Sunday, January 13, 2019

Wan Azizah akui PH sukar rampas Cameron Highlands daripada BN

Nor Athirah Mohd Hanapiah
-January 13, 2019 4:56 PM

Wan Azizah Wan Ismail berkata, PH sukar memenangi kerusi Parlimen Cameron Highlands kerana BN menggunakan sentimen Orang Asli.

PUTRAJAYA:  Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengakui Pakatan Harapan (PH) sukar merampas kerusi Parlimen Cameron Highlands daripada Barisan Nasional (BN) yang menurunkan calon Orang Asli dalam pilihan raya kecil (PRK) 26 Januari ini.

“Selama ini kita memang sukar untuk memenangi kerusi itu sebelum menjadi kerajaan, namun sekarang lebih sukar apabila menggunakan sentimen Orang Asli.

“Situ juga ‘simoi’ (perkampungan Orang Asli) sebab saya ada jumpa mereka baru-baru ini. Jadi, memang ini adalah sebahagian daripada cara yang anda perlu bertanding,” katanya selepas merasmikan Konvensyen Minda Positif hari ini.

Presiden PH itu bagaimanapun berkata, gabungan parti pemerintah itu masih berpeluang memenangi kerusi Parlimen itu.

“Saya tidak akan mengatakan peluang itu tinggi (untuk menang), tetapi kita sudah tukar kerajaan, jadi okeylah, insya Allah.”

BN menurunkan bekas pegawai kanan polis yang berasal daripada masyarakat Orang Asli, Ramli Mohd Nor menentang bekas calon PH bagi kerusi itu pada pilihan raya umum ke-14 lalu, M Manogaran dan 2 calon bebas, Salehuddin Ab Talib dan Wong Seng Yee.

PRK Cameron Highlands akan diadakan 26 Januari ini, selepas Mahkamah Pilihan Raya pada November lalu membatalkan kemenangan calon BN, Datuk C Sivarraajh daripada MIC pada pilihan raya umum ke-14 lalu.

Sivarraajh memenangi kerusi Parlimen itu dengan majoriti 597 undi, selepas menewaskan pencabar terdekatnya, Manogaran dalam pertandingan 5 penjuru.

Gambar beri wang

Wan Azizah berkata, gambar beberapa individu berbaju PH memberikan wang boleh “dilakonkan” pihak lain.

“Betul ke? Kamu sentiasa boleh pakai baju dan bagi (wang) dan tangkap gambar. Jadi, baik semak balik.”

Terdahulu, Penolong Ketua Pusat Operasi Jelai PH, Arvind Bharet menjelaskan gambar beberapa individu berbaju PH mengagihkan wang bukannya untuk membeli undi, tetapi ia adalah bayaran balik kos petrol kepada sukarelawan.

Katanya, pembayaran balik itu akan diisytiharkan sebagai perbelanjaan PH bagi PRK Cameron Highlands.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia pula dilaporkan sedang menyiasat dakwaan pemberian wang itu yang ditularkan melalui beberapa gambar dalam media sosial sejak pagi tadi.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-