudah menjelaskan usaha pemulihan mereka terhadap institusi itu berkenaan.

“RCI ini ditubuhkan bertujuan untuk menyiasat sesuatu yang tidak jelas dan misteri. Isu TH ini tiada misteri apa pun, benda semua sudah jelas.

“Kerajaan juga bagi RM17.8 bilion.Apa guna RCI lagi, melainkan mereka (pembangkang) hanya nak tutup kelemahan yang telah dibuat, maka timbulah isu hendak menubuhkan RCI.

“Seperti yang anda sedia maklum, segala kewangan pada 2017 itu bukan daripada kami.Kami hanya ‘menerimanya’tahun 2018 kami sedang menjalankan proses pemulihan TH.Kalau kami gagal memulih, usah kata 1.25%, memang tiada langsung hibah.

“Ini bukan soal kita nak tuduh siapa.Tapi itulah yang kami warisi.Kami membaiki keadaan itu, supaya jadi seimbang untuk membayar hibah 2018,” katanya.

Semalam Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi mendesak kerajaan Pakatan Harapan segera menubuhkan RCI bagi menyiasat salah laku pengurusan TH, yang didakwa berlaku ketika pentadbiran terdahulu.

Asyraf berkata, RCI penting untuk menjernihkan kekusutan masyarakat terhadap fenomena saling tuduh-menuduh sehingga menjejaskan keyakinan rakyat terhadap TH, sekaligus mengelakkan institusi yang besar maknanya kepada umat Islam itu runtuh.

Berita penuh https://malaysiadateline.com/tidak-perlu-tubuh-rci-siasat-th-semuanya-sudah-jelas-kata-mujahid/

Friday, April 5, 2019

Tabung Haji umum hibah 1.25 peratus

AKMAL MANAF FOTO : WAN ZAHARI WAN SALLEH


Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini mengumumkan agihan hibah bagi tahun kewangan 2018 pada kadar 1.25 peratus, melibatkan pengagihan berjumlah RM913 juta kepada semua pendeposit bagi tahun 2018.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, pelan penstrukturan yang telah dilaksanakan membuktikan keprihatinan kerajaan bagi menyelamatkan TH demi kepentingan 9.3 juta pendeposit.

Beliau berkata, dalam menzahirkan komitmen itu, kerajaan juga akan membuat peruntukan sebanyak RM500 juta pada tahun depan dan seterusnya sebanyak RM1.73 bilion setahun, sehingga semua sukuk ditebus semula.

“Jumlah keseluruhan peruntukan kerajaan selama 10 tahun dianggarkan sebanyak RM17.8 bilion. Ini adalah kesan kelemahan dan salah guna kuasa pentadbiran yang lepas.

“Manipulasi akaun telah membolehkan hibah diisytiharkan pada kadar yang tinggi walaupun jurang defisit terus meningkat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Taklimat Prestasi TH & Pengumuman Hibah Tahun 2018 di Kompleks Islam Putrajaya, hari ini.

Turut hadir, Timbalannya, Fuziah Salleh dan Pengarah Urusan Kumpulan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Zukri Samat.

Dalam perkembangan sama, Zukri berkata kejayaan memulihkan TH dalam tempoh singkat enam bulan adalah disebabkan, sokongan penuh kerajaan terhadap pelaksanaan penstrukturan semula TH dalam mengimbangi kedudukan kewangannya.

Beliau berkata, penstrukturan semula itu melibatkan pemindahan aset yang mengalami kejatuhan nilai dan kurang berdaya saing kepada sebuah Syarikat Bertujuan Khas (SPV), milik kerajaan yang dikenali sebagai Urusharta Jemaah Sdn Bhd (UJSB).

“Aset ini yang mempunyai nilai buku sebanyak RM9.7 bilion telah dipindahkan kepada UJSB pada harga RM19.9 bilion bagi membolehkan jurang defisit sebanyak RM10.9 bilion ditutup.

“Pemindahan ini akan dilangsaikan menerusi sukuk RM19.6 bilion dan tunai sebanyak RM300 juta.

“Transaksi pemindahan ini membolehkan TH mencapai dua matlamatnya, iaitu menutup jurang defisit dan memulihkan kedudukan kewangan,” katanya.

