Thursday, January 17, 2019

Sengaja sentuh sensitiviti Islam

17/01/2019

Umat Islam sanggup perlahankan laungan azan, bacaan al-Quran demi menjaga sensitiviti penganut agama lain

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 11 Jamadilawal 1440H, Khamis – Bukan Islam sebenarnya sudah tahu lambang seperti pancaran cahaya lampu yang memperlihatkan palang salib gergasi di bangunan Grace Residence di Jelutong, Pulau Pinang, pasti menyentuh sensitiviti umat Islam, tetapi ia sengaja dibuat juga.

Sebaliknya, jika mereka benar-benar serius untuk menjaga keharmonian kaum dan agama, sensitiviti umat Islam mesti diambil kira.

“Isu agama adalah satu perkara yang sangat sensitif dan mana-mana pihak perlu berhati-hati dalam mengulas tentang isu ini. Mana-mana penganut agama harus faham akan sensitiviti ini.

“Apa yang berlaku di Pulau Pinang adalah sesuatu yang disengajakan walaupun sudah diketahui oleh pihak bukan Islam bahawa perkara seperti ini akan menyentuh sensitiviti penganut-penganut agama Islam.

“Walaupun pelbagai alasan telah diberikan tetapi pokoknya kenapa lambang sedemikian sengaja diadakan? Jika mereka benar-benar serius untuk menjaga keharmonian kaum dan agama, sensitiviti umat Islam mesti diambil kira,” kata Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana, Haji Aminuddin Yahaya.

Katanya, sudah pasti semua umat Islam akan berasa kurang selesa dengan tanda sedemikian, apa lagi jika terpampang dengan begitu besar dan amat jelas tanda salib jika lampu itu dipasang pada waktu malam.

Akibatnya, kata beliau, tidak mustahil jika akan berlaku tindakan di luar kawalan oleh mana-mana golongan Islam yang marah dengan perbuatan itu.

“Adakah kita sanggup menghadapi dan menerimanya? Apakah kita boleh hanya menyalahkan mereka sedangkan orang lain yang meniupkan api kemarahan?

“Semua pemimpin agama perlu mempunyai pemikiran dan kesedaran sebegini jika mereka benar-benar mencintai keamanan dan keharmonian.

“Kalaulah umat Islam di Pulau Pinang bersedia untuk memperlahankan bunyi laungan azan dan bacaan Al-Quran demi menjaga sensitiviti penganut lain, apakah alasan penganut lain untuk tidak bertolak ansur juga?,” katanya.

Mengenai kenyataan Datuk Mujahid Yusof Rawa, Haji Aminuddin berpendapat hujah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu paling dangkal dan tidak menyelesaikan apa-apa masalah.

“Malah akan menaikkan lagi kemarahan umat Islam. Apakah ini taraf pemikiran menteri agama yang ingin membawa agenda perpaduan dan keharmonian kaum dan agama?

“Sehubungan itu, kita mencadangkan agar simbol tersebut ditarik balik dan digantikan dengan bentuk yang lain jika semua pihak yang berkaitan benar-benar ikhlas untuk menjaga keharmonian,” katanya.

Sebelum ini, tular di media sosial kewujudan lambang salib gergasi pada sebuah bangunan di Bandar Jelutong, Pulau Pinang.

Lambang itu adalah pancaran cahaya lampu yang dipasang pada bangunan berkenaan yang menghasilkan bentuk salib dan akan muncul dengan lebih jelas pada waktu malam.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-