Friday, February 15, 2019

Peguam: K'jaan Johor membisu isu pencerobohan Sungai Pulai

Diterbitkan Hari ini 8:38 pagi


Kerajaan negeri Johor kini tidak sepatutnya membisu berhubung keputusan kerajaan terdahulu membenarkan sebahagian daripada hutan simpan Sungai Pulai dibangunkan sebagai pusat peranginan, kata peguam N Surendran.

Dalam satu kenyataan, Surendran, yang merupakan penasihat kepada Lawyers For Liberty, berkata pencerobohan hutan di Sungai Pulai yang diiktiraf di peringkat antarabangsa sepatutnya didedahkan kepada umum oleh kerajaan negeri sekarang.

"Pendedahan terbaru mengenai pembangunan hutan simpan bakau Sungai Pulai sangat mengejutkan. Terutama mengenai kemelut Pulau Kukup baru-baru ini, yang menggesa campur tangan segera dan drastik oleh kerajaan persekutuan untuk memelihara kawasan bakau yang kaya di Johor.

"Kini jelas kerajaan Johor tidak mampu melindungi tapak ini, walaupun keputusan dan proses pembangunan bermula semasa pemerintahan BN, kenapa Pakatan Harapan Johor berdiam diri?

"Mereka juga senyap mengenai Pulau Kukup sehingga didedahkan media," kata Surendran.

Terdapat tiga hutan bakau di Johor - Pulau Kukup, Sungai Pulai dan Tanjung Piai - yang dianggap tanah lembap berkepentingan antarabangsa di bawah Konvensyen Ramsar, perjanjian antarabangsa yang mana Malaysia menandatanganinya.

Disember lalu, Malaysiakini mendedahkan pewartaan Pulau Kukup sebagai taman negara yang dilindungi sepenuhnya dibatalkan secara senyap-senyap.

Keputusan itu dibuat oleh kerajaan Johor pada Mac 2018.

Semalam, Malaysiakini menerbitkan laporan khasyang menegaskan bahawa kerajaan Johor membenarkan sebahagian daripada hutan simpan Sungai Pulai untuk dibangunkan menjadi padang golf 2,000 ekar.

Surendran berkata adalah tidak bertanggungjawab bagi kerajaan persekutuan dan kerajaan Johor berdiam diri berhubung perkara itu kerana orang ramai menjangkakan tahap ketelusan yang tinggi daripada kerajaan baru.

"Sementara itu, pemimpin negeri dan persekutuan BN sebelum ini mesti menjelaskan bagaimana kemusnahan hutan simpan Sungai Pulai berlaku secara senyap-senyap dan berdasarkan alasan apa mereka membenarkannya, "katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-