Berita penuh https://malaysiadateline.com/tabung-haji-umum-hibah-1-25-peratus/

Saturday, December 15, 2018

Hampir 20,000 tandatangan petisyen bantah Tabung Haji bawah Kementerian Kewangan

adminweb 15/12/2018

Agenda letak TH bawah BNM ibarat halalkan pengawalan Lim Guan Eng


KUALA LUMPUR, 7 Rabiulakhir 1440H, Sabtu Satu petisyen yang membantah tindakan meletakkan Lembaga Tabung Haji (TH) di bawah Kementerian Kewangan, telah berjaya mengumpul hampir 20,000 tandatangan.

Petisyen itu, “Petisyen Membantah Lembaga Tabung Haji (TH) Di Bawah Lim Guan Eng dan Kementerian Kewangan”, yang dikelolakan Esmee Mat Isa dalam laman change.org, turut membantah Tabung Haji diletakkan di bawah pengawalseliaan Bank Negara Malaysia (BNM).

Menurut Esmee, agenda meletakkan Tabung Haji di bawah kawal selia BNM ini seumpama menghalalkan matlamat pihak tertentu untuk meletakkan Tabung Haji di bawah pengawalan Lim Guan Eng sepenuhnya.

“Ayuh kita selamatkan aset umat Islam daripada jatuh ke tangan bukan Islam. Insya-Allah, jika berjaya mendapat sokongan umat Islam, kita akan usahakan satu memorandum di serahkan kepada Majlis Raja-Raja Melayu,” kata Esmee, seperti dilapor akhbar Utusan Malaysia.

Sasaran petisyen berkenaan adalah untuk memperoleh 25,000 tandatangan.

Thursday, December 13, 2018

Mujahid enggan ulas RCI, pemulihan TH diteruskan

MyMetro
Irwan Shafrizan Ismail
irwansha@nstp.com.my


PERANCANGAN bagi memulihkan Lembaga Tabung Haji (TH) akan tetap diteruskan selepas agensi itu dilaporkan mengalami defisit RM4.1 bilion, tahun lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, penafian bekas Pengerusi TH Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkenaan defisit itu dianggapnya sebagai perkara biasa.

“Kita kekal kepada perancangan kita, paling penting sekarang lembaga ini dapat dipulihkan menerusi pelan dirancang sekali gus dapat memberi perkhidmatan terbaik kepada umat Islam dan pendeposit TH.

“Selain daripada apa yang diperkatakan orang, biasalah, itu perkara biasa dan kita tetap kepada perancangan dan bergerak ke hadapan,” katanya pada sidang media sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini selepas menghadiri Mesyuarat Tahunan Menteri-Menteri Haji di Jeddah, Arab Saudi semalam.

Ditanya mengenai cadangan beberapa pihak supaya Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menjalankan siasatan terhadap kedudukan sebenar kewangan TH, Mujahid bagaimanapun enggan mengulas mengenainya.

“Saya baru pulang bertemu dengan menteri-menteri haji di Mekah, tujuan sidang media hari ini adalah untuk maklumkan apa hasil mesyuarat itu,” katanya.

Selasa lalu Abdul Azeez berkata, pemberian hibah kepada pendeposit Tabung Haji sejak 2014 tidak melanggar Akta Lembaga Tabung Haji 1995.

Beliau berkata, kenyataan Mujahid hanya dibuat berpandukan laporan kewangan audit syarikat juruaudit bebas, PricewaterhouseCoopers (PwC) dan tidak mengambil kira laporan Ernst & Young (EY) dari 2015 sehingga 2017.

Beliau mendakwa, Mujahid tidak mengambil kira laporan EY dalam menilai pasaran semasa aset keseluruhan membabitkan anak syarikat, syarikat bersekutu, syarikat usahasama dan hartanah.

Pada 10 Disember lalu, Mujahid mendedahkan mengenai pemberian hibah kepada pendeposit TH sejak 2014 yang dilaporkan bercanggah dengan Akta Lembaga Tabung Haji 1995.

Keadaan itu didakwa menyebabkan agensi berkenaan mengalami defisit RM4.1 bilion.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Disember 2018 @ 7:25 PM

Wednesday, December 12, 2018

Tabung Haji pindah aset RM19.9b kepada Kementerian Kewangan

adminweb

Langkah TH sebagai tukaran kepada penerbitan sukuk RM10 bilion dan saham Islamik RM9.9 bilion bagi mengimbangi liabiliti RM77 bilion


KUALA LUMPUR, 3 Rabiulakhir 1440H, SelasaLembaga Tabung Haji (TH) akan memindahkan asetnya bernilai kira-kira RM19.9 bilion kepada syarikat tujuan khas (SPV) milik Kementerian Kewangan menjelang 31 Disember ini.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Zukri Samat, berkata aset yang dipindahkan itu merangkumi hartanah dan ekuiti, manakala SPV itu akan dimiliki oleh Kementerian Kewangan.

