Thursday, January 17, 2019

Kalaulah Ramli menang, kalaulah lepas itu dia masuk PH...

B Nantha Kumar
Diterbitkan Hari ini 9:00 pagi 


Pakatan Harapan (PH) masih mampu merampas Cameron Highlands jika calon BN Ramli Mohd Nor menyertai PH selepas kemenangan, kata sumber BN yang sedang berkempen di kawasan parlimen itu.

Sumber yang memegang jawatan tertinggi dalam sebuah parti komponen BN itu turut meramalkan kemungkinan lain Ramli menjadi anggota parlimen bebas.

"Mungkin ramai akan kata ini mustahil, tidak akan berlaku.

“Tetapi, dalam politik semuanya boleh. Buat masa ini, sudah pun ada satu parti dari PH memulakan langkah-langkah untuk menarik Ramli ke PH sekiranya beliau menang di Cameron nanti," kata sumber BN itu kepada Malaysiakini.

"Menyertai PH selepas menang, akan memudahkan lagi perjuangan Ramli yang bertungkus lumus dalam pembangunan Orang Asli.

“Saya juga tidak hairan, sekiranya beliau diberikan jawatan timbalan menteri untuk menjaga kepentingan Orang Asli seluruh Malaysia," tambahnya.

Menurutnya lagi, kenyataan beliau bukan sekadar teori, malah telah pun berbincang di peringkat BN beberapa kali.

"Ramai ahli BN khususnya di Cameron Highlands, masih teka-teki mengenai apakah kemungkinan Ramli menyertai PH sekiranya menang di PRK nanti.

“Hampir setiap hari saya di peringkat akar umbi BN Cameron Highlands ditanya pasal perkara ini kerana beliau bukan ahli mana-mana parti komponen BN," jelasnya lagi.

Ketika ditanya, kenapa Ramli perlu menyertai PH sedangkan BN yang memberi peluang kepadanya, sumber itu berkata bukan beliau yang meminta kerusi itu, sebaliknya BN yang menawarkan padanya.

"Saya pernah duduk beberapa kali bersama Ramli. Beliau sentiasa bercakap pasal pembangunan Orang Asal.

“Pada pandangan saya, pembangunan Orang Asli lebih penting kepadanya berbanding menjadi ahli BN seterusnya memberi tekanan kepada PH.

"Menjadi wakil PH akan memastikan Ramli boleh memberi yang terbaik kepada pembangunan Orang Asli menerusi bantuan Kerajaan Persekutuan,” kata sumber.

Sumber turut memastikan bahawa beberapa pemimpin Melayu di Cameron telah mengakui kepadanya akan ada tawaran kepada Ramli sekiranya beliau menang.

"Saya sangat pasti akan ada tawaran. Dan parti yang saya nyatakan sudah bersiap sedia untuk membuat tawaran sekiranya calon DAP (M Manogaran) kalah," kata sumber itu sambil meminta tidak mendedahkan nama parti yang sedia membuat tawaran kepada Ramli.

"Mungkin, ini juga salah satu punca pada awalnya, ada pemimpin tertinggi MIC menentang cadangan meletakkan Ramli sebagai calon," jelasnya lagi.
Untuk rekod, Ramli yang merupakan seorang bekas pegawai polis yang sedang mengikuti program doktor falsafah (PhD) dalam bidang perniagaan di International University Of Malaya-Wales (IUMW) tidak pernah menyertai sebarang parti politik.

Selain Ramli dan Manogaran dua lagi calon bebas – Sallehudin Ab Talib dan Wong Seng Yee – turut bertanding di PRK Cameron Highlands.

Orang Asli merangkumi 20 peratus pengundi di kawasan parlimen Cameron Highlands. Ramli sendiri daripada suku Semai.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan reaksi Ramli dan pemimpin BN berkaitan dakwaan itu.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-