Friday, January 18, 2019

Tak perlu dipujuk kembali ke pangkuan UMNO - Tengku Razaleigh

Oleh Ramli Ibrahimcnews@nstp.com.my

TENGKU Razaleigh Hamzah - Foto Syamsi Suhaimi

GUA MUSANG:  UMNO perlu menolak semua enam Ahli Parlimen yang keluar parti itu dan membuat pusingan ‘U’ dengan memohon semula untuk menjadi ahli UMNO.

Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah, berkata mereka yang sudah keluar parti itu tidak perlu lagi dipujuk untuk kembali ke pangkuan UMNO.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Gua Musang, menegaskan, banyak pemimpin sama ada peringkat atasan, bawahan dan ahli UMNO yang setia dengan parti ini tidak setuju untuk menerima mereka semula.

Katanya, memang ada juga dalam kalangan ahli yang bersetuju tetapi lebih ramai lagi yang tidak setuju untuk UMNO terima semula mereka menjadi ahli parti.

“Perkara ini (keluar masuk parti) bukan boleh dibuat ikut suka. Ini adalah perjuangan yang perlu pemimpin jujur dan setia kepada parti,” katanya kepada pemberita selepas perjumpaan dengan pemimpin Masyarakat Orang Asli di Bukit Chekati, di sini, hari ini.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim; ADUN Nenggiri, Ab Aziz Yusof dan ADUN Paloh, Amran Ariffin.

Laporan akhbar baru-baru ini menyebut enam Ahli Parlimen yang umum keluar UMNO pada 14 Disember tahun lalu membuat permohonan semua untuk menjadi ahli parti.

Mereka ialah Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid, Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad, Ahli Parlimen Tasik Gelugor, Datuk Shahbudin Yahaya.

Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin, Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Mohamad Fasiah Mohd Fakeh dan Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.

Tengku Razaleigh berkata, ketiadaan enam ahli Parlimen itu dalam UMNO tidak memberikan sebarang kesan kepada parti itu yang bertunjangkan ahli akar umbi.

Katanya, penyokong UMNO di peringkat akar umbi masih subur dan kuat walaupun keadaan itu berlaku untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Ia tidak mendatangkan masalah dan sebarang kesan. Lagipun rakyat yang membuat keputusan itu,” katanya.

Ketika majlis perjumpaan dengan pemimpin masyarakat Orang Asli baru-baru ini, beliau memberi jaminan jika BN berkuasa semula selepas PRU akan datang supaya kemajuan kaum itu dapat ditingkatkan.

Tengku Razaleigh juga menyifatkan kekalahan BN itu bersifat sementara dan yakin dengan sokongan ahli UMNO akar umbi boleh mencapai kemenangan semula PRU akan datang.

“Kita akui kekalahan BN PRU lalu itu atas kebijaksanaan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menjatuh Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Hasrat beliau (Tun Mahathir) sudah tercapai dan kita tunggu PRU akan datang untuk mengambil balik pemerintahan negara,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-