Pemindahan aset TH kepada Kementerian Kewangan adalah sebagai pertukaran kepada sukuk bernilai RM10 bilion dan saham Islamik bernilai RM9.9 bilion.

“Daripada aset yang akan dipindahkan ke SPV, 80 peratus daripada jumlah nilai itu terdiri daripada ekuiti, manakala hartanah menyumbang kira-kira 20 peratus.

“Sebagai pertukaran kepada aset, SPV akan terbitkan RM10 bilion sukuk tujuh tahun dan Saham Islamik Boleh Ditebus Boleh Ditukar (RCPS-i) berjumlah RM9.90 bilion,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Zukri berkata, pemindahan aset tidak menguntungkan itu akan selesai akhir tahun ini, dan sebaik saja pemindahan itu selesai, aset dan liabiliti TH akan seimbang.

Beliau menegaskan tidak ada transaksi tunai atau jaminan kerajaan terbabit dalam pelaksanaan itu, kerana SPV akan mengeluarkan sukuk yang tidak boleh didagangkan dalam tempoh tujuh tahun, dan akan dilanggan sepenuhnya oleh TH, bersama dengan RCPS-i tanpa tempoh matang atau dividen.

Walaupun tidak memberi maklumat terperinci mengenai aset yang akan dilupuskan, Zukri berkata, ianya termasuk tanah yang dibeli daripada 1Malaysia Development Bhd (1MDB), dana minyak dan gas serta hotel.

Tabung Haji membeli tanah seluas 0.6 hektar di Tun Razak Exchange daripada 1MDB dengan bayaran RM188.5 juta pada tahun 2015 untuk membina menara kediaman – satu perjanjian yang mencetuskan bantahan awam pada masa itu kerana ia dilihat sebagai bayaran untuk menyelamat 1MDB.

Dengan berakhirnya pelaksanaan itu, TH dijangka memiliki aset bernilai RM77 bilion, termasuk melalui pengeluaran sukuk dan RCPS-i, untuk mengimbangi liabiliti RM77 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018, dan membolehkannya terus membayar dividen kepada pendeposit.

Tuesday, December 11, 2018

KJ: Tubuh RCI Tabung Haji, ambil kira amaran Bank Negara

Diterbitkan 11 Dis 2018, 9:54 malam 


Sambil menyokong gesaan supaya suruhanjaya siasatan diraja (RCI) ditubuhkan untuk menyiasat isu Lembaga Tabung Haji (TH) bekas ketua Pemuda Umno berkata, pelbagai fakta terdahulu mesti diambil kira.

Kata Khairy Jamaluddin Abu Bakar antara fakta itu ialah amaran yang pernah dikeluarkan oleh Bank Negara beberapa tahun lalu.

"Siasatan boleh mengambil kira semua fakta termasuk amaran yang dikeluarkan oleh Bank Negara beberapa tahun dahulu.

"Saya harap kita dapat merujuk perkara ini kepada siasatan bebas yang boleh melapor semula ke parlimen dalam tempoh tiga bulan," ciapnya petang tadi.

Terdahulu Khairy yang juga anggota parlimen Rembau menyatakan sokongannya kepada saranan Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan semalam.

Kata Mohamad RCI wajar ditubuhkan bagi mencari kebenaran mengenai kedudukan kewangan TH.

Menurutnya laporan yang dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof semalam mengundang kerisauan mendalam dan perlu dipandang serius semua pihak.

Siapa betul siapa salah

“Saya yakin orang Melayu dan Islam di negara ini mendambakan kebenaran daripada pendedahan ini dan seterusnya menuntut pertanggungjawaban daripada mereka yang terlibat,” katanya.

Menurut Khairy status TH melibatkan dua laporan audit yang bercanggah dengan masing-masing disediakan firma Ernst & Young (E&Y) - dan disahkan Jabatan Audit Negara dan digunakan oleh pengurusan lama - serta PricewaterhouseCoopers (PWC) - yang dilantik selepas PH menjadi kerajaan.

Bekas menteri belia dan sukan itu berkata ada tuduhan bahawa laporan EY tidak tepat dan menggunakan perakaunan kreatif (creative accounting) supaya TH tetap dapat membuat bayaran dividen.

"Padahal laporan PWC menyebut kedudukan kewangan sebenar (TH) tidak mampu untuk membayar dividen.

"PWC dan EY ialah antara dua firma audit terbesar di dunia. Siapa betul, siapa salah?" katanya menerusi bebenang ciapan petang tadi.
Mohamad Hasan
Justeru kata Khairy beliau sependapat dengan pandangan Mohamad serta salah seorang Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin bahawa RCI wajar ditubuhkan segera.

"Hanya dengan cara ini dapat kita (temui) kepastian dan kebenaran yang semakin tenggelam dalam kebisingan suara tuduhan di media sosial akibat pendedahan ini," katanya.

Untuk rekod Bank Negara pernah mengeluarkan nasihat kepada TH mengenai kedudukan kewangan badan badan yang ditubuhkan untuk membantu umat Islam di negara ini menunaikan haji.

Nasihat itu dikeluarkan gabenor pada ketika itu, Dr Zeti Akhtar Aziz, dan bertarikh 23 Dis 2015. Ia dialamatkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Jamil Khir Baharom.

Menurut surat itu TH didapati membayar dividen dan bonus menggunakan rizabnya sejak 2012 menyebabkan ia tidak mencukupi untuk memenuhi tanggungjawab kewangannya.

Amaran itu bagaimanapun didakwa tidak diberi perhatian pemimpin ketika itu.

'Jangan jadikan isu Tabung Haji penutup kelemahan PH'

Diterbitkan 11 Dis 2018, 12:01 tengah hari


Anggota Jawatankuasa Pusat PAS Dr Khairuddin Aman Razali mengingatkan agar pendedahan kedudukan kewangan Lembaga Tabung Haji (TH) semalam tidak menjadi "bisikan halus" untuk menumbangkan institusi utama umat Islam.

"Tabung Haji adalah aset besar bagi umat Islam. Jangan pula ia dijadikan alasan untuk menutup kelemahan kerajaan PH membayar dividen sepertimana sebelum ini kepada para pendeposit TH.

"Jangan juga ia menjadi satu hasutan halus agar umat Islam mengeluarkan deposit mereka sehingga akhirnya menumbangkan satu gergasi besar aset umat Islam," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof mengumumkan Tabung Haji mengalami defisit RM4.1 bilion, apabila jumlah liabilitinya berjumlah RM74.4 bilion berbanding aset keseluruhan RM70.3 bilion.

Beliau juga berkata Tabung Haji melanggar syarat pembayaran dividen apabila membuat pembayaran itu di saat liabiliti melebihi aset sejak 2014.

Bayaran itu dibuat menggunakan wang pendeposit, kata Mujahid semalam.

Baca: Pendedahan Mujahid boleh bikin Tabung Haji lumpuh - Asyraf

Dalam pada itu, Khairuddin yang juga anggota parlimen Kuala Nerus menggesa kerajaan melantik juruaudit luar untuk mengaudit akaun Tabung Haji.

Beliau berkata ini kerana penilaian aset Tabung Haji terdedah kepada "permainan angka mengelirukan" seperti sebelum ini.

"Kerajaan perlu menyerahkan kepada audit luar dan bebas untuk melakukan audit terhadap akaun Tabung Haji. Sudah banyak kali kerajaan PH bermain dengan angka bagi mengelirukan masyarakat," katanya lagi.

Namun laporan audit yang diumumkan Mujahid semalam memang dibuat syarikat audit bebas iaitu Pricewaterhouse Coopers dan laporan itu dibentangkan di Parlimen semalam.

Salinan laporan audit juga diletakkan di meja setiap anggota parlimen semalam.

Dalam pada itu, Khairuddin juga menyatakan kerisauannya terhadap rancangan kerajaan untuk mewujudkan sebuah syarikat tujuan khas bagi mengambil alih aset Tabung Haji.

"Cadangan itu kononnya untuk menyelesaikan masalah kewangan Tabung Haji bakal mendedahkan aset institusi itu, yang merupakan aset umat Islam, kepada pemilikan pihak luar.

"Ia perlu ditangguhkan sehingga audit luar mengesahkan dakwaan menteri," katanya lagi.

Sunday, December 2, 2018

Tabung Haji - Jangan cepat menghukum, kata Pemuda Umno

Diterbitkan 2 Dis 2018, 12:05 tengah hari |

Pemuda Umno memandang serius tindakan pengurusan Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) yang membuat laporan polis terhadap bekas pengerusi dan pengurusan tertinggi Yayasan Tabung Haji mengenai dakwaan berlaku penyelewengan dana untuk kegiatan politik, kata ketuanya Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Katanya Pemuda Umno melihat isu berkaitan integriti dan moral tidak boleh sesekali dikompromikan, apatah lagi elibatkan institusi agama yang diharapkan rakyat mengamalkan prinsip tadbir urus pada tahap yang lebih tinggi.

"Pemuda Umno juga konsisten berpendirian bahawa selagi tidak disabitkan hukuman, seseorang itu berhak dilayani sebagai tidak bersalah berasaskan prinsip Islam (al-aslu bara’atu zimmah) dan prinsip perundangan (presumption of innocence).

"Biarlah proses perundangan berjalan dengan adil, telus dan tanpa prejudis di mahkamah kelak dan bukannya dihukum di pentas media," katanya dalam kenyataan media, semalam.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan Tabung Haji membuat dua laporan polis terhadap bekas pengerusi agensi itu yang juga Anggota Parlimen Baling, Abdul Azeez Abdul Rahim.

Laporan juga dibuat terhadap bekas ketua pegawai eksekutifnya (CEO), Ismee Ismail dan Johan Abdullah.

Turut dinamakan ialah barisan pengurusan kanan iaitu Ketua Pegawai Operasi, Adi Azuan Abdul Ghani, Ketua Pegawai Kewangan Rozaida Omar, penasihat undang-undang Hazlina Mohd Khalid dan Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Korporat dan Harta Tanah, Rifina Md Ariff.

Susulan itu, Ketua Penerangan Armada Bersatu Ulya Uqamah Husamudin tampil mempersoalkan di mana suara Pemuda Umno dan Asyraf Wajdi ketika berlakunya penyelewengan terhadap agensi itu.
Asyraf Wajdi

"Kenapa terus diam dan tidak bersuara menegakkan keadilan demi agama dan bangsa?

"Asyraf Wajdi sebelum ini adalah timbalan menteri agama, beliau bertanggungjawab untuk memastikan hak-hak agama Islam seperti ini terjaga, mengapa biarkan dan berdiam diri melihat kemungkaran di depan mata?

"Kemungkaran yang berlaku di bawah tanggungjawab dan amanah yang telah diberikan kepada beliau," katanya.

Tunggu keputusan mahkamah

Sementara itu, Asyraf Wajdi berkata Pemuda Umno mendesak pihak berkuasa khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) dapat segera bertindak menyiasat laporan polis yang dibuat oleh pihak Tabung Haji.

"Siasatan ini perlu disegerakan atas dasar kepentingan awam dan mengelakkan rakyat berterusan berpolemik mengenai reputasi institusi Islam ini yang banyak jasanya kepada umat Islam di Malaysia dan begitu dihormati seantero dunia," jelasnya.

Sementara itu, Exco Pemuda Umno Bastien Onn menyifatkan terlalu banyak kes yang dibongkar kerajaan masih belum dibicarakan.

Katanya, operasi kerajaan seperti ini seolah-olah hanya mainan persepsi untuk disajikan kepada rakyat.

"Jika ia bertujuan untuk politik mereka sekali pun, apabila melibatkan institusi besar seperti Tabung Haji, ini berbahaya kerana melibatkan tabungan ramai dan mungkin merisikokan pelaburan-pelaburan yang dibuat.

"Saya ingin ingatkan bahawa kepentingan ramai perlu dijaga. Sekiranya ada tuduhan salah laku tadbir urus, ia perlu dibawa ke mahkamah bukannya mainan persepsi," katanya.

Tambah ketua pemuda Umno Segamat itu, individu seperti Ismee merupakan tokoh korporat yang imejnya perlu dijaga sehinggalah mahkamah memutuskan sebaliknya.

Rafizi nasihat semua lebih terbuka selepas laporan polis Tabung Haji

FMT Reporters
-December 2, 2018 12:00 AM


PETALING JAYA:  Rafizi Ramli hari ini menasihatkan semua pihak termasuk parti-parti politik lebih terbuka menilai pendedahan isu penyelewengan, susulan laporan polis oleh Lembaga Tabung Haji (TH) terhadap bekas pegawai tinggi institusi itu.

Beliau berkata pendedahannya berhubung dana TH sebelum ini sukar diterima oleh ramai pihak, termasuk penyokong PAS dan Umno.

“Jangan ulangi episod Tabung Haji – walaupun faktanya jelas, ramai-ramai bersekongkol menyembunyikan kerosakan dan menidakkan kebenaran hanya kerana yang membawa fakta itu seorang dari parti lawan,” kata bekas Ahli Parlimen Pandan dalam kenyataan hari ini.

TH semalam membuat 2 laporan polis terhadap bekas pengerusi Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, bekas ketua pegawai eksekutif Tan Sri Ismee Ismail dan Datuk Seri Johan Abdullah serta pengurusan kanan.

Pengurusan kanan ialah Ketua Pegawai Operasi Datuk Adi Azuan Abdul Ghani, Ketua Pegawai Kewangan Datuk Rozaida Omar, Penasihat Undang-Undang Hazlina Mohd Khalid dan Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Korporat dan Hartanah Rifina Md Ariff.

Laporan pertama berkaitan program Yayasan Tabung Haji 2017 apabila sejumlah RM22 juta dikeluarkan untuk aktiviti yang didakwa mempunyai kecenderungan politik.

Laporan polis kedua dibuat terhadap Ismee, Hazlinda dan Rifina berkaitan salah nyata dan menyembunyikan maklumat penting membabitkan penjualan 95% saham TH dalam syarikat PT TH Indo Plantations, yang dipegang menerusi 2 anak syarikat iaitu TH Indopalms Sdn Bhd dan TH Indo Industries Sdn Bhd, kepada PT Borneo Pacific untuk AS$910 juta (RM3.8 billion) pada 2012.

Dua laporan itu adalah hasil siasatan dalaman pertama terhadap transaksi masa lalu oleh pengurusan baharu TH yang dilantik Julai.

Rafizi masih teringat sumpah seranah “paling teruk” yang diterimanya apabila bercakap mengenai kepincangan dalam kewangan TH.

“Saya dikeji secara berterusan, baik dari kalangan penyokong Umno, PAS mahupun rakyat biasa. Tidak ramai sahabat-sahabat yang berani datang memberi sokongan kerana takut menjadi mangsa serangan juga,

“Saya ditahan, didakwa dan masih menjalani perbicaraan kononnya memfitnah TH. Ada pimpinan kanan yang menuduh kononnya saya telah menyebabkan ribuan orang Islam tidak boleh menunaikan ibadah haji,” katanya.

Beliau menambah cop “puas hati” oleh pimpinan PAS terhadap prestasi kewangan TH memburukkan lagi “makian berjemaah” itu.

“Saya berdoa supaya lebih ramai rakyat yang boleh menilai sesuatu isu melangkaui pandangan sempit kepartian, sepatutnya fakta yang saya bentangkan itu diambil kira.

“Jangan kerana pembongkaran itu datang dari seorang pemimpin parti lawan, fakta yang dibawa ditolak bulat-bulat dan dibalas dengan satu ungkapan mudah: ‘Ini semua fitnah’,” katanya.

Saturday, December 1, 2018

'Salah guna kuasa dana TH, mana Asyraf Wajdi?'

Oleh Rizanizam Abdul Hamid
mrizanizam@nstp.com.my

Ketua Penerangan ARMADA, Ulya Aqamah Husamudin. - NSTP/Rohanis Shukri

KUALA LUMPUR: Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mempersoalkan pendirian Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berhubung isu salah guna kuasa dilakukan bekas pengurusan tertinggi Lembaga Tabung Haji (TH).

Ketua Penerangan ARMADA, Ulya Aqamah Husamudin, berkata sayap BERSATU itu mahu UMNO terutama Asyraf Wajdi yang juga bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwa Agama) bersuara mengenai dakwaan penyelewengan dalam TH.

“Mana pergi Pemuda UMNO dan Dr Asyraf sewaktu penyelewengan ini berlaku? Kenapa terus diam dan tidak bersuara menegakkan keadilan demi agama dan bangsa?

“Dr Asyraf sebelum ini adalah Timbalan Menteri Agama, beliau bertanggungjawab untuk memastikan hak agama Islam seperti ini terjaga, mengapa biarkan dan berdiam diri melihat kemungkaran di depan mata?” soalnya dalam satu kenyataan melalui Facebook rasminya hari ini.

Menurut Ulya Aqamah, laporan polis dibuat TH terhadap bekas pengurusan tertinggi lembaga itu termasuk Ahli Parlimen Baling yang juga bekas Pengerusi TH, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, amat memeranjatkan dan tidak boleh dimaafkan.

“Kemungkaran yang berlaku adalah di bawah tanggungjawab dan amanah yang diberikan kepada Asyraf sewaktu beliau menjadi Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

“Usah hipokrit dan memilih isu, nyatakan sama ada Pemuda UMNO bersetuju atau tidak dengan salah guna dana yang berlaku di dalam Tabung Haji.

“Mengapa biarkan nasib pencarum yang rata-ratanya orang Islam dan Melayu diperkotak-katikkan oleh permainan rakus ahli politik UMNO?” soalnya lagi.

Semalam TH membuat dua laporan polis terhadap Abdul Azeez, dua bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Tan Sri Ismee Ismail dan Datuk Seri Johan Abdullah serta pengurusan kanannya.

Pengurusan kanan ialah Ketua Pegawai Operasi, Datuk Adi Azuan Abdul Ghani; Ketua Pegawai Kewangan, Datuk Rozaida Omar; Penasihat Undang-Undang, Hazlina Mohd Khalid dan Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Korporat dan Hartanah, Rifina Md Ariff.

Dalam kenyataan dikeluarkan TH, laporan polis pertama berkaitan Program Yayasan Tabung Haji (YTH) 2017 apabila dana sejumlah RM22 juta dikeluarkan untuk aktiviti yang mempunyai kecenderungan politik.

Laporan polis kedua dibuat terhadap Ismee, Hazlinda dan Rifina berkaitan salah nyata dan menyembunyikan maklumat penting membabitkan penjualan saham TH pada 2012 sebanyak 95 peratus dalam PT TH Indo Plantations yang dipegang dua anak syarikatnya iaitu TH Indopalms Sdn Bhd (THI) dan TH Indo Industries Sdn Bhd (THII) kepada PT Borneo Pacific (PT Borneo) untuk AS$910 juta (RM3.8 billion) pada 2012.

Mengulas lanjut, Ulya Aqamah berkata, terdapat kira-kira 9.3 juta pencarum TH yang rata-ratanya adalah orang Islam bergantung harap kepada TH bagi menyempurnakan ibadah haji mereka.

“Malangnya, lebih RM22 juta wang digunakan untuk program politik. Maklumat sebenar mengenai penjualan 95 peratus pegangan dalam syarikat PT TH Indo Plantations pula disembunyikan.

“Ini adalah penyelewengan dan penipuan yang terang-terangan mencuri duit rakyat dan saya pasti ini baru yang permukaan sahaja, masih banyak kebobrokan yang berlaku jika didalami,” katanya.

Justeru, katanya ARMADA menggesa pihak berkaitan untuk menjalankan siasatan menyeluruh penyelewengan dan mengembalikan hak dan wang rakyat yang disalah gunakan.

Friday, November 30, 2018

Tabung Haji buat laporan polis terhadap Azeez, pengurusan kanan

Diterbitkan 30 Nov 2018, 11:12 malam


Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini membuat dua laporan polis terhadap bekas pengerusi agensi itu yang juga Anggota Parlimen Baling, Abdul Azeez Abdul Rahim.

Laporan juga dibuat terhadap bekas ketua pegawai eksekutifnya, Ismee Ismail dan Johan Abdullah.

Turut dinamakan ialah pengurusan kanan iaitu Ketua Pegawai Operasi, Adi Azuan Abdul Ghani, Ketua Pegawai Kewangan Rozaida Omar, penasihat undang-undang Hazlina Mohd Khalid dan Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Korporat dan Harta Tanah, Rifina Md Ariff.

Menurut kenyataan hari ini, TH berkata laporan pertama dibuat berhubung Program Yayasan Tabung Haji 2017 melibatkan dana lebih RM22 juta.

YTH ditubuhkan pada tahun 2016 yang antara lain untuk melaksanakan bantuan kemanusiaan dan menghulurkan sumbangan kepada golongan miskin serta mereka yang memerlukan.

"Para pemegang amanah YTH ketika itu ialah Abdul Azeez, Ismee, Johan, Ali dan Rozaida," kata lembaga itu.

Laporan polis kedua dibuat terhadap Ismee, Hazlina dan Rifina berhubung tindakan menyembunyikan maklumat penting melibatkan penjualan saham TH pada 2012 sebanyak 95 peratus dalam PT TH Indo Plantations yang dipegang oleh dua anak syarikat TH - TH Indopalms Sdn Bhd dan TH Indo Industries Sdn Bhd.

"Laporan yang dibuat hari ini adalah siasatan dalaman pertama pengurusan baru yang dilantik sejak Julai 2018 terhadap transaksi masa lalu," kata lembaga itu.

Ini adalah minggu kedua berturut-turut di mana Ismee - sekutu bekas perdana menteri Najib Razak - mendapat liputan negatif media.

Minggu lalu, Ismee bersama beberapa yang lain disaman oleh Felda Global Ventures Bhd bagi mendapatkan semula RM514 juta berhubung pemerolehan Asia Plantation Ltd. (APL) pada tahun 2014.

Wednesday, July 25, 2018

[UPDATE] 'Tak perlu sedia penginapan percuma'

MyMetro
Mutakhir
Samadi Ahmad
cnews@nstp.com.my

PENGURUS Besar Kanan Jabatan Haji, Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman ketika sidang media mengenai dakwaan penarikan kemudahan penginapan jemaah di Tabung Haji, Sepang, turut kelihatan Timbalan Pengarah Gerakan Haji, Mohd Hisham Harun (kanan). FOTO Mohd Fadli Hamzah

LEMBAGA Tabung Haji (TH) menolak dakwaan sesetengah pihak bahawa TH menarik balik kemudahan penginapan percuma bagi jemaah transit yang disediakan sebelum ini.

Pengurus Besar Kanan Haji merangkap Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, bakal haji yang memilih untuk berlepas dari KLIA hanya perlu melapor diri di Kompleks TH Sepang empat jam sebelum masa berlepas.

"Justeru, tiada keperluan bagi menyediakan bilik penginapan di Kompleks TH Sepang," katanya pada sidang media di Kompleks TH Sepang, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Pengarah Gerakan Haji, Mohd Hisham Harun.

Bagaimanapun, katanya, Hotel Movenpick yang beroperasi di sebelah kompleks, menyediakan bilik penginapan dengan kadar diskaun khas untuk bakal haji dan waris yang memilih untuk datang lebih awal daripada tarikh dan waktu melapor diri yang ditetapkan.

Syed Saleh berkata, pihaknya menolak dakwaan yang merujuk kepada penularan gambar-gambar di media sosial menggambarkan suasana padat di Kompleks TH sebagai pusat gelandangan juga adalah tidak tepat dan berasas.

"Suasana padat seperti itu adalah kebiasaan bagi setiap penerbangan kerana ia membabitkan 500 bakal haji yang turut diiringi ahli keluarga dan sahabat handai sehingga mencecah sehingga 4,000 orang pada satu-satu masa," katanya.

Katanya, penginapan transit ini sudah tidak disediakan sejak tiga tahun lalu malah, ketika beroperasi di Kelana Jaya, kemudahan itu hanya disediakan kepada bakal haji dari stesen lain atas kekangan penerbangan atau jadual penerbangan transit awal yang melebihi satu hari sebelum bertolak ke Tanah Suci.

Menurutnya, bermula musim haji tahun ini, pihaknya menambahbaik perkhidmatan seperti penyediaan penerbangan terus yang berlepas dari tujuh stesen lain di negara ini.

"Pada ketika ini, bakal haji yang transit dari stesen lain tidak perlu keluar dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Kompleks TH Sepang kerana penerbangan mereka akan diteruskan dengan penerbangan sewa khas ke Tanah Suci. Ia sekali gus dapat memendekkan tempoh menunggu bakal haji dari stesen luar untuk berlepas ke Tanah Suci,” katanya.

Selain Kompleks TH Sepang, tujuh stesen berlepas lain seperti Alor Setar (Kedah), Pulau Pinang, Johor Bahru (Johor), Kuala Terengganu (Terengganu), Kota Bharu (Kelantan), Kota Kinabalu (Sabah) dan Kuching (Sarawak).

Syed Saleh berkata, setakat ini TH berjaya menguruskan 24 penerbangan haji ke Tanah Suci bermula 14 Julai lalu yang akan berakhir pada 15 Ogos depan membabitkan 30,200 bakal haji.

Berita berkaitan:
'Kembalikan penginapan percuma jemaah haji'

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Julai 2018 @ 7:43 PM

